"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Orang masjid, janganlah sombong...

Muhamad Mat Yakim
TEMPATNYA di pekarangan sebuah masjid. Acaranya ialah majlis sempena Hari Raya. Tujuannya sudah pasti suci, tulus lagi murni untuk mengeratkan silaturahim sesama anak kariah.

Ada ironi yang terjadi. Saya hadir berseluar jeans, berkemeja lengan panjang sebagaimana kebiasaan. Selepas itu, rancangnya mahu penuhi jemputan yang lain pula. Maka tidaklah saya berkopiah atau berjubah sebagaimana kebanyakan hadirin lain.

Ada pun ceritanya, ketika saya berbual dengan beberapa rakan, datang seseorang yang berkopiah berjabat tangan dengan semua yang ada, kecuali saya. Tertanya-tanya oleh saya mengapa dikecualikan. Seingatnya, saya tidak pernah pun ada apa-apa masalah dengan dia, malah apa yang lebih mungkin, saya percaya dia tidak pun mengenali saya.

Mungkin kerana pakaian saya agaknya, yang tidak seperti orang masjid. Namun wajarkah kerana itu saya diperlakukan sedemikian.

Walaupun ini mungkin kes terpencil yang peribadi sifatnya, daripada pengalaman saya, memang ada sesetengah orang masjid yang berasa diri mereka lebih Islam daripada orang lain. Tidak jadi masalah jika keislaman itu ditunjuk melalui penampilan kerana itu sememangnya sunnah Rasul namun yang jadi masalah jika imej yang begitu indah, ditunjukkan sebaliknya pada sikap sombong, riyak dan memandang rendah pada orang lain.

Itulah apa yang saya rasakan pada masa itu, terhina dan tersinggung. Namun apa yang lebih membuat saya berasa sedih sebenarnya ialah kerana yang terlibat itu berpenampilan Islam, imej suci Islam turut sama terpalit oleh perlakuan orang yang seperti itu.

Semua kita tahu, Islam melarang keras sikap sombong. Banyak ayat al-Quran menegaskan tentang ini, dah hadis Nabi pula ada menyebut, "tidak akan masuk syurga sesiapa yang di dalam hatinya ada sikap sombong waima seberat biji sawi."

Bagaimana jika yang jadi mangsa dalam situasi seperti ini orang bukan Islam. Adakah mereka hanya akan menyalahkan orang itu seperti kita atau menuding kepada Islam secara keseluruhan?

Kerana itulah, setiap kali berbicara mengenai akhlak negatif yang tersembunyi, pertimbangan saya sering diselubungi kebimbangan. Seseorang kaki maksiat, jika ditanya mengenai perbuatannya, saya percaya dia akan mengaku apa yang dilakukan itu maksiat dan berdosa.

Ini memungkinkan suatu hari nanti dia akhirnya akan insaf dan bertaubat juga.

Namun jika melibatkan orang agama, ada kemungkinan dia akan tersesat dan dikelirukan oleh penampilan dirinya sendiri yang kelihatan seperti tiada dosa, seolah-olah syurga telah terjamin untuknya sedangkan kita tahu, amal ibadah orang yang sombong tiada nilai di sisi ALLAH, malah tempatnya adalah neraka. Saya tidaklah menuju ayat ini kepada orang yang tidak bersalam dengan saya itu tetapi suatu penegasan mengenai banyak amaran ALLAH dalam al-Quran.

Itu juga bukanlah satu-satunya pengalaman saya dengan orang masjid. Tidak lama dahulu, saya sertai kumpulan Facebook masjid untuk mengikuti jadual kuliah selain menambah ilmu melalui diskusi ahli-ahli jemaah.

Malangnya, apabila saya lontarkan satu soalan di 'wall', datang seseorang - berkopiah juga - yang tidak pun saya kenal menyindir: "Soalan macam tu, budak darjah 6 pun boleh jawab."

Saya pun membalas: "Maafkan saya tuan, saya sekolah setakat darjah 5, tak sampai darjah 6..."

Sudah orang loyar buruk, saya pun loyar buruklah juga. Barang kali tidak menyangka respons saya yang begitu, dia cuba mengendurkan keadaan: "Saudara tanya itu pada orang yang salah ..."

Dan saya membalas lagi: "Walaupun saya tak bersekolah tinggi, mak bapak saya ajar saya bersangka baik pada semua orang, pandang setiap orang lebih daripada saya, sebab itu saya tanya ... tak sangkalah pulak di sini tanya pun jadi kesalahan."

Selepas itu, saya terus keluar daripada Facebook mereka. Sebelum itu, saya sempat berhubung dengan pentadbir Facebook itu menyatakan kekesalan saya. Jika beginilah sikap orang masjid, bagaimanakah agaknya mereka mahu mengajak lebih orang mengimarahkan rumah ALLAH. Orang tidak datang ke masjid, dikata, diumpat dan dicerca. Elok orang datang hendak bermesra, disombong-sombongkan pula.

Sudah elok jadi orang masjid, akhlak kenalah jaga. Biarlah selari dengan apa yang dipakai. Jangan tempah dosa berganda-ganda. Sudah elok berpakaian Islam, kalau akhlak tidak dijaga nanti jadi fitnah pada agama. Kalau orang seperti saya, buat maksiat, orang hanya mengata saya. Tetapi orang berkopiah, berjubah jika buruk perangainya, itu mengundang fitnah pada agama.

Seorang alim yang saya rujuk mengenai hal-hal yang seperti ini mengingatkan: "Kalau orang agama begitu akhlaknya, begitu sombongnya ... ingatkan dia untuk periksa siapa yang sebenarnya dia sembah, ALLAH atau ego dirinya sendiri?" Jawablah sendiri!

Tiada ulasan: