USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
SAYA dah sampai Kota Baru, bertolak awal, nak elak kesesakan, apatah lagi bila pergi dengan keluarga, main dengan anak ramai ni, memang banyak gangguannya, kejap berbalah, kejap lapar, kejap nak buang air, macam-macam kejapnya. Berbunga hati apabila mula memasuki gerbang Negeri Kelantan Darul Naim, kibaran bendera PAS hampir di sepanjang jalan menuju ke Kota Baru, anak-anak teruja sangat melihat kibaran bendera PAS, riuh rendah bunyinya.
Dulu kami kami turut ke perhimpunan hijau di Stadium Darul Aman Kedah, himpunan yang sangat menggamit kenangan anak-anak, hampir lima tahun himpunan itu berlalu, namun masih lagi menjadi perbualan mereka di dalam kereta, mungkin teruja melihat lautan manusia berpakaian hijau yang hadir, Insya-Allah kali ini mereka akan menyaksikan lagi lautan manusia berpakaian hijau memenuhi Stadium Sultan Muhamad, Kota Baru, Kelantan Darul Naim.
Rakan-rakan dari seluruh negara juga kelihatannya sangat teruja untuk hadir, ada juga rakan yang 'baina-baina' antara PAS dan PAN nak hadir.
Semalam dia sms saya, dia kata nak hadir, saya tanya dia 'dengar anta dah masuk PAN?', dia kata 'tak tahulah Ustaz, borang dah serah, tapi hati masih PAS', saya ketawa, cuma saya katakan padanya "Pergilah, tiada siapa yang halang, cuma aku nak pesan, jangan pakai baju oren", dia ketawa, dia kata "aku dah beli baju fastaqim, esok nak pakai".
Saya tidak ambil sikap bermusuh, saya yakin dia bukan tahu sangat tentang perkembangan politik dan krisis dalaman PAS, sepanjang saya kenal dia, dia culas sikit bab program Tarbiyyah ni, tapi kalau himpunan ramai-ramai gini, dia suka sangat, himpunan bersih 1,2,3 dan 4 semua dia sapu bersih. Sanggup tinggal kerjanya dek kesukaannya berhimpun. Mesti dia senyum baca status saya malam ni, saya dah bagitau dia yang saya akan selitkan cerita dia.
Kami rakan mesra dan memang dah biasa saling mengutuk, tapi kutuk yang terkawal, masih menjaga adab. Dia dalam perjalanan ke KB sekarang, baru kejap hantar gambar pakai baju Fastaqim, sambil senyum meweh, siap angkat ibu jari tanda 'good' lagi, entah apa yang 'good', hanya dia yang tahu.
Begitulah suasana di dalam bahtera PAS yang terbuka, keahliannya dari pelbagai latar belakang pendidikan dan pelbagai perangai, sebab itu bila kapal dilanda gelombang, ada yang Istiqamah, ada yang mabuk dan ada juga yang terjun.
Oleh sebab itu PAS sangat menitik beratkan soal Tarbiyyah, mendidik ahlinya agar sentiasa menuntut semua lapangan ilmu, kerana ilmu itu adalah petunjuk, biar kita berbuat sesuatu itu melalui petunjuk ilmu, jangan macam lalang yang condong ke kiri ke kanan mengikut tiupan angin, bak kata ulama, ilmu itu akan menjadikan penuntutnya seperti ikan, yang tetap tawar isinya, meskipun berada di lautan masin, tidak dipengaruhi oleh keadaan sekeliling, dia tetap berada pada fitrahnya.
Islam adalah agama fitrah yang Allah SWT turunkan kepada manusia untuk meluruskan kepercayaan manusia supaya mentauhidkan diri kepada Allah Yang Maha Esa.
Pengaruh tauhid ini akan menjadikan manusia sentiasa Istiqamah dijalan Allah SWT, tidak sedikitpun ancaman atau celaan manusia menjadikan ia berundur dari perjuangan. Ilmu adalah neraca pertimbangan yang sangat adil untuk kita jadikan sandaran bagi menetapkan kedudukan kita didalam wadah perjuangan yang benar.
"Belajar itu jambatan ilmu, malas itu jambatan dungu"
Jangan menjadi sesumpah yang sering bertukar warna mengikut warna sekeliling, Nabi SAW telah berpesan bahawa roda kitaran Islam itu sentiasa berpusing, hendaklah kita sentiasa mengikut kitarannya, sama ada ia di atas atau di bawah, maka ikutilah kitarannya.
Jangan hanya mengambil Islam ketika menangnya, tapi ketika ia dihina, dikeji dan dihimpit oleh musuh lalu kita melarikan diri, kita boleh berkata atau diam, berlari atau berjalan, masuk atau keluar, tetapi biarlah ia dengan arahan Allah dan RasulNya.
Keluar masuk parti atau jamaah bukan perkara kecil, kerana ia adalah wadah perjuangan, setiap wadah perjuangan pula ada marhalahnya, kita akan sampai kepada marhalahnya, apabila betul jalannya dan jalannya pula hanya betul apabila kita mengambil jalan yang ditunjuki oleh Allah dan Rasul-Nya bukan jalan yang ditunjuki oleh hawa nafsu, bukan jalan yang terbina dari rasa marah, kecewa, kebencian ataupun terdorong dek kasihnya kita kepada manusia, "Ikut hati, mati. Ikut rasa, binasa. Ikut nafsu, lesu. Ikut Islam, Insya-Allah tenang dan selamat.
PAS telah melalui lorong ujian ini sejak lama, begitu juga jamaah yang sama dengannya seperti Ikhwanul Muslimin yang lebih awal dari PAS. Kecekalan, kegigihan dan Istiqamah jamaahnya adalah terdorong oleh ketauhidan dan keyakinan kepada Allah Yang Maha Berkuasa.
Keyakinan ini hanya terbina dengan ilmu, ilmu dan tarbiyyah itulah yang menjadikan kita mengenal Allah, dengan mengenal Allah itulah yang menjadikan kita takut serta yakin kepada-Nya, dengan keyakinan itulah menjadikan kita Istiqamah dijalan-Nya... FASTAQIM!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan