"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tubuh pemerintahan khalifah: ISIS semakin tarik sokongan?

HARIS ZALKAPLI 
KUMPULAN Negara Islam di Syria dan al-Syam, ISIS, telah mengumumkan penubuhan pemerintahan khalifah dari kedudukannya di Syria dan Iraq, dan turut mendakwa mewakili umat Muslim di seluruh dunia.

Kumpulan ini, yang dalam bahasa Arab dikenali dengan nama singkatan Da'ish, telah mengubah nama kepada Negara Islam atau Daulah Islamiyah, untuk mencerminkan sifatnya yang global.
Selain Syria dan Iraq, ISIS mempunyai pengaruh di seluruh dunia Arab, malah hingga ke Indonesia di Asia Tenggara. Selepas berjaya menawan kawasan luas di Iraq, ISIS dilihat akan meluaskan operasi hingga ke Lubnan, sebuah lagi negara yang mempunyai populasi Syiah yang besar.

ISIS bermula sebagai al-Qaeda di Iraq, yang aktif dan berkembang sepanjang konflik pascaperang selepas pemerintahan Baath dijatuhkan.

Ekoran konflik berpanjangan di Syria, ISIS mendapat manfaat melalui sentimen yang berleluasa akibat pertembungan sektarian dan kempen "jihad" menentang pengaruh Syiah, yang bermakna Syria dan Iraq menjadi medan yang tidak dapat dipisahkan.

Perkembangan ini menjadikan ISIS dikenali dengan kawasan baharunya Iraq dan al-Syam, kawasan yang meliputi timur Mediterranean, dari selatan Turki hingga utara Mesir.

Kemunculan militan pimpinan Abu Bakr al-Baghdadi ini mengisytiharkan negara Islam ini bermakna gerakan militan global kini mempunyai sebuah kumpulan yang boleh dilihat sebagai pemimpin.

Kumpulan ini kini dijangka akan mengatasi al-Qaeda dari segi tarikan kepada mereka yang ingin menyertai gerakan militan bersenjata, ekoran kejayaannya dilihat sebagai mempunyai kuasa ke atas sebuah wilayah dan mendapat sokongan popular.

Kejayaan menawan satu wilayah besar di Iraq dinilai sebagai satu kemenangan terhadap "agen Iran" yang menguasai Iraq, terutama pemimpinnya Perdana Menteri Nouri al-Maliki yang telah menjalankan dasar anti-Sunni sejak sekian lama.

ISIS kini mendepani penentangan terhadap Syiah dan Iran, dan setakat ini, boleh disifatkan sebagai berjaya mencapai misi menubuhkan khilafah atau pemerintahan sentral bagi umat Muslim yang menjadi cita-cita kumpulan Islam Sunni pelbagai kecenderungan, daripada Ikhwanul Muslimin, kepada Hizbut Tahrir.

Dari sudut perjuangan radikal dan bersenjata, ISIS juga kini mempunyai imej sebagai kumpulan bersenjata yang berjaya, terutama ekoran kejayaan simbolik menawan utara Iraq dengan pantas.

Pengumuman ISIS ini baharu sahaja berlaku. Tindakan ini dilihat sesetengah pihak sebagai hanya satu kempen publisiti dan tidak akan bertahan lama, ekoran sokongan yang bakal merosot selepas tempoh tertentu dan kekuatan ISIS untuk bertahan.

ISIS sukar untuk mendapat sokongan negara serantau, yang bimbang dengan kebangkitan kumpulan militan itu, dan dijangka akan mengambil langkah untuk mengekang dan menentangnya.

Kumpulan ini juga dilihat sebagai ancaman oleh kuasa-kuasa yang bertentangan dalam politik serantau Asia Barat, iaitu Iran dan Arab Saudi.

Tindakan ISIS di Iraq menggugat pengaruh Iran di negara yang semakin terpecah itu, dan pada masa sama mencemaskan Arab Saudi, sekutunya Jordan yang lebih dekat dengan Iraq, dan negara-negara Arab Teluk Parsi.

Iran menentang kumpulan militan seperti al-Qaeda, ISIS dan kumpulan militan yang terlibat menentang sekutunya Bashar al-Assad di Syria dan pada masa sama turut memerangi Syiah.

Penentangan kumpulan-kumpulan ini, yang disifatkan oleh Iran sebagai berideologi takfiri, menentang pemerintah Syria sebagai sebahagian perang terhadap pengaruh Syiah di dunia Arab.

Di Syria, Hizbullah telah turut terlibat dalam konflik bersenjata menentang militan pemberontak yang memerangi pemerintah Syria yang merupakan sekutu kuat Hizbullah dan Iran. (peta iraq: Kemaraan ISIS dan perisytiharan penubuhan pemerintahan khalifah di Iraq dan Syria bakal meningkatkan lagi populariti ISIS)

Arab Saudi juga semakin bimbang dengan peningkatan kumpulan ekstremis seperti al-Qaeda dan ISIS sendiri, yang berpendirian keras menentang pemerintahan monarki Saudi yang tidak selari dengan pemerintahan cara Islam.

Pemerintahan monarki Saudi dan negara-negara Arab Teluk dan Jordan dilihat oleh kelompok ektremis sebagai satu penghalang kepada penubuhan pemerintahan Islam.

Riyadh sejak kebelakngan ini telah menunjukkan perubahan sikap apabila meningkatkan usaha mengekang militan, termasuk melalui kerjasama dengan Amerika Syarikat.

Malangnya, Saudi dan Qatar menjadi pihak yang memberi sumbangan paling besar kepada percambahan kumpulan dan ideologi militan melalui sokongan mereka kepada kumpulan militan yang memberontak menentang pemerintah Syria.

Terbaharu, AS merancang membelanjakan AS$500 juta untuk membiayai pembangkang "moderat" untuk menentang Bashar, tindakan yang bakal meningkatkan lagi militarisasi konflik Syria, yang tidak akan dihadkan oleh sempadannya.

Secara spesifik, tidak dapat dikaitkan dengan pasti sumbangan dan sokongan Riyadh secara rasmi kepada ISIS seperti yang wujud pada hari ini, tetapi lambakan wang dan senjata, propaganda berideologi ekstrem yang digerakkan sepanjang kempen Syria telah menyediakan medan yang subur untuk kumpulan seperti ini tumbuh dan berkembang.

Pada masa ini, pihak yang paling rugi akibat kebangkitan ISIS yang paling jelas ialah pemerintah pusat Iraq yang berpotensi kehilangan wilayah dan sumber, dan berdepan negara yang semakin tergugat keselamatannya.

Iran turut berdepan kerugian apabila negara sekutu yang dikuasainya - walaupun bukan sepenuhnya - ditawan kumpulan militan yang menewaskan tentera kerajaan, yang membawa mesej sekutunya di Iraq lemah dan tidak popular.

Ekoran kejayaannya di Iraq dan pengumuman penubuhan pemerintahan khalifah, ISIS kini muncul sebagai pemimpin baharu gerakan militan global, dan kelihatan sedang menggantikan peranan yang dipegang oleh al-Qaeda.

ISIS bakal membawa semangat militan ini ke peringkat lebih tinggi akibat perkembangan semasa yang menyaksikan konflik yang semakin dahsyat.

Pada masa sama, ISIS juga meneruskan dan meningkatkan pertembungan sektarian di rantau Asia Barat dan juga seluruh dunia Islam melalui mesej yang disampaikan melalui perjuangan mereka.

Akibatnya, dunia Islam kini berdepan satu lagi cabaran besar, menambahkan krisis dan konflik akibat kebangkitan massa di Asia Barat dan Afrika terus menyaksikan kesannya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: