"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenyataan Hadi mudahkan rakyat buat pilihan PRU14

Sheikh Omar Ali
Saya merujuk kenyataan dikeluarkan presiden PAS semasa program Himpunan Harapan Semua (Harap 3.3) di Terengganu pada 27 Februari lalu yang menggambarkan beliau hanya anti kepada parti Umno, bukannya orang Umno.

Bahkan atas niat apa sekalipun, Utusan Malaysia memetik sedutan ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan memberikan gambaran PAS bersedia menjadi pendukung kuat kepada Barisan Nasional (BN) sekiranya mereka mentadbir Malaysia dengan ikhlas serta kembali kepada ajaran Islam.

Pada pandangan saya, kebijaksanaan rakyat hari ini tidak boleh sama-sekali dipandang enteng mana-mana pihak, lebih-lebih lagi sekarang ini kita berada pada zaman “langit terbuka”.
Maklumat boleh diperoleh di mana-mana dan daripada pelbagai sumber.

Rakyat mampu menilai dan membuat analisis terhadap apa sahaja kenyataan yang dilontarkan pemimpin. Sekalipun presiden PAS menyatakan beliau tidak menolak orang Umno sebaliknya hanyalah menolak parti itu, ia tidak akan sama sekali dapat “mengkelabukan” kebijaksanaan rakyat dalam menilai pelbagai maksud dan niat yang mungkin di sebalik kenyataan seperti ini.

Persoalan dan keresahan kita pada hari ini adalah terhadap ketidaktentuan politik yang dipacu govenment of the day pimpinan Datuk Seri Najib Razak akibat pelbagai skandal yang akhirnya menekan ekonomi negara dan kehidupan rakyat.

Saya berpandangan , apa yang penting bagi rakyat pada hari ini adalah kezaliman serta ketidakadilan sistem ekonomi dan sosial yang menghimpit hidup rakyat mestilah ditamatkan segera.

Dengan apa juga hujah sekalipun yang diguna pakai PAS dalam menanggapi kemelut politik yang diterajui Najib – tidak kira sama ada menolak Umno atau individu bernama Najib itu sendiri.

Hanya ada 2 sahaja jalur pilihan jelas menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang; berkompromi dengan kerajaan hari ini yang meranapkan keseluruhan sistem bernegara sehingga memangsakan rakyat atau bersama menggembleng tenaga dalam gelombang rakyat melawan pemimpin korup serta salah guna kuasa yang menyebabkan negara berada dalam bahaya.

Kenyataan presiden PAS jelas sekali berpunca daripada persoalan adakah beliau akan turut serta dalam himpunan “anti-Najib”?

Jawapan beliau adalah "Saya anti Umno….tetapi tidak (anti) orang Umno, orang Umno tidak, orang Umno kita (PAS) hendak berbaik".

Namun soalnya, orang Umno sendiri pada hari ini jelas terbahagi kepada 2 kelompok iaitu penyokong Najib, dan yang mahu agar Najib turun daripada tampuk kuasa.

Jika saya boleh melontarkan soalan kepada presiden PAS, beliau mahu berbaik dengan ahli Umno daripada kelompok mana satu?

Respons diberikan presiden PAS pada saya menggambarkan kekaburan PAS dalam menempatkan diri di saat kemarahan rakyat terhadap perdana menteri kian memuncak. Termasuklah daripada kalangan orang Umno itu sendiri.

PRU ke-14 bakal tiba kurang lebih 2 tahun sahaja lagi dari sekarang. Saat keadaan kian meruncing, ditambah dengan beberapa langkah drastik diambil tokoh-tokoh besar seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkemungkinan disusuli beberapa tokoh lain, dinamika politik Malaysia bakal mengalami perubahan yang besar.

Justeru, saya katakan kenyataan dikeluarkan presiden PAS hanyalah akan memudahkan lagi rakyat untuk menilai PAS serta membuat perhitungan tuntas dalam PRU akan datang bagi memastikan negara ini kembali bergerak mengikut arah tuju yang betul.

* Penulis adalah penolong setiausaha publisiti DAP Johor.

Tiada ulasan: