"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jenayah turun: Semalam kereta Mohd Sabu dicuri

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR: Dakwaan polis dan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) bahawa kadar jenayah negara berjaya diturunkan tidak meredakan ketakutan rakyat, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
"Baru semalam kereta saya mengalami kecurian, tak ada makna langsung dakwaan polis dan Pemandu itu," katanya.

Mohamad juga memberitahu, beliau akan mengadakan sidang akhbar bersama dengan seorang bekas pegawai kanan polis mengenai dakwaan polis dan pemandu itu.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan kononnya kadar jenayah berkurangan itu, beliau berkata, apa yang nyata ialah persepsi rakyat terhadap jenayah tidak berubah.

"Saya bercakap sebagai seorang yang baru sahaja mengalami kecurian semalam. Sebelum ini, saya menghadapi jenayah yang lebih serius di mana rumah saya hendak dibakar. Isteri saya pula pernah dirompak selepas mengeluarkan wang dari bank di Shah Alam beberapa bulan lepas.

"Kepada mangsa seperti saya, dakwaan kononnya kadar jenayah berkurangan tidak mengubah persepsi saya.

"Begitu juga rakyat umum, kebimbangan dan rasa takut mereka terhadap jenayah yang terus menjadi-jadi tetap tidak berubah malah semakin buruk," katanya.

Mohamad menegaskan, kebimbangan tersebut bukanlah tidak berasas jika diambilkira apa yang berlaku.

"Beberapa hari lepas saya baca tentang keputusan bank-bank yang hendak membatalkan penempatan mesin-mesin ATM mereka di pusat-pusat membeli belah, pasaraya dan stesen-stesen minyak.

"Mereka mengambil keputusan itu kerana tidak tahan menghadapi siri-siri samun dan rompak yang berprofil tinggi," katanya.

Keputusan bank-bank itu, kata beliau, bukan sahaja menafikan kemudahan yang dinikmati orang ramai selama ini malah memburukkan lagi persepsi mereka terhadap kadar jenayah.

Diminta mengulas kenyataan Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dilaporkan berkata kadar jenayah di Malaysia sememangnya telah meningkat, Mohamad terus menjawab: "Nampak macam Musa suruh (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri) Hishammuddin (Hussein) dan (Ketua Polis Negara, Tan Sri) Ismail Omar letak jawatan".

Diminta mengulas lanjut, beliau berkata, ada dua perkara penting dalam kenyataan Musa itu.

"Pertama, Musa mendedahkan kepada kita kadar jenayah dalam negara ini semakin meningkat dan bukannya semakin berkurangan. Maknanya kerajaan bohong dan itu bohong pertama.

"Bohong kedua yang dilakukan oleh kerajaan ialah apabila Musa minta agar pihak berkuasa tidak menyorokkan fakta sebenar kepada orang ramai.

"Saya minta rakyat menghukum kerajaan pembohong ini," kata Mohamad lagi.

Malaysian Insider hari ini memetik Musa sebagai berkata: "Rakyat perlu tahu perkara sebenar, tidak perlu sorok-sorok tentang masalah jenayah".

Bekas Ketua Polis Negara itu turut mengakui kadar jenayah di Malaysia pada hari ini berada di tahap yang membimbangkan.

"Jika jenayah tak teruk, tak perlulah menteri-menteri dan orang kaya guna ramai 'bodyguard'.
"Kerana banyak jenayahlah menteri-menteri dan orang-orang besar perlukan 'bodyguard'," kata Musa.

Tiada ulasan: