"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Tindakan Zahid ungkit keturunan Dr Mahathir bakal rugikan Umno

Nabihah Hamid
Tindakan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memainkan isu keturunan Dr Mahathir Mohamad hanya membangkitkan rasa tidak puas hati banyak pihak yang mungkin memberi kesan kepada kemenangan Barisan Nasional pada PRU14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 Ogos, 2017.

TINDAKAN Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengungkit keturunan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menyerang pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bakal merugikan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang, kata penganalisis politik.

"Nampaknya kenyataan ini bakal 'backfire' (tikam diri sendiri) terutama di kalangan veteran Umno dan anak muda yang menjadi pengundi buat pertama kali. Apatah lagi daripada kalangan India Muslim sendiri," kata Hisomudin Bakar daripada Ilham Centre.

Menurut beliau, golongan muda berusia di antara 17 hingga 21 tahun mengenali Dr Mahathir sebagai bapa pemodenan yang membina Malaysia selama 22 tahun.

"Majoriti anak muda keliru mengapa pimpinan kerajaan sekarang menghina bekas perdana menteri yang dikenali mereka sebagai bapa pemodenan (melalui buku teks dan kerja khusus sekolah) dan membina Malaysia selama 22 tahun," kata Hisomudin yang banyak membuat kajian tentang politik orang Melayu.

Di kalangan veteran Umno pula, terutama yang pernah memegang jawatan dalam parti semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri pula sangat marah dengan serangan sebegini, kata Hisomudin.

Pada mesyuarat agung tahunan Umno Bahagian Kelana Jaya hujung minggu lalu, Zahid menyerang Dr Mahathir kerana meninggalkan parti yang mengetuai BN itu.

Dr Mahathir keluar daripada Umno tahun lalu kerana tidak puas hati dengan Perdana Menteri Najib Razak atas dakwaan rasuah dan keadaan ekonomi serta membentuk parti baru Bersatu yang kini menjadi sebahagian daripada pembangkang.

"Dr Mahathir lupa mengenai fakta ini – dia adalah anak Iskandar Kutty,” kata Zahid merujuk kepada bapa Dr Mahathir berketurunan India.

“Pada kad pengenalan birunya, nama dia Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. Ini diperoleh daripada ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara.

“Patutlah dia mudah lupa, sebab dia anak laki-laki Iskandar Kutty,” kata Zahid.

Pendedahan keturunan Dr Mahathir tidak mempunyai kaitan dengan landskap politik semasa, kata pengerusi surau Brickfields di Kuala Lumpur, Anver Hussein Marican, 66, dan hanya memperlihatkan kejahilan Zahid.

Ketika dihubungi, Anver berkata Dr Mahathir bukan orang biasa di negara ini sehingga boleh dihina keturunannya begitu sekali.

"Kami sangat sakit hati apabila mendengar ucapan itu. Dr Mahathir bukan orang biasa. Dia sudah menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

"Malah, kita sebagai orang Islam mana boleh menghina orang lain seperti itu. Ia sangat tidak sihat untuk negara," katanya kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, tinjauan The Malaysian Insight mendapati orang Melayu juga tidak senang dengan pendekatan Zahid menyerang keturunan Dr Mahathir itu.

Amirul Asyraf, 28, pegawai perhubungan awam sebuah syarikat beranggapan tindakan Zahid bakal memberikan imej buruk kepada Umno.

"Secara peribadi, isu keturunan atau isu bangsa tidak patut dibangkitkan atau dikaitkan dalam sesebuah pembangunan politik, tidak kira Umno atau pembangkang sendiri.

"Ini berkemungkinan besar memberi impak dan imej buruk terhadap Umno dan kerajaan.

"Saya rasa ini sedikit sebanyak akan menjejaskan rancangan dan percaturan kerajaan mengenai pemberian status Bumiputera kepada India Muslim," katanya merujuk kepada kenyataan perdana menteri Najib Razak yang mahu mempertimbangkan status Bumiputera kepada golongan itu di Malaysia.

Suri rumah, Normazura Mohd Tahir, 56, pula berkata, ia tidak lagi relevan mempersoalkan isu keturunan kerana ia tidak memberi faedah kepada rakyat.

Malah katanya, ia memberi imej buruk pada Umno dan timbalan perdana menteri juga dilihat tidak peka dengan kedudukan mereka.

Pejawat awam, Mohd Azham Rashid, 33, pula berkata, kenyataan seperti itu tidak wajar dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi negara yang sepatutnya menunjukkan contoh budaya politik lebih matang.

"Keadaan ini secara tidak langsung boleh menjejaskan undi Najib Razak yang berusaha untuk mendapat undi golongan ini dengan memberikan sokongan kepada komuniti itu," katanya.

Dr Mahathir semalam menyatakan rasa terkejutnya dengan tindakan Zahid dan memanggilnya "pembohong".

Ini kerana, "Iskandar Kutty" yang dirujuk Zahid adalah nama datuk dan bukannya bapa kepada Dr Mahathir iaitu Mohamad, sebagaimana dijelaskan anaknya, Marina. – 1 Ogos, 2017.

Tiada ulasan: