"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


PAU, Rohingya, Umno dan Pas isu-isu menarik

Mohd Sayuti Omar
Sekurang-kurang ada dua isu atau peristiwa yang tidak sempat saya sorot dan memberi ulasan disebabkan begitu "lorat" dengan kerja-kerja akhir untuk "mengafankan" manuskrip buku baharu untuk dihantar kepercetakan.

Dua isu atau peristiwa itu, mengenai perhimpunan agung Umno dan terbaharu peritsiwa himpunan solidariti ummah Rohingya yang berlangsung pagi semalam.

Alhamudilah hari ini lega, kerja-kerja menyudahkan buku, editing terakhir serta pemuktamadan memilih cover sudah pun siap Subuh tadi, dijangka buku itu akan menemui pembaca secepatnya pertengahan bulan ini.

Jangan lupa tajuknya ialah "Gelora Piraum 14, Siapa PM Selepas Najib. Buku ini merupakan Jubli Emas, buku ke 50 saya.
Sebahagian daripada Rohingya yang hadir.
Mungkin isu perhimpunan agung Umno tidak perlu disentuh panjang lebar lagi kerana sudah banyak diperkatakan umum. Secara ringkas juga saya telah menulis dalam FACEBOOK dan twiter. Begitu juga dengan peristiwa himpunan solidariti Rohingya semalam.

Saya hadir sendiri untuk melihat apa yang berlaku. Pagi-pagi lagi saya sudah bergegas ke Taman Tasik Titiwangsa bersendirian.
Beberapa orang si baju merah.
Saya meninggalkan kesibukan kerana teruja untuk melihat kekuatan ummah Melayu. Saya membayangkan himpunan semalam menjadi himpunan perdana terbesar akhir tahun ini. Orang Melayu akan menggunakan himpunan itu sebagai landasan menunjukkan kekuatan dan iltizam. Saya mengirakan kalau kehadriannya tidak mencecah 100 ribu cukuplah 50 ribu sahaja, separuh dari Bersih 5.

Ada sebab kenapa saya membayangkan demikian, antaranya kerana himpunan itu disertai bersama oleh dua pemimpin besar politik, Najib Razak dan Abdul Hadi Awang. Najib PM Malaysia manakala Hadi adalah Timbalan Presiden Ulama seDunia. Saya mengira berlaku kombinasi di antara ahli dan penyokong Umno dan Pas menperdanakan himpunan berkenaan. Sepanjang dalam perjalanan saya membayang Kuala Lumpur dilauti warna merah dan hijau.

Kedua-dua parti berkenaan mengajak ahlinya menghadiri himpunan berkenaan bagi menyatakan sokongan dan simpatis kepada masyarakat Rohingya dalam pada itu mengecam dan mengutuk regim Junta Myanmar yang zalim itu. Zahid Hamidi semasa berucap mengulung perbahasan di PAU menggesa para perwakilkan hadir. Permintaan Zahid itu menyebabkan himpunan itu bukan perkara enteng. Begitu juga dengan Pas telah mengerak seluruh kekuatannya dan poster diviralkan dalam media sosial.

Bagaimana pun ternyata semalam mengecewakan saya. Orang Melayu tidak alert kepada himpunan itu, masih lagi bernafsu nafsi. Masing-masing menjaga kepentingan diri tanpa mahu bersatu untuk memperjuangkan nasib ummah bersama. Himpunan itu gagal dijadikan landasan untuk menzahirkan kesatuan jiwa sebagai ummah Islam. Sentimen politik tampaknya masih membatasi diri.

Sepatutnya semalam, umah Islam (Melayu) tanpa mengira warna dan ideologi politik berkumpul memenuhi taman tasik berkenaan. Terutamanya orang Pas dan Umno serta semua ahli NGO Islam perlu bergabung menunjukkan solidariti dan kekuatan. Kumpulan baju merah dan Perkasa(M) yang lantang menyalak sebelum ini seharusnya mengarusi himpunan itu. Satu gelombang kebangkitan dan kesedaran Melayu patut berlaku selepas mendapat aspirasi daripada Najib yang mengingatkan kerajaan Melayu Islam akan jatuh kalau negara ini terlepas ke tangan Cina (DAP).

Bukankah aspirasi Najib itu sama dengan apa disuara, dimunajati dan dibisikan oleh presiden Pas. Tidakkah Pas sedia meninggalkan Pakatan Rakyat kerana tidak suka dan curigai dengan DAP atau ancaman Kristinisasi. Ertinya aspirasi Pas dengan Umno kini sudah "semakan". Bak kata orang Pas dan Umno sudah bertepok tampar punggung.

Namun hakikat tidak terjadi seperti dibayangkan itu. Ini menjelaskan belum ada persepakatan dan gerakan hati penyokong akar umbi kedua-dua parti itu untuk duduk bersama. Gadingan Najib - Hadi tidak membuka liur orang Melayu untuk meniru persefahaman mereka. Mungkin rakyat belum matang dan tidak ingin mengamalkan politik sejahtera anjuran Pas? Atau mereka terkeliru dengan kematangan itu yang terjadi sebaliknya kelihatan "kebodoh-bodohan?"

Dengan apa yang terjadi semalam apakah boleh dikatakan orang Pas dan Umno yang seharusnya menjadi paksi kekuatan solidariti Melayu itu belum yakin untuk bersama? Alasan atau pun hujah yang disampaikan pemimpin masing-masing tidak memecahkan liur mereka. Atau mereka sebenarnya masih meragui di antara satu sama lain, dan sejarah lama masih mengekang dalam tubuh mereka?

Apa yang boleh saya nilai mengapa keadaan itu berlaku mungkin disebabkan kedua pihak masih "berklu klik", tusuk punca. Belum jelas dan tidak mengistyharkan kedudukan mereka. Atau ummah Melayu masih belum faham apa istilah ta'awun dan slogan politik "matang dan sejahtera" itu. Bagi orang Pas mereka masih teringat kepada kesadisan Umno. Lagipun pemimpin mereka masih ada yang menafikan wujud kerjsama. Perbezaan pendapat dan kesimpulan politik berbeza di kalangan pemimpin mengelirukan mereka.

Demikian juga dipihak Umno, ia tidak menyatakan secara jelas akan bentuk kerjsama itu. Walaupun "paip" nafsu Umno sudah terbuka dan menegang untuk bersama Pas, tetapi kerana ia belum jelas, tidak istyahar kepada ahli maka ia mengelirukan.

Sepatutnya Umno tidak perlu menyembunyikan shawatnya. Masa PAU yang lalu seharusnya sudah ada usul membincangkan kerjasama dengan Pas. Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir sudah membayangkan isu perpaduan dengan Pas akan dibincangkan, malangnya sampai ke sudah usul itu tidak kedengaran. Kenapa? Apakah ia ada nasihat daripada Pas ditangguhkan disebabkan hal-hal tertentu atau bagaimana?

Tanpa ada pengistyharan untuk berkerjasama menyebabkan ahli dan penyokong kedua-dua parti itu keliru dan segan untuk datang. Umpama majlis kenduri kahwin yang perkahwinannya diragui, maka tetamu yang berakhlak sangsi untuk hadir. Apa lagi tuan rumah tidak menjemput secara rasmi sekadar memesan kepada orang lain. Nah, begitu juga dengan sikap orang Pas dan Umno dengan majlis di Titiwangsa itu. Mereka keliru dan keadaan itu menyebabkan mereka rasa tidak penting untuk bersama.

Makanya wajar Pas dan Umno tidak terus membungkus maksud hati. Tidak perlu "berkongkalikong" dan hanya bercekeraman menerusi whatsAap atau media sosial sahaja. Seperti saya nyatakan kalau keputusan dan analisa politik yang dibuat menyakinkan mereka, untuk kebaikan bangsa, agama dan negara, apa tunggu-tunggu lagi umumlah segera. Kita perlu telus dan gentlemen. Saya percaya kalau Pas dan Umno mengistyharkan kerjasama mereka, kehadiran dihimpunan semalam Melayu akan lebih ramai daripada masyarakat Rohingya. Majlis itu akan menjadi ruang solidariti Melayu bukan medan solidariti Rohingya.

Saya tinggalkan isu solodariti itu, saya nak ulas sedikit kenyataan dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man. Saya membaca beberapa kali kenyataan beliau seperti mana disiarkan dan cuba mencari siir dan makrifatnya.

Dalam kenyataan itu Tuan Ibrahim menafikan wujud kerjsama politik di antara Pas dengan Umno. Kalau ada yang menganggap Pas sudah bekerjasama dengan Umno ia adalah fitnah. Begitu kata Tuan Ibrahim. Beliau menegaskan dengan menarik sejarah politik Pas dengan Umno yang membuktikan kedua parti itu bersaing. Beliau juga mengemukakan andaian Umno juga Pas tidak akan sedia bahagi kerusi dengan Pas untuk menguatkan hujah yang Umno - Pas tidak akan bekerjasama.

Bagaimana pun alasan diberikan itu bukan mutlak untuk menolak persepsi yang Pas tidak akan berkerjsama dengan Umno. Mengenai kerusi kononnya Umno tidak sedia memberi kerusinya kepada Pas bukan hujah yang qatie. Demi mencapai kemenangan dan mempertahakan kedudukan yang goyah soal kerusi Umno boleh bincangkan. Dalam hal ini bukan sahaja kerusi, bahkan wang pun Umno sanggup hulurkan. Apa lagi soal kerusi itu adalah syarat atau rukun utama dalam sesuatu rangka kerjasama.

Apa juga hendak jelaskan Tuan Ibrahim menerusi kenyataannya itu, himpunan solidariti Rohingya itu adalah himpunan yang dimulakan Pas. Katanya Pas sudah tiga kali mengadakan majlis seumpama itu. Kesediaan Umno hadir itu sebagai menuruti apa yang Pas lakukan. Begitu juga dengan isu RUU 355, Pas yang mempelopori Umno membuntutinya.

Lebih dalam lagi beliau ingin memberi tahu itulah kelebihan yang ada kepada Pas dalam menjadi juara dalam memperjuangkan Islam. Bahawa Pas itu lebih serius dan obses terhadap Islam berbanding Umno. Yang cuba ditonjolkan Tuan Ibrahim Pas sudah menang dalam berseloka politik dengan parti nasionalis itu.

Apabila membaca kenyataan Tuan Ibrahim itu yang dibuat setelah selesai majlis di taman Titiwangsa itu terfikir oleh saya, apakah beliau tidak senang dan bimbang dengan tangkapan umum terhadap kehadirannya bersama pemimpin Pas yang lain duduk bersama Umno. Jika tidak silap, kehadiran Tuan Ibrahim sepentas dengan Najib itu adalah pertama kali. Adapun pertemuan dalam gelap sudah kerap kali?

Kenapa saya berkata demikian, sebab nampak sangat kurang ceria Tuan Ibrahim sepanjang berada atas pentas. Mukanya masam tiada senyum manis seperti selalu. Apakah hatinya diladumi dengan rasa bimbang dan cemas kehadirannya itu seakan mengiktiraf apa yang dikata sebelum ini, Pas akan bergabung dengan Umno? Apakah beliau ke taman tasik Titiwangsa itu dalam keadaan terpaksa kerana takut Najib tidak mengatakannya tidak wala' kepada Tuan Presiden?

Maka untuk mengusaikan tanggapan itu beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan demikian. Saya rasa Tuan Ibrahim tidak perlu pun membuat kenyataan itu yang sifatnya seolah-olah ingin membuang getah nangka yang terlekat ditangan. Apabila kita membelah atau "merukas" pohon nangka sedikit sebanyak getah akan terlecer (lekat) di jari. Jika Tuan Ibrahim benar-benar tidak mahu tangannya terleset getah nangka elok beliau memotong tangannya, atau berada jauh dari pohon nangka.

Selagi dia berada berhampiran pohon nangka kalau pun tangan tidak terkena getah pasti baju dan serban berbau nangka juga.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu bagi saya untuk menyapu persoalan dalam kepala sesetengah penyokong yang sudah pun berasakan hubungan Pas dengan Umno sudah intim. Pemukahan keduanya yang ditunjukkan menerusi berbagai-bagai aksi khasnya dipamerkan presiden dan beberapa pemimpin muda lain, menyebabkan penyokong dan ahli berfikir keduanya sudah terlanjur dan jalan penyelesaiannya terbaik ialah ijab kabul sahaja.

Ikhlas bagi saya yang menanti kenduri perkahwinan Pas dengan Umno, seronok dan bahagia kalau kedua parti itu bukan sahaja melakukan resepsi perkahwinan tetapi mengadakan kenduri khusus bagi memaklumkan kepada dunia bahawa mereka sudah sah menjadi suami isteri. Walimatus urus perlu diadakan kerana ia sunat. Jika diadakan pasti majlis itu menjadi pesta perdana bagi umat Melayu di negara ini.

Tiada ulasan: