"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dihalang memasuki Jepun: Anwar patut salahkan diri sendiri

Aspan Alias
Takahari Suegami, dari Kedutaan Jepun telah memberikan sebab kenapa Anwar tidak dibenarkan masuk ke negara itu empat hari yang lepas. Penyebabnya bukannya kerajaan Malaysia atau UMNO. Penyebabnya adalah Anwar sendiri. Setiausaha Kedua Kedutaaan Jepun itu telah menyatakan Anwar tidak memohon visa untuk masuk ke negara Jepun. Di negara Jepun jika seseorang itu pernah di penjarakan perlu memohon visa dahulu sebelum memasuki negara itu.

Walaupun rakyat lain seperti Azeez Rahim dan Shahidan Kasim atau Shahrizat Jalil boleh memasuki Jepun tanpa visa tetapi kepada sesiapa yang telah di sabitkan kesalahan jenayah seperti Anwar mesti memberitahu Kedutaan Jepun sebelum berangkat dan meminta visa kemasukan beliau ke negara itu.

Itu sebabnya pihak Imigresen Jepun telah memberitahu Anwar yang penyekatan kemasukan beliau ke Jepun itu adalah di sebabkan pensabitan kesalahan beliau pada tahun 1999 dahulu. Kemasukan Anwar beberapa kali sebelum ini dibenarkan oleh pihak Imigresen Jepun kerana semasa itu ada pihak yang telah menyediakan visa untuk Anwar.

Sekira Anwar telah meminta dan memohon visa kemasukan ke Jepun dalam kes terakhir ini Kedutaan Jepun boleh membuat ‘special arrangement’ untuk Anwar masuki Jepun dan memenuhi jemputan Nippon Foundation itu.

Anwar sepatutnya memohon visa itu di Kedutaan Jepun dari menuduh pihak kerajaan memainkan peranan untuk sekatan terhadap kemasukan beliau ke Jepun itu. Jangan memohon visa itu dari UMNO atau kerajaan Malaysia. Minta visa itu dari Kedutaan Jepun.

Anwar sekarang sepatutnya sedar yang kegagalan beliau memasuki Jepun bukannya salah kerajaan kita. Ia adalah kesalahan beliau sendiri. Anwar tidak boleh membuat ‘equation’ dirinya sama dengan Azeez Rahim atau Shahrizat Jalil kerana mereka berdua ini belum sabit dengan apa-apa kesalahan dimahkamah.

Walaupun ramai pemimpin UMNO, termasuk Presidennya sendiri diketahui umum banyak melakukan kesalahan tetapi mereka belum lagi disabitkan kesalahan mereka dalam mahkamah. Itu sebabnya Rosmah dan ramai yang lain boleh masuk negara Jepun tanpa halangan kerana mereka ini belum lagi didapati bersalah di mahkamah. Negara Jepun bergantung sepenuhnya kepada sistem pentadbiran yang mantap.

Itu sebabnya negara itu boleh maju dan terus maju walaupun pernah bertukar Perdana Menteri setiap tahun, malahan ada ketikanya Perdana Menterinya bertukar dua kali dalam setahun. Perdana menteri boleh datang dan pergi, negara itu tetap berjalan kerajaannya tanpa gangguan seperti biasa kerana ber'sistem' yang mantap. Itu sebabnya negara itu kekal stabil dan aman politiknya. Di negara kita Perdana Menteri tidak mahu berhenti. Hendak berhenti dari jawatan itu 'ibarat memisahkan kulit dengan dagingya'.

Di sini sistem ada, tetapi tidak terpakai kerana kerakusan pemimpin boleh mengenepikan sistem untuk kepentingan mereka dengan menghormati pengasingan kuasa di negara ini. Kita juga ada sistem pengasingan kuasa di antara Legislatif, Eksekutif dan Judiciari nya, tetapi tidak terpakai kerana Eksekutif telah merampas semuanya dan menentukan perjalanan Badan Kehakiman.

Pernah dahulu Eksekutif menubuhkan Tribunal dalam tempoh sehari pada hari cuti umum pada tahun 1988 dahulu untuk membuang Ketua Hakim Negara. Sistem itu ada, tetapi dicerobohi oleh politik. Tribunal itu di tubuhkan pada hari Ahad dan juga Hari Buruh.

Mungkin Anwar terlupa yang negara yang beliau lawati itu adalah negara yang ber'sistem'. Mungkin beliau menganggap sistem di Jepun sama seperti sistem disini. Mungkin Anwar merasakan yang di Jepun politik boleh menceroboh bidang undang-undang seperti yang beliau sokong Dr Mahathir melakukannya pada tahun 1988 dahulu.

Sebagai Ketua Pemuda UMNO semasa itu, Anwar menyokong kuat tindakan Dr Mahathir mencerobohi Badan Kehakiman semasa itu. Hanya sejak dibuang oleh Dr Mahathir sahaja Anwar bercakap tentang sistem dan perkara-perkara yang lain yang berhubung kait dengan sistem berkerajaan ini.

Sekarang kita sudah tahu cerita sebenarnya kenapa Anwar tidak dibenarkan masuk ke Jepun. Tetapi jika minggu hadapan Anwar memohon visa untuk ke negara itu saya yakin beliau tidak akan dihalang lagi oleh pihak Imigresen di sana.

Pencerahan Setiausaha Kedua Kedutaan Jepun itu boleh diyakini, kerana di negara yang ber'sistem' itu apa yang diperkatakan oleh pegawainya itu selalunya tidak berubah, Ia tidak seperti di negara kita ini yang sentiasa berubah kenyataan pegawai dan pemimpinnya. Sebab ia berlaku begini, ialah kerana kita tidak menghormati sistem sebaliknya kita utamakan politik peribadi.

Tiada ulasan: