"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiga sebab tarikh pilihan raya ditunda - Dr Dzulkefly

MALAYSIA DATELINE
Walaupun penggal pemerintahan BN semakin mendekati penghujung, perdana menteri sukar untuk menentukan tarikh terbaik membubarkan parlimen ekoran tiga isu yang memberi kesan besar kepada imej pentadbirannya, jelas pengarah strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Dzulkefly menyenaraikan kegagalan 1MDB melalui kementerian kewangan untuk membayar RM2.86 bilion kepada firma Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC); masalah yang menimpa pemodal baru projek Bandar Malaysia; dan prosiding undang-undang perihal rasuah pembelian kapal selam Scorpene di mahkamah Perancis sebagai isu-isu yang menghantui Datuk Seri Najib Razak.

"Nasib malang yang menimpa PM Najib bagai tiada penghujung. Dengan pilihan raya umum yang semakin hampir, tidak memadai jika dikatakan Najib kini dalam kecemasan dan kerimasan. Dia kaget," katanya.

Menurut beliau, kesangsian tentang kemampuan pentadbiran Najib untuk membayar RM2.86 bilion komitmen 1MDB kepada IPIC seperti diarah mahkamah arbitrasi antarabangsa nampaknya berasas malahan kewujudan 'Unit Dana Pelaburan' yang disebut-sebut untuk membiayai pembayaran itu diragui kewujudannya.
"Sekarang telah heboh di seluruh dunia 1MDB tidak dapat membayar IPIC. Pihak kreditor ini beri lanjutan sehingga 5 Ogos. Saya bertanggapan 1MDB, bahkan
MOF akan tetap gagal membayar.

"Jadi adakah wajar kita membuat kesimpulan bahawa 'unit' dalam 'portfolio pelaburan' dalam perjanjian PetroSaudi melalui akaun Pulau Cayman yang tersohor itu benar-benar sebuah dongengan sahaja?" soal beliau.

Dr Dzulkefly turut mempersoalkan 'program rasionalisasi' penjualan aset-aset 1MDB yang jelasnya tidak mampu menghindar 1MDB daripada berada dalam keadaan 'tidak mampu bayar' (default) sebegini.

Beliau turut melahirkan kebimbangan jika kegagalan kerajaan melalui Kementerian Kewangan membuat pembayaran kepada IPIC akan memberi kesan kepada nilai ringgit dan kemungkinan pentadbiran Najib 'meminjam' dari tabung Petronas atau simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi melunaskan pembayaran itu.

Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional itu juga membangkitkan terbitan bon kerajaan (Murabahah Notes) nombor kod tender 201700001701 untuk RM2.5 bilion dengan tarikh pembukaan pada 1hb Ogos dan tarikh diterbitkan pada 4hb Ogos lalu oleh Bank Negara Malaysia.

"Kuantum atau jumlah (bon itu) boleh dikatakan kurang sikit dari keperluan hutang 1MDB kepada IPIC," katanya mengulas kebimbangan umum bahawa ia bakal digunakan untuk melunaskan hutang 1MDB.

Beliau turut menyentuh masalah yang menimpa calon pengganti pemaju utama Bandar Malaysia, Dalian Wanda yang kemampuan kewangan telah tersekat atau disekat Kerajaan China.

"Mungkinkah ada mana-mana syarikat Fortune 500 lain yang besar dan gagah untuk ambil alih projek ini dengan 'RFP' atau mudahnya, permohonan cadangan baru?

"Mungkinkah Mitsui Group dan Daiwa dari Jepun atau IWH-CREC akan menyertai semula perbidaan? Tergendala Bandar Malaysia sebab kegopohan Najib," ujarnya.

Malah tambah beliau, lawatan Presiden China Xi Jinping ke Kuala Lumpur yang dijadual September ini telah ditangguhkan sekaligus merencatkan perancangan Najib untuk mengadakan pilihan raya pada awal bulan Oktober setelah acara besar Sukan SEA berakhir.

Kemunculan prosiding undang-undang membabitkan rasuah Scorpene di mahkamah Perancis dengan penglibatan bekas penganalisis politik, Razak Baginda, orang kepercayaan Najib ketika menjawat timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan, kata Dr Dzulkefly juga menggusarkan presiden Umno itu.

"Ya, kalau pun Najib telah mencongak-congak tarikh membubar parlimen, kini semuanya menjadi pudar dan Najib kembali tercari-cari. Situasi ini amat seksa dan menyeksakan.

"Apakah lebih baik Najib berundur sahaja bagi menyelamatkan partinya atau Umno undurkan Najib? Tetap soal besarnya, Siapa pengganti beliau? Hishamuddin atau Zahid Hamidi? Atau ada calon yang lebih 'junior' berwibawa?

"Umno meskipun tampak tenang diluar, tetap terus bersengketa secara dalaman bahkan dalam BN itu sendiri," ujar beliau.

Tiada ulasan: