ZULKIFLI YAHAYA
Semua Adun Kedah menerima surat rasmi berhubung Majlis Angkat Sumpah Adun dan persidangan pertama Dun untuk penggal baru yang dijadualkan pada 3 Jun 2013. Sejurus selepas itu mereka menerima pula panggilan telefon dan SMS dari pihak sekretariat Dun Kedah berhubung pembatalan majlis angkat sumpah tersebut.
Maklumat terbaru, tarikh tersebut ditunda ke 23 Jun 2013. Setelah disiasat punca penundaan tarikh tersebut ialah kerana Menteri Besar, Dato' Mukhriz Mahathir pergi bercuti ke London. Aduh, ada juga kerajaan begini rupanya.
Beberapa hari selepas dilantik jadi Exco Pengangkutan, Dato' Tajul Urus Md Zain mengumumkan kesediaan untuk melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di negeri ini. Kononnya, supaya para pemandu mematuhi peraturan jalanraya. Berbulan-bulan sebelum PRU13 rakyat bangun menentang AES dengan segala fakta dan hujah. Alih-alih baru dua minggu jadi Exco, sudah menunjuk kuasa.
Mengulas kenyataan Exco berkenaan, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ziki Abdul Rahman berkata AES masih belum boleh dilaksanakan di negeri ini. Pihaknya tidak dapat membuat sebarang keputusan kerana belum mendapat arahan dari pihak kementerian. Ibarat 'lembu dogiang' baru dapat kuasa di negeri, sudah lebih laju dari Pusat.
Exco Kerajaan Tempatan, Badrul Hisham Hashim pula mengumumkan kesediaan mengkaji untuk mengembalikan kuota perumahan 30 peratus untuk Bumiputera bagi Tanah Simpanan Melayu yang ditukarganti (swapping).
Kenyataan yang dibuat selepas dilantik jadi Exco itu sangat mengejutkan oleh sebuah kerajaan Umno kononnya sangat kuat Melayunya. Di saat sekutu parti rasis itu berkempen memboikot perniagaan orang Cina, Umno Kedah korbankan hak Melayunya.
Di masa Pakatan Rakyat, Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak mengubah polisi asal pemilikan minimum Bumiputera 30 peratus kepada 50 peratus. Tujuannya untuk mempastikan pemilikan Bumiputera terhadap tanah yang asalnya milik Melayu khususnya di kawasan bandar tidak berpindah milik dengan mudah.
Polisi itu mendapat tentangan keras dari Gerakan dan MCA sepanjang penggal. Ia dijadikan isu utama oleh kedua-dua parti rasis itu untuk menghasut orang Cina menolak PAS.
Dalam meredakan kemarahan masyarakat Cina yang termakan hasutan rasis Gerakan dan MCA itu, Dato’ Ir Phahrolrazi Zawawi yang memegang potfolio kerajaan tempatan pada masa itu menjelaskan bahawa tanah Simpanan Melayu yang di"swapping" cuma sekitar 15 peratus dari tanah perumahan yang akan dimajukan.
Kira-kira 70 peratus lagi adalah berstatus milikan bebas (free hold) di mana kuota untuk Bumiputera hanya 30 peratus, bermakna bukan Bumiputera boleh membeli sehingga 70 peratus.
Memandangkan bukan Bumiputera hanya merupakan 22.6 peratus dari penduduk Kedah, dari jumlah itu Cina adalah 14 peratus; maka mereka tiada masalah langsung untuk membeli rumah di negeri ini, kerana peluang untuk mereka memiliki rumah sangatlah besar.
Timbul pula persoalan pada masa itu mengapa kuota Melayu untuk tanah Simpanan Melayu yang ditukarganti itu sehingga 50 peratus sedangkan di zaman BN dulu cuma 30 peratus?
Jawapan yang diberi kerajaan negeri ialah, kerana tanah yang ditukarganti itu dibuat berdasarkan keluasan semata-mata, bukannya berdasarkan nilai tanah.
Maksudnya begini: Apabila pemaju mahu menukar status tanah Simpanan Melayu di pinggir Bandaraya Alor Setar (contohnya) untuk dijadikan free hold, pemaju perlu mencari tanah ganti dengan keluasan yang sama. Pasti pemaju akan mencari tanah yang nilainya lebih murah untuk "swapping", asalkan keluasannya sama.
Maka berlaku susutan nilai terhadap tanah Simpanan Melayu. Jadi adillah, jika susutan nilai itu ditampung oleh kenaikan lagi 20 peratus dalam kuota pemilikan rumah bagi tanah Simpanan Melayu yang di"swapping".
Isu kuota perumahan 50-50 ini bukan isu besar bagi bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina. Orang Cina tiada masalah untuk beli rumah di Kedah. Belilah seberapa banyak pun asalkan ada duit.
Phahrolrazi adalah orang yang bertanggungjawab menggubal polisi kuota perumahan 50-50 tersebut. Beliau bertanding di Dun Pengkalan Kundor yang mengandungi 22.82 peratus pengundi Cina. Phahrolrazi menang dengan majoriti lebih besar daripada PRU12, membuktikan bahawa umumnya orang Cina langsung tidak termakan isu rasis yang dimainkan Gerakan dan MCA.
Tiba-tiba kerajaan Umno Kedah menjadi tikus kepada parti Gerakan dan MCA. Malang nasib Melayu Kedah. Baru mula pegang kerajaan tidak sampai sebulan, kerajaan Umno Kedah sudah tempang.
1 ulasan:
awat kalah jugak?
Catat Ulasan