"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak perlu tunggu Pas 'layang-layang putus tali' - Husam Musa

HAZAYANI ZAKARIA
Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh lagi menunggu Pas yang dilihat sudah boleh berkompromi dengan rasuah dan salah guna kuasa Umno-BN, tegas penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa.

Beliau berkata, pemimpin Pas tidak serius untuk menggantikan kerajaan BN dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) apabila bersikap sambil lewa dalam perundingan dengan Bersatu.

"Baru-baru ini parti ini (Pas) berunding dnegan parti Bersatu tetapi kemudian esok hari keluar kenyataan lain dan kemudiaan mereka bersama dengan perdana menteri nak membantu rakyat Myanmar yang susah. Adakah rakyat Malaysia tak susah?

"Dua hari sebelumnya harga minyak dinaikkan. Kenapa mereka tak bantu rakyat Malaysia yang susah? Ini nak menunjukkan kepada ahli Pas bahawa Pas sudah berjinak-jinak dengan Umno.

"Sewaktu himpunan Rohingya di Stadium Titiwangsa dulu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tak senyum, muka seperti tertekan. Itu pertemuan pertama mungkin dia takut orang Pas marah. Tetapi bersama Najib semalam dia sudah senyum dan bergelak ketawa," katanya dalam ceramah Pakatan Harapan anjuran Amanah Serdang di Bangi malam tadi.

Husam juga berkata, PRU14 lebih mencabar berbanding PRU12 dan PRU13 kerana sikap Pas ibarat layang-layang putus tali dan tidak mahu bersama-sama pembangkang menumbangkan Umno-BN.

"Pada 2008 dan 2013 kekuatan pembangkang disatukan dan fokus kita untuk menggantikan Umno-BN. Kita tahu Umno mesti diganti tetapi sekarang tidak lagi kerana seakan-akan ada satu pembangkang seperti layang-layang putus tali. Tak tahu ke mana nak jatuh. Dia hanya akan jatuh dalam pilihan raya akan datang.

"Kita tidak boleh lagi meletakkan harapan kepada Pas. Saya suka berterus terang.

"Bukan kerana Pas tak ada pengaruh langsung, ada pengaruhnya. Ada saki bakinya kekuatannya tetapi cara berfikir pemimpinnya sudah lari. Sudah mirip kepada asabiyah. Sudah boleh berkompromi dengan kezaliman dan juga kejahatan rasuah," katanya.

Beliau juga hairan terhadap sikap pemimpin Pas yang boleh bermesra dengan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ketika rakyat sedang dilanda kesusahan akibat perbuatan kerajaan BN.

"Dalam misi bantuan ke Myanmar, Datuk Tuan Ibrahim boleh senyum dan bermesra dengan Najib, begitu juga Ketua Muslimat Pas, boleh bergelak ketawa.

"Tak ada teguran kepada Najib mengenai rasuah, salah guna kuasa, harga minyak naik, harga barang naik," katanya merujuk kepada kehadiran pemimpin Pas itu ke pelancaran 'Misi Kemanusiaan-Food Flotilla for Myanmar' di Klang Jumaat lalu.

Tiada ulasan: