"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hujah badminton Zul Noordin sudah lama di'smash'

Harakahdaily
KUALA LUMPUR: Semalam calon BN yang 110% yakin untuk menumbangkan Khalid Samad di parlimen Shah Alam, Datuk Zulkifli Noordin menggunakan analogi badminton untuk berhujah mempertahankan sistem pilihanraya negara.
(Ciuman maut untuk Zul Nordin)
Zulkifli membayangkan tiga set badminton antara Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak di mana kesudahannya Najib menang 21-19, 3-12 dan 21-9.

"Apabila pengadil mengumumkan Najib menang dengan 2-1, Anwar tiba-tiba bangkit melalak mendakwa dia patut menang kerana mendapat 59 poin atau 57 peratus daripada jumlah keseluruhan point pertandingan (sebanyak 104) sedangkan Najib hanya mendapat 45 point atau 43% daripada keseluruhan point pertandingan!

"Saya cukup pasti kalau Anwar mendakwa sedemikian, penonton sama ada akan berkata dia sakit otak, atau tidak ada otak langsung! Kerana apa? Kerana kita semua tahu dalam pertandingan badminton, penentuan juara ditentukan melalui jumlah set yang dimenangi, bukan jumlah point yang dikutip!" kata Zulkifli.

Sebenarnya, hujah Zulkifli sudahpun lapuk.

Ia telah dijawab Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hampir dua minggu yang lalu dengan menggunakan analogi badminton yang sama untuk berhujah dengan cerita yang sedikit kelainan.

Ketika itu, cerita yang disebar ialah:

“BN lawan badminton dengan PR. BN menang 21-19, 15-21, 21-19. PR protes kata dia patut menang kerana dapat 59 mata (19+21+19), BN pula dapat 57 mata (21+15+21). PR protes seluruh negara kata perlawanan tak adil dan dia yang menang. Siapa nak percaya kalau orang faham sistem?”

Berikut pula ialah jawapan yang diberi Tuan Ibrahim:

“Isu sebenarnya ialah bantahan terhadap kerusi-kerusi yang kalah, dan bukan undi popular. Undi popular cuma membuktikan majoriti rakyat menyokong PR walaupun tewas dalam pilihanraya. Takda siapa suruh PR diumum pemenang kerana undi popular. Menggunakan analogi badminton tadi ialah PR mempertikaikan 2 set yang dimenangi BN kerana ada pengadil dan penjaga garisan yang main tipu, bola IN kata OUT. Ada saja yang sengaja tak nak faham dan takut undi popular dijadikan isu,” jawabnya di dalam satu poster.

Tidak cukup dengan itu, semalam Tuan Ibrahim sekali lagi menggunakan analogi badminton untuk menggambarkan situasi dalam sistem pilihanraya negara tanpa merujuk kepada kenyataan Zulkifli yang dilaporkan di media.

“Kalau satu pihak hanya perlu 21 mata untuk memenangi satu set, satu pihak lagi perlu 63 mata baru boleh menang satu set di dalam satu pertandingan badminton, dan pengadil pula kata adil sistem begini, ada sesiapa yang nak main?

"Kalau semua set setara 21 markah, sudah pasti yang tewas tidak merungut, kerana setiap set adalah setara markahnya. Jumlah mata setiap set tidak menjadi pertikaian kerana perlawanannya ialah mencapai 21 mata dulu.

Ini cerita badminton. Yang terfikir pasal lain, tanyalah diri mengapa ya. Senyum,” tulis beliau di Facebook.

Rasanya cukuplah dua hujah Ketua Penerangan PAS ini sebagai smash balas yang tak terbalas kepada Zulkifli walaupun kedua-dua hujah ini dibuat tanpa merujuk kepada analogi lapuk Zulkifli yang dimainkan media Umno semalam.

Tiada ulasan: