PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri yang baru, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan contoh terbaik menjadi mangsa pembohongan yang direka cipta ‘bilik perang’ (war room) partinya sendiri, Umno-Barisan Nasional (BN).
“Ini berhubung dengan dakwaan bahawa DAP membelanjakan RM1 bilion dalam tempoh enam tahun lalu untuk merekrut 3,000 tentera siber untuk memburuk-burukkannya dan para pemimpin Umno-BN yang lain,” kata Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam blognya hari ini.
Lim yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini yang bertajuk “Red Bean Army serang kerajaan – Ekoran DAP gagal peroleh kuasa di Putrajaya.”
Laporan akhbar itu menyebut kecaman serta penghinaan berterusan yang dihamburkan oleh Red Bean Army terhadap kerajaan jelas membuktikan tentera siber DAP itu gagal menutup rasa kecewa kerana tidak berjaya memperoleh ‘kuasa’ di Putrajaya.
“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun beliau sendiri tidak terlepas daripada serangan tentera siber berkenaan, perkara itu adalah lumrah bagi mereka yang bergelar ahli politik.
“Meskipun tidak menyatakan bentuk tindakan yang akan diambil terhadap pihak terbabit, beliau dengan nada sinis memberitahu, mereka merupakan jenis manusia yang hanya tahu menyalahkan pihak lain berbanding diri sendiri,” lapor akhbar milik Umno itu.
Kata Lim, Zahid bertindak kurang bijak, pertama kerana percaya dengan penipuan strategis dan propagandis ‘bilik perang’ Umno-BN yang bertujuan mengeliru dan membingungkan kem musuh.
Kedua, ujarnya kerana Zahid menjadi seorang menteri yang mudah terperdaya dengan dakwaan tentang Red Bean Army DAP yang tidak wujud itu.
“Jelas bahawa Zahid bukan seorang yang bijak kerana mempercayai sesuatu yang sengaja dicipta oleh orang-orangnya sendiri,” sindir Lim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan