Mufti Perlis Datu Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mempersoalkan kewajaran seseorang individu membayar zakat dan mengamanahkan harta awam dan anak yatim kepada institusi yang tidak dipercayainya.
Posting di laman Facebook miliknya turut bertanyakan hukum institusi pengurusan zakat dan harta awam yang tidak melaksanakan tugas mereka dengan sempurna.
"Apakah hukum mereka yang diamanahkan menguruskan zakat serta harta awam namun tidak menguruskan dengan cara yang amanah dan wajar?
"Apakah wajar seseorang individu memberikan amanah seperti harta awam, anak yatim, zakat dan lain-lain kepada pihak yang beliau yakini tidak atau kurang amanah?" soal Asri.
Persoalan itu katanya dibangkitkan susulan menerima pertanyaan bertalu-talu daripada ramai pihak yang mendesaknya supaya mengulas kenyataan pihak tertentu membayar zakat terus kepada fakir miskin itu berdosa.
"Memang, persoalan kewajiban bayar zakat kepada dan melalui ulul amri ada dibincangkan sarjana fekah. Ada perincian dan perbezaan pendapat.
"Namun sebelum mengulas soalan tersebut, sekurang-kurang dua soalan itu hendaklah ditanya dan dijawab terlebih dahulu," katanya.
Asri bagaimanapun berkata, sekiranya persoalan-persoalan itu dapat dijawab dengan memuaskan, dan yakin pihak rasmi zakat itu amanah dan telus, zakat hendaklah dibayar melalui mereka.
"Kerana mereka lebih tahu maslahat fakir miskin. Bahkan, enggan bayar kepada ulul amri tanpa sebab yang munasabah boleh berdosa kerana Allah memerintahkan kita taat kepada pemerintah dalam perkara yang makruf," katanya.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha yang mendakwa pengagihan zakat tanpa melalui pemerintah adalah sah tetapi berdosa.
Othman berkata pandangannya sejajar dengan Muzakarah ke-76 Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 21 November 2006.
Beliau berkata, pembayaran zakat tanpa melalui agensi yang sah akan menyebabkan ketidakadilan kepada pihak lain kerana kemungkinan seseorang asnaf turut menerima bantuan daripada individu lain.
“Perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa kerana dalam Islam, patuh dan taat kepada pemerintah atau ulul amri dalam perkara kebaikan adalah wajib,” katanya
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan