"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hayat Kabinet Najib tak lama?

RAYUSA

DALAM PRU13, 5 Mei lalu, BN mendapat 48 peratus undi popular, manakala Pakatan Rakyat memperoleh 51 peratus. Justeru, Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri sebuah kerajaan minoriti pertama dalam sejarah politik negara.

Pada 15 Mei lalu, Najib mengumumkan senarai jemaah menteri yang dianggapnya sebagai “Kabinet berimbang”. Kabinet tersebut didominasi Umno dengan 20 menteri, manakala PBB (Sarawak) empat, MIC (dua), PRS (Sarawak), PBRS, PBS dan UPKO (Sabah), masing-masing satu. Tiga menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah senator.

Enam belas jawatan timbalan menteri diisi Umno, MIC (dua), PBB (tiga), PRS (satu) dan PBS (satu). Tiga lagi timbalan menteri adalah melalui lantikan sebagai senator, termasuk seorang daripada Umno (Dato’ Ahmad Bashah Md Hanipah), dan seorang daripada PPP (Dato’ Dr Loga Bala Mohan).

Namun, Kabinet Najib dijangka akan menambah masalah kerana ia sendiri bermasalah. Contohnya, pelantikan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Senator Dato’ Paul Low Seng Kuan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sia-sia sahaja kerana anggota Kabinet yang lain bermasalah. Paul tidak boleh berbuat apa-apa jika beliau dikelilingi orang bermasalah, malah dirinya sendiri akan turut “tenggelam”.

Selain itu, pelantikan Dato’ Tajuddin Abdul Rahman sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani antara yang paling dipandang sinis banyak pihak serta banyak mengundang kritikan.

Datin Paduka Marina Mahathir dalam laman twitternya menulis, “Six million dollar man Umno mendapat jawatan timbalan menteri”. Tajuddin digelar sedemikian selepas beliau dipecat daripada Umno pada 1995 atas tuduhan membayar RM6 juta untuk mengekalkan kedudukannya sebagai ketua bahagian.

Tajuddin juga baru-baru ini mendapat konsesi RM1.3 bilion untuk membina UiTM Tapah, Perak walaupun Detik Utuh Sdn Bhd, syarikat pembinaan miliknya tidak aktif dan tiada track record baik dalam bidang pembinaan.

Turut terbabit dalam amalan politik wang oleh Lembaga Disiplin Umno ialah Khairy Jamaluddin yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan. Masih ingat insiden penolakan perwakilan Pemuda Umno di PWTC semasa Khairy memenangi jawatan Ketua Pemuda Umno beberapa tahun lalu? Khairy diejek menang kerana rasuah!

Dalam artikelnya, Kenapa saya masuk balik Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad menulis, “Saya percaya dia (Najib) tidak akan pilih perasuah yang terkenal dan diketahui umum seperti Khairy dan beberapa lagi sebagai menteri atau anggota kerajaan."

Tindakan Najib itu seolah-olah mencabar Dr Mahathir, Mengekalkan Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai menteri juga membuktikan Najib enggan berubah ke arah lebih baik kerana Kementerian Dalam Negeri di mana Hishamuddin bekas menterinya dahulu adalah antara yang paling banyak dilaporkan mengalami ketirisan dalam laporan Ketua Audit Negara.

Tambah menghodohkan “Kabinet berimbang” Najib ialah tiga pemimpin Umno yang terpalit dengan dakwaan rasuah masih dikekalkan.

Dato' Seri Jamil Khir (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) menggunakan wang zakat MAIWP sebanyak RM63,650 untuk khidmat peguam sebagai Menteri Agama; Dato’ Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) memberi RM1.5 juta tunai, banglo RM2.9 juta, dan kereta Porsche kepada artis, Zahida Rafik; dan Dato’ Seri Nazri Abdul Aziz (Menteri Pelancongan dan Kebudayaan) menerima kereta Hummer bernilai RM500,000 dan RM3 juta daripada tauke balak, Michael Chia.

Melantik Dato’ Seri Tengku Adnan Mansor sebagai Menteri Wilayah Persekutuan; Dato’ Seri Idris Jusoh (Menteri II Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi), Dato’ Seri Shahidan Kassim (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) juga menimbulkan persoalan mengenai transformasi yang dibawa Najib.

Shahidan pernah ditolak istana Perlis selepas PRU12 agar dilantik sebagai Menteri Besar negeri itu.

Pelantikan Hishammuddin sebagai Menteri Pertahanan, dan pemangku Menteri Pengangkutan; Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Pengerusi Persatuan Sekolah Mubaligh Kristian, Dato’ Mary Yap Kai Ching (Timbalan I Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi) turut menjengkelkan.

Dengan usaha Pakatan sedang menyiasat 27 kerusi Parlimen yang dimenangi BN dalam PRU13 yang diragui serta kebangkitan rakyat, terutama pengundi muda dan pengundi bandar, mungkinkah hayat kabinet Najib itu akan pendek umur?

Kerusi-kerusi itu ialah Bentong, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Sungai Besar, Sabak Bernam, Pasir Gudang, Labis, Tebrau, Pulai, Muar, Segamat, Ledang, Machang, Ketereh, Titiwangsa, Setiawangsa, Balik Pulau, Kulim Bandar Baharu, Kuala Kangsar, Bagan Serai, Pendang, Merbok, Kota Marudu, Beaufort, Pensiangan, Saratok, dan Baram.

Menurut Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli yang mengetuai jawatan kuasa penyiasat itu, pihaknya telah menerima 237 aduan mengenai pelbagai “kekotoran” dalam PRU13 daripada pelbagai pihak.

Tindakan Umno menggunakan perkauman amat tidak wajar dan perlu dicela. Sepatutnya setelah menang, Najib sebagai Presiden Umno tersenyum lebar, tetapi kelihatan makin terseksa. Paling ketara, beliau gagal markah lulus “mengembalikan dua pertiga” majoriti BN, malah merosot dari 140 kerusi Parlimen kepada 133. Itu pun dengan bantuan Sabah dan Sarawak yang belum terkena tsunami Semenanjung. Najib juga malu besar apabila gagal “menawan Selangor”.

Sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor dan menyerang Pakatan habis-habisan, Najib tetap kecundang. Sebaliknya, Pakatan semakin kuat dan menguasai dua pertiga majoriti Dun Selangor.

BN menang kerana sistem British yang berasaskan “pertama melepasi tiang” (first pass the post). Jika dengan sistem “perwakilan berkadar” (proportional representation), BN pasti tersungkur! Yang paling malang bagi Najib sekarang ialah rakyat tahu “BN menang dengan pelbagai penipuan”.

Aduan mengenai perbuatan merasuah pengundi dengan bayaran RM300 ke RM1,000 satu undi sedang dikumpulkan. Petisyen akan dikemukakan sebaik sahaja pewartaan keputusan PRU13 dibuat. Jika mahkamah masih berwibawa, kerajaan minoriti BN diramalkan akan tumbang dalam masa enam bulan pertama!.WARTAUTARA.COM

Tiada ulasan: