Jamilah Kamarudin
KLANG: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan beliau menandatangani surat perlucutan jawatan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
”Saya tak tandatangan surat tu. Keputusan (perlucutan) itu berasaskan surat Pengurus Besar jadi sebab itu kita gantung dia. Kita mahu cari kebenaran di sebalik surat itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata isu Azmin tidak dibincangkan dalam mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah PKNS semalam.
Sekaligus mengesahkan keputusan untuk melucutkan Azmin dalam PKNS kekal buat sementara seperti yang diputuskan melalui surat bertarikh 8 Disember lalu.
Menurutnya, isu utamanya tiada kaitan dengan Azmin sebaliknya ia membabitkan integiriti penjawat awam apabila berlakunya pertikaian kuasa Pengurus Besar tidak mengikut arahan kerajaan negeri.
Tegasnya, Pengurus Besar tidak ada hak menandatangani sebarang surat pelantikan dan perletakan jawatan melainkan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Timbalan Pengarah PKNS.
Sehubungan itu pihaknya akan memanggil Transparency International (TI-M) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meneliti dokumen yang dikeluarkan kerajaan negeri dan dokumen lain yang dikeluarkan Pengurus Besar dan Setiausaha PKNS dalam masa terdekat.
Katanya, siasatan itu berkemungkinan akan selesai dan akan dibentangkan selewat-lewatnya selepas Tahun Baru Cina.
“Oleh kerana kes ini ada kaitan dengan politik oleh sebab itu saya meminta Setiausaha Kerajaan Negeri yang kendalikan kes ini supaya memberi keadilan kepada semua,” katanya.
Beliau turut bersedia untuk mendedahkan dokumen minit mesyuarat Exco kepada umum esok selepas meneliti ia tidak bercanggah dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Ditanya mengenai nasib Pengurus Besar PKNS Othman Omar dan Setiausahanya Norita Mohd Sidek, Abdul Khalid berkata jawatan mereka akan digantung sementara menunggu siasatan selesai.
Khalid dalam kenyataannya semalam mengarahkan Othman dan Norita bertukar tugas ke Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri secara serta-merta.
Katanya, pertukaran itu bersifat sementara bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan yang melibatkan fakta dan undang-undang.
Pagi tadi, Setiausaha Kerajaan Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi pula mengesahkan dakwaan kononnya status penamatan perkhidmatan Mohamed Azmin dalam PKNS ditarik balik dan terbatal adalah palsu.
“Saya ingin menegaskan bahawa dakwaan Pengurus Besar PKNS dalam surat yang bertarikh 16 Januari 2014 itu adalah tidak benar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan