"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perpecahan terbesar kedua Umno selepas 1998 mampu tumbangkan BN

POLITIK naungan dan sentuhan peribadi Barisan Nasional (BN) sememangnya kuat, tetapi perpecahan terbesar kedua Umno selepas 1998 mampu menyebabkan gabungan pemerintah itu kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 (PRU14), kata pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Pada 1998 Umno berpecah selepas Anwar Ibrahim dipecat menyebabkan lahirnya Parti Keadilan Nasional (kini PKR) dan lebih 50% pengundi Melayu mengundi pembangkang pada PRU ilihan Raya Umum 1999.

Perpecahan terbesar kedua Umno pada 2015 berlaku ketika kemuncak skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyebabkan timbalan presiden Muhyiddin Yassin dan naib presiden Shafie Apdal disingkirkan daripada Kabinet dan lahirnya parti Bersatu dan Warisan pada 2016.

Ahli Strategi DAP Liew Chin Tong berkata pada 1999 selepas Anwar dipecat, arus “reformasi” hanya menjadi fenomena di kalangan pengundi Melayu di bandar dan semi bandar.

“Tetapi perpecahan Umno kali ini yang menyebabkan lahirnya Bersatu akan turut memberikan kesan kepada orang Melayu di luar bandar termasuk di kawasan Felda,” kata ahli Parlimen Kluang itu kepada The Malaysian Insight.

“Umno hanya perlu hilang 15% undi Melayu di seluruh negara, dengan sokongan bukan Melayu kekal seperti 2013, PH akan dapat merampas 35 kerusi Parlimen mereka di semenanjung Malaysia.”

Pada PRU13, Umno memenangi 88 kerusi Parlimen daripada 133 yang dimenangi BN. Sementara Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS memenangi 89 kerusi Parlimen.

Liew mengakui kekuatan BN terletak kepada sistem naungan dan sentuhan peribadi dan PH tidak mungkin mampu menyainginya daripada segi kekuatan organisasi.

“Tetapi setiap kali BN hilang banyak kerusi pasti disebabkan kemarahan besar rakyat, seperti apa yang berlaku pada 2008 ,” katanya merujuk kepada PRU12 yang menyaksikan BN hilang penguasaan dua pertiga di Parlimen dan lima negeri ke tangan pembangkang.

Perubahan dalam pemikiran Melayu

Ketua Biro Dasar dan Strategi Bersatu Dr Rais Hussin berkata perubahan dalam pemikiran orang Melayu termasuk di luar bandar akan menyebabkan sukar bagi BN jika hanya mengharapkan politik naungan dan sentuhan peribadi.

“Walaupun mereka mungkin tidak begitu memahami skandal mega seperti 1MDB, tetapi sekarang mereka juga semakin kritikal kepada kerajaan disebabkan kehidupan yang terjejas disebabkan peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Rais berkata kawasan orang Melayu baik di bandar, semi bandar, luar bandar dan kawasan Felda kini menjadi sasaran Bersatu dan PH untuk memenangi Putrajaya.

Terdapat 54 kerusi Parlimen dalam kawasan Felda dan Umno-BN hanya tewas di enam kerusi iaitu Raub, Kuala Nerus, Temerloh, Dungun, Kulai dan Sungai Siput pada PRU13.

“Perpaduan di kalangan PH yang diketuai Dr Mahathir Mohamad dan manifesto pragmatik dan berkredibiliti yang akan diumumkan tidak lama lagi akan menyebabkan perubahan dalam corak pengundian.

“Pada PRU lepas Umno-BN mendapat 59% kerusi Parlimen walaupun hanya mendapat 47% undi popular disebabkan manipulasi persempadanan semula.

“Kali ini sudah pasti berbeza kerana skandal dan krisis yang berlaku pada hari ini diibaratkan seperti ‘jaringan gol sendiri’ terbesar dilakukan Umno-BN,” katanya.

Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad berkata walaupun BN kuat di luar bandar, di negeri dikuasai PH seperti Selangor dan Pulau Pinang, lebih mudah bagi pembangkang untuk mengorak langkah.

“Di negeri PH usaha ini amat mudah dan berkesan kerana kita mempunyai pelbagai program seperti ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’, begitu juga di Pulau Pinang.

“Bukan satu yang sukar bagi negeri lain tetapi PH memerlukan pasukan yang berdedikasi dan gerak kerja terancang, khususnya bagi menangani masalah kehidupan orang kampung,” kata bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Dzulkefly berkata kekuatan Umno dan BN di luar bandar sebenarnya banyak dibantu agensi kerajaan yang “dimanipulasi” sepenuhnya.

“Ini termasuklah Felda, Kemas, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Persatuan Nelayan malah kadangkala Majlis Daerah dan Pejabat Tanah sekalipun digunakan sepenuhnya.

“Agensi ini institusi yang rapat dengan kehidupan Melayu luar bandar dan sifat ‘kebergantungan’ orang Melayu luar bandar sangat ketara terutamanya mereka yang ekonominya terlibat dalam sektor pertanian dan perikanan,” katanya.

Berkongsi kerusi demi kemenangan PRU14

Pada PRU13 lalu, PKR bertanding di 99 kerusi Parlimen tetapi hanya memenangi 30. Pada ketika itu PKR bersama DAP dan PAS di dalam PR.

PAS kini membentuk Gagasan Sejahtera bersama Ikatan. Sementara PH terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata pada PRU14, partinya akan cuba mengekalkan kemenangan di kerusi sedia ada dan “menyerang” kerusi marginal BN.

Tetapi bagi memastikan PH berjaya pada PRU14, PKR bersedia berkongsi kerusi mereka dengan Amanah dan Bersatu.

“Atas kesediaan merangkul tanggungjawab secara kolektif, kami bersedia mengurangkan sehingga 30% kerusi pada PRU14 bagi memberikan laluan kepada Amanah dan Bersatu.

“Saya pasti muafakat politik di antara parti komponen PH akan membuahkan hasil lumayan apabila kerusi Felda, kerusi marginal, kerusi tradisi DAP, sasaran baru buat Amanah dan Bersatu ditandingi secara optimum berdasarkan ‘winnability’ dan mengambil semangat ‘demi Malaysia yang lebih baik’,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu yang juga pengarah pilihan raya PKR. – 31 Julai, 2017.
-malaysianinsight

Tiada ulasan: