"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS yakin pengundi Sarawak buat kejutan

Harakahdaily   

RANTAU PANJANG, 15 April:PAS berkeyakinan rakyat Sarawak bakal membuat kejutan esok berdasar kepada momentum penerimaan mereka terhadap kempen Pakatan Rakyat.


Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sambutan di kalangan pengundi muda terhadap PAS dan Pakatan Rakyat begitu memberangsangkan sekali sepanjang kempen diadakan.
(Gambar: Penduduk Beting Maro menyambut Ustaz Hadi di sana)

Katanya, penerimaan orang muda terhadap kempen dilakukan calon PAS dan jenteranya begitu baik sekali.

”Saya melihat ada peluang cerah buat PAS untuk bertapak bersama rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat di Sarawak.

”Bagi penduduk bukan Islam mereka menerima baik kempen dijalankan Dewan Himpunan Penyokong PAS. Malah ada yang tidak takut lagi untuk menampalkan bendera PAS di rumah mereka,” katanya ketika ditemui media sekembali dari menerima anugerah di Universiti Islam Yala di Pattani petang semalam.

Sebelum itu Ustaz Abdul Hadi menerima anugerah Tokoh Alim Rabbani disampaikan Rektor Universiti Islam Yala, Dr Ismaillutfi.

Presiden PAS hadir ke Universiti Islam Yala sekembali daripada kempen membantu calon PAS di Sarawak.

Beliau bergegas dari Kuala Lumpur malam semalam menggunakan kenderaan darat selepas terlepas penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

Presiden PAS berkata, pilihan raya negeri ini memberi peluang lebih cerah kepada PAS untuk bertapak lebih kukuh di Sarawak.

”PAS bertanding di lima kerusi Dun bagi membawa mesej Islam kepada masyarakat. Rakyat Sarawak hendaklah menggunakan peluang terbaik esok.

”Ini kerana biar pun bumi Sarawak kaya dengan pelbagai hasil bumi, namun penduduk negeri itu masih ramai lagi miskin,” ujarnya.

Pada pilihan raya negeri kali ini PAS bertanding sebagai mewakili Pakatan Rakyat di Dun Beting Maro, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Tanjung Datu.

Tiada ulasan: