"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


RUU 355: 10 persoalan mudah yang perlu diketahui

AHMAD MUSTAQIM ZAKI
Sempena Himpunan Raksasa RUU355 pada 18 Februari ini, tidak dapat dinafikan, terlalu banyak program yang telah dijalankan yang berkaitan dengan RUU355 ini.

Begitu juga dengan tulisan-tulisan yang bersifat ilmiah yang telah diolah secara mendalam dan bersifat teknikal daripada pelbagai pihak mengenai perkara ini, sama ada daripada pakar undang-undang mahupun daripada ahli politik.

Oleh sebab itu, catatan ringkas ini dibuat secara santai sahaja dan bersifat umum yang dibuat berdasarkan kepada pembacaan penulis yang serba sedikit mengenai perkara ini.

1) Apa itu RUU 355?

Polemik Rang Undang Undang 355 (RUU 355) terhasil apabila Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan usul persendirian di bawah Peraturan 49 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Ini adalah untuk meningkatkan bidangkuasa penghukuman Mahkamah Syariah bagi kesalahan jenayah Syariah daripada:
i) Penjara tidak melebihi 3 tahun kepada Penjara tidak melebihi 30 tahun.
ii) Denda tidak melebihi RM5,000 kepada Denda tidak melebihi RM100,000.00.
iii) Sebatan tidak melebihi 6 kali kepada Sebatan tidak melebihi 100 kali.
(Berdasarkan kepada Pindaan Usul yang dikemukakan oleh YB Marang pada 24/11/2016)

2) Apabila usul RUU 355 diluluskan sehingga menjadi Undang-undang (Pindaan Akta 355 sepertimana usul diluluskan, setelah melalui proses seperti mana di jawapan No. 4), adakah Hukuman-hukuman bagi kesalahan Hudud dapat dilaksanakan?

Ya dan Tidak.

Ya: Bagi 3 kesalahan:
(Jawapan ini hanya terpakai di Negeri Kelantan kerana Dewan Undangan Negeri Kelantan telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 (KJS II) yang telah memasukkan Hukuman-hukuman Hudud di dalam Enakmen tersebut):
i) Kesalahan Meminum Arak: 40-80 sebatan
ii) Kesalahan Qazaf: 80 sebatan
iii) Kesalahan Berzina bagi Pelaku yang belum berkahwin: 100 sebatan

Tidak: Bagi 4 kesalahan:
i) Mencuri (Sariqah)
ii) Hirabah
iii) Murtad
iv) Zina bagi yang telah berkahwin

3) Apabila RUU 355 diluluskan, adakah ia juga terpakai kepada bukan Islam?

Tidak. Kerana Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam dan orang bukan Islam tidak tertakluk kepada Undang-undang Islam.

4) Apakah proses yang perlu dilalui oleh RUU 355 YB Marang sebelum ia menjadi undang-undang?

Usul untuk meminda Akta 355 yang dibawa oleh ahli parlimen Marang ini adalah usul persendirian di mana ia tertakluk kepada Peraturan 49 Dewan Rakyat.

Berdasarkan Peraturan 49, prosesnya boleh dibahagikan kepada dua peringkat:

Peringkat Pertama:
Pengemukaan Usul (Pembacaan, Penjelasan oleh Pemuka Usul) - Perbahasan - Pengundian (akan dikira berdasarkan kepada majoriti mudah) – (Jika tidak dipersetujui, Usul akan mati di situ) - Jika dipersetujui, Usul akan diangkat dan dicap seterusnya akan dikira sebagai Bacaan Pertama.

Peringkat Kedua: (Setelah melepasi Peringkat Pertama)
Akan melalui proses biasa penggubalan undang-undang sepertimana undang-undang lain, iaitu:
Bacaan Pertama – Bacaan Kedua (apabila masuk ke Peringkat ini, Usul tersebut telah telah menjadi Rang Undang Undang pihak Kerajaan. Sebelum masuk ke peringkat ini, pihak kerajaan boleh meminda usul asal YB Marang dan tiada tempoh untuk pihak menteri berkenaan untuk mengangkat usul tersebut ke peringkat Bacaan Kedua ini) – Perbahasan – Pengundian (Secara Majoriti Mudah) – Perbahasan Peringkat Jawatankuasa - Bacaan Kali Ketiga – RUU akan diangkat ke Dewan Negara – YDPA - Warta

5) Berdasarkan kepada Proses di jawapan No. 4, setakat mana Usul RUU 355 oleh YB Marang pada masa ini?

Setakat 24 November tahun lalu, Usul RUU 355 tersebut hanya dibacakan dan dikemukakan kepada Dewan tanpa perbahasan dan penjelasan dari pihak pemuka usul itu sendiri iaitu YB Marang.

Maknanya, proses Peringkat Pertama pun masih belum bermula lagi kecuali pengemukaan usul sahaja.

6) Kalau RUU untuk meminda Akta 355 dibawa oleh menteri, adakah prosesnya sama sepertimana jawapan di no. 4?

Tidak.

Kalau RUU dibawa oleh menteri, Peraturan yang terpakai adalah Peraturan 48 di mana apabila menteri mengemukakan/membacakan usul kepada Dewan, ia dianggap sebagai Bacaan Pertama tanpa perlu dibahaskan.

Bermakna, tiada keperluan untuk melalui Proses Peringkat Pertama dan terus pergi ke Peringkat Kedua sepertimana di jawapan no. 4.

7) Berapa kali pindaan yang dibuat terhadap Usul RUU 355 YB Marang ini?

Berdasarkan kepada “wording” usul tersebut, terdapat tiga pindaan utama yang telah dilakukan:

Pertama: 7/4/2015 (Usul Asal): Pada mulanya, YB Marang mengusulkan (dan memasukkan Seksyen baru iaitu Seksyen 2A Akta 355) agar Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah sesuai dengan kehendak syariah Islam.”

Kedua: 26/5/2016: YB Marang mengusulkan (dan memasukkan Seksyen baru iaitu Seksyen 2A Akta 355) agar Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah selain dari hukuman mati.”

Ketiga: 24/11/2016: YB membuat pindaan ke atas usul asal beliau berdasarkan Peraturan 28 iaitu dengan hanya mengusulkan untuk meminda "Proviso" di Seksyen 2 Akta 355 dan kandungan pindaan yang diusulkan adalah sepertimana jawapan di No. 1 tanpa memasukkan Seksyen 2A.

8) Bilakah RUU 355 ini dibacakan/dikemukakan oleh YB Marang kepada Dewan Rakyat?

Usul Persendirian RUU355 ini dibacakan/dikemukakan oleh YB Marang kepada Dewan Rakyat ialah pada 26/5/2016 dan 24/11/2016.

9) Apakah perbezaan dan persamaan bagi pengemukaan Usul RUU355 oleh YB Marang pada 26/5/2016 dan 24/11/2016?

Perbezaan: ialah pada pindaan kepada kandungan RUU tersebut. Rujuk jawapan No. 7.

Persamaan: Bagi kedua-dua peristiwa tersebut, YB Marang hanya membacakan sahaja usul tersebut tanpa membahaskannya dan selepas itu memohon penangguhan untuk dibahaskan pada sesi akan datang.

10) Sebagai seorang rakyat Malaysia khusunya yang beragama Islam, apakah yang patut kita buat terhadap inisiatif yang dilakukan oleh YB Marang ini?

Selaku rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam, kita seharusnya menyokong sebarang usaha untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah sama ada dari segi penambahbaikan bidang kuasanya mahupun penambahbaikan dari segi infrastrukturnya dan juga pengurusannya.

Dalam masa yang sama, kita amat-amat berharap agar inisiatif dan langkah yang dibuat ini bukanlah merupakan permainan politik ataupun bukan bertujuan untuk mengejar “political mileage” oleh mana-mana pihak sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Tiada ulasan: