"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mesyuarat di Parlimen untuk halang ahli Umno berhimpun dan mudahkan pemecatan?

Shahbudin Husin
Perkara yang menjadi tanda tanya paling besar mengenai mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada 24 November ini ialah mengapa ia diadakan di Parlimen dan tidak di Menara Dato' Onn di PWTC? Walaupun mungkin ada mesyuarat MT pernah diadakan di tempat lain selain ibu pejabat Umno sebelum ini, tetapi rasanya belum pernah lagi ia diadakan di Parlimen.

Malah sepanjang mengenali Umno, saya juga tidak pernah mendengar ada mesyuarat MT diadakan di situ. Saya turut bertanya dengan beberapa pemimpin veteran Umno dan mereka juga mengesahkan sejak dahulu pun memang tidak pernah mesyuarat MT diadakan di Parlimen.

Semua presiden Umno secara umumnya sedar Parlimen adalah milik rakyat serta merupakan tempat tertinggi untuk menggubal undang-undang dan bukannya kepunyaan parti politik.
Tidak seharusnya sebarang acara atau mesyuarat parti politik diadakan di situ.

Tetapi kenapa Najib Razak begitu berani mencipta sejarah dan tanpa segan silu melanggar kelaziman itu dengan memulakan amalan menjadikan Parlimen sebagai tempat untuk mesyuarat MT Umno?

Apakah mesej yang mahu disampaikannya kepada rakyat? Apakah selepas ini lebih kerap MT Umno akan bersidang di Parlimen?

Logikkah alasan Azalina Othman Said mesyuarat MT Umno kali ini diadakan di Parlimen yang berkebetulan dengan sesi Dewan Rakyat sedang berlangsung untuk mengelakkan berlakunya sebarang usul tergempar yang mungkin dibawa pihak pembangkang?

Masuk akalkah juga hujah Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor pemilihan Parlimen sebagai tempat mesyuarat kali ini ialah untuk memudahkan ahli Parlimen yang menjadi ahli MT Umno menghadirinya?

Bukankah Parlimen dengan ibu pejabat Umno kalau mengikut istilah orang lama hanya "sepelaungan" saja jaraknya?

Berkenaan tarikh asal mesyuarat MT pada 27 November tetapi diawalkan kepada 24 November, bolehkah diterima alasan Tengku Adnan ia dicepatkan kerana Perhimpunan Agung Umno tahun ini yang ditetapkan pada 8 hingga 12 Disember sudah begitu hampir tarikhnya?

Banyak sangatkah bezanya tarikh asal 27 November dengan tarikh baru 24 November?

Tidakkah tindakan mengawalkan tarikh mesyuarat daripada Jumaat kepada Selasa supaya ia boleh diadakan di Parlimen memandangkan tiada sessi Parlimen pada hari Jumaat?

Selain itu, dengan Umno sudah memulakan mesyuaratnya di Parlimen, apakah selepas ini semua parti komponen BN, kerana mereka sedang menguasai kerajaan, akan turut mengadakan mesyuarat di Parlimen?

Bolehkah dibayangkan jika MCA, MIC, Gerakan atau parti dari Sabah dan Sarawak bersilih ganti menjadikan Parlimen sebagai tempat bermesyuarat mereka?

Yang nyata dan mudah difahami, kerana salah 1 agenda penting mesyuarat MT pada 24 November ini ialah untuk memutuskan sama ada memecat atau menggantung keahlian Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan Tun Mahathir Mohamad daripada Umno, maka dengan melangsungkannya di Parlimen, ia hanyalah bertujuan untuk memudah dan melicinkan lagi segala perancangan itu.

Apa pula kaitannya pemecatan atau penggantungan dengan mesyuarat di Parlimen?

Jika kita masih ingat, dalam mesyuarat MT Umno sebelum ini yang dihebohkan Muhyiddin dan Shafie akan dipecat susulan pengguguran mereka daripada kabinet, ribuan penyokong kedua pemimpin itu berkumpul di Bangunan Umno dengan pelbagai sepanduk serta poster dan ia akhirnya bukan saja menyebabkan sebarang tindakan tidak jadi diambil, bahkan juga turut membuatkan Najib datang dan pulang dengan melalui pintu belakang lantaran bimbang sesuatu respon yang tidak diingini berlaku terhadapnya.

Tetapi, dengan kali ini MT mengadakan mesyuaratnya di Parlimen, tidak ada penyokong pemimpin akan dibenarkan memasuki bangunan itu berikutan faktor kawalan keselamatan yang sedia ada di situ dan akhirnya Najib dapat mengelakkan sebarang reaksi atau protes yang tidak diingini berikutan pemecatan atau penggantungan yang akan dilakukannya.

Apatah lagi kali ini, bukan saja Muhyiddin dan Shafie yang dipercayai akan diambil tindakan, bahkan juga akan melibatkan sama Tun Mahathir yang lebih ramai penyokong setianya.

Sudah tentu jika tindakan sedemikian diputuskan di Bangunan Umno, puluhan ribu penyokong Muhyiddin, Shafie dan Tun Mahathir tidak ada masalah untuk bergabung, berhimpun dan memprotes lantaran kemarahan terhadap keputusan yang diambil itu.

Ia juga mungkin mengakibatkan Najib sekali lagi terpaksa hadir dan pulang melalui pintu belakang sebagaimana mesyuarat MT sebelum ini.

Lalu, dengan memindahkan mesyuarat MT ke Parlimen, Najib dengan mudah dapat menjadikan semua kemungkinan buruk dalam kawalannya serta mengelakkan sebarang protes yang tidak diingininya.

Itulah sebab terbesarnya Parlimen jadi pilihan pada 24 November ini dan bukan lagi ibu pejabat parti sendiri. Alasan dan hujah lain hanyalah rekaan dan auta sahaja. 
shahbudindotcom.blogspot.my

Tiada ulasan: