"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tidak semua secekal jiwa Intan

ARIF ATAN 
Noratikah menyuapkan nasi ke mulut datuknya ketika berbuka puasa di kediaman mereka di Felda Jengka 20.
ZAMAN kanak-kanak Noratikah Yusof di Felda Jengka 20, Pahang riang apabila datuk tempat menumpang kasih menghantarnya ke sekolah.

Namun sejak Julai 2012 lalu, tiba giliran Noratikah, 23, yang mesra dipanggil sebagai Intan pula menjaga makan dan minum Din Awang Kassim, 72.

Penyakit strok dialami datuknya menyebabkan Intan mengambil tanggung jawab untuk memberi sepenuh perhatian untuk menjaga bekas peneroka Felda Jengka generasi pertama itu.

Lebih berat bahu Intan yang memikul apabila turut menjaga ibunya, Rohani Din, 42, serta dua ibu saudaranya iaitu Norzaiha Din, 35, dan Norazlawati Din, 30.

Mereka bertiga tidak mampu menguruskan diri akibat diserang penyakit saraf. Semua perkara dilakukan dengan kudrat tenaga Intan beserta bantuan tiga adiknya dan sepupu yang juga tinggal serumah.

Mengangkat datuk ke tandas dan menukarkan kain lampin pakai buang ibu saudaranya antara rutin yang perlu mereka lakukan.

Berat mata memandang bagi rombongan Pemuda PAS dan Harakah ketika menziarahi keluarga yang menempuh ujian Allah yang hebat ini pastinya tidak sama beban yang mereka hadapi.

Intan sendiri mengambil keputusan yang tidak calang-calang mampu dilakukan oleh anak muda seusia dengannya yang sedang mengejar cita-cita.

Pengorbanannya untuk menjaga ahli keluarga menyebabkan beliau terpaksa menangguhkan pengajian selama tiga semester sebelum pasrah menerima tindakan pihak universiti menamatkan pengajiannya.

Akibatnya, hajat Intan untuk menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok di Kedah tidak kesampaian.

Kunjungan diketuai Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kai'at serta Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman menjelang waktu iftar pada hari kedua puasa, 30 Jun lalu menyaksikan makna pengorbanan sebenar yang tidak ramai mudah ditempuhi orang lain.

Lebih mengharukan, apabila Intan turut membesarkan dua adiknya yang sedang menuntut di sekolah menengah serta anak saudara berusia hampir dua tahun.

"Dari surat khabarkah? Tak mengapalah. Saya tak mahu dilihat macam meminta belas simpati. Saya masih boleh buat semuanya sendiri," ujar Intan sebaik saya bertanyakan butiran nama ahli keluarganya.

Reaksi spontan Intan yang mulanya berat untuk ditanya lanjut oleh Harakah cerminan dirinya yang berjiwa besar tidak mengharapkan ganjaran atas tenaga dicurahkannya apa lagi meraih simpati orang ramai.

Namun, pastinya kita sebagai masyarakat yang prihatin ditambah mengambil peluang memanfaatkan kebaikan di bulan mulia ini tidak hanya sekadar bersimpati kosong.

Sehubungan itu, sumbangan ikhlas pembaca Harakah boleh disalurkan terus melalui akaun Maybank 5640 2540 0414 atas nama "Tabung Rakyat Prihatin".

Ini memandangkan bantuan diperoleh keluarga itu dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak mencukupi bagi menampung kos perbelanjaan harian dan perubatan yang kian meningkat.

Sementara itu, Suhaizan Kai'at menyeru pembabitan kerjasama jabatan atau agensi kerajaan dan swasta membantu meringankan beban keluarga terbabit terutama dari segi lawatan pegawai perubatan secara berkala.

"Ibu Intan yang menghidap penyakit saraf serta dua ibu saudaranya yang tinggal di kediaman sama juga perlukan penjagaan bersama daripada pembantu rumah.

"Aspek pendidikan sempurna pula mesti kita beri penekanan memandangkan adik-beradik dan sepupunya yang masih di bangku sekolah selain anak kecil berusia satu tahun yang mesti dipastikan mendapat pendidikan sempurna dan makanan berkhasiat," ujarnya kepada Harakah di rumah keluarga terbabit di Felda Jengka 20.

Menurut Suhaizan, pembantu rumah juga diperlukan bagi menjaga mereka yang sakit manakala Noratikah atau dikenali sebagai Intan harus menyambung pengajian tingginya.

'Gaji pembantu rumah saya cadangkan dapat ditanggung mana-mana pihak swasta atas dasar tanggungjawab sosial korporat mahupun daripada pihak kerajaan juga," katanya lagi.

Sepetang Harakah bersama pimpinan Pemuda PAS Pusat serta negeri Pahang juga menyaksikan kehadiran tanda cakna Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Nasaei Ismail; Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Saad dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Roslan Mat Esa.

Turut hadir Ketua Pemuda Kawasan Kuala Krau, Syafie Mat Esa; Timbalan Presiden Anak Pusat, Aris Fezol Ismail dan Ketua Cawangan Jengka 20, Yusuf Abdullah.
Semua ahli rombongan termasuk anggota Unit Amal Kawasan Kuala Krau berbuka puasa bersama keluarga terbabit dengan hidangan nasi Arab berlaukkan kambing dan ayam istimewa masakan isteri Ahmad Lutfi.

Menunaikan solat Maghrib berjemaah di perkarangan rumah keluarga terbabit seusai berbuka puasa mencelikkan kita masih ramai anggota masyarakat hari ini ditimpa kepayahan untuk menempuh kehidupan yang memerlukan bantuan dan sokongan kita bersama.

Tiada ulasan: