"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lama tak tabik Pas, tabik sekali - MSO

Suka saya untuk mengangkat tabik tinggi-tinggi kepada Pas yang tegas dan konsisten dalam keputusan yang diambilnya. Ini dirujuk kepada kenyataan dikeluarkan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Zuhdi Marzuki (foto) yang mengatakan Pas sukar untuk menerima ajakan PKR supaya parti itu berkolaborasi dengan PKR (Pakatan Harapan) untuk mengelakkan berlaku pertandingan tinggi penjuru.

Kata Zuhdi seperti dilaporkan, jentera Pas sudah bersiap sedia untuk berhadapan tiga penjuru dalam Piraum akan datang. Kerjasama itu menyukarkan Pas dan tidak mungkin kerana Pas sudah mengatur strateginya. "Kalau Pas menerima pelawaan itu Pas kena pusing 180 darjah," begitu katanya membayangkan pelawaan PKR itu mustahil dipenuhi.

Zuhdi cukup yakin dengan strategi diambilnya kerana mengikut kajiannya pengundi Melayu mahukan Pas bertanding secara bersendirian. Tidak mungkin Pas mengubah pendirian itu.

Iya, sikap dan pendirian seperti itulah yang kita mahu, tegas dan jelas bukan kelabu dan berbaur-baur. Dalam hal ini Pas tidak menjadi seperti lalang kerana ingin mengejar kemenangan yang belum pasti. Inilah kebabilan Pas.

Soal apakah Pas akan menang dengan tindakan itu, itu soal lain. Apa yang kita hormat ialah Pas tegas dan istiqamah dengan pendiriannya. Sikap sebeginilah tidak menyusahkan ahli dan penyokong bawahan. Syabas.

Tegas dengan keputusan dan pendirian diambil menyebabkan parti akan dihormati, sepadu dan tidak ada dua atau lima kepala dalam parti. Ahli dan penyokong juga tidak pening kepala, teori dan formula mana yang hendak dipakai. Ia juga sejajar dan sesuai dengan wajah parti itu beridentitikan agama.

Zuhdi membuat penegasan demikian sebagai mengulas, kenyataan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail membayangkan Pas masih boleh diajak berunding untuk bersama pembangkang.

Kenyataan Dr Wan Azizah itu juga dipercayai dikeluarkan ekoran kunjungan beliau bersama Azmin Ali ke atas presiden Pas Abdul Hadi Awang dua tiga hari lepas. Sikap ditunjukkan Dr Wan Azizah itu boleh diterjemahkan beliau (PKR) tidak begitu yakin dengan Dr Mahathir Mohamad?

Jelas Zuhdi lagi sebarang rundingan dengan PKR menyebabkan jentera pilihan raya Pas terpaksa dipusing 180 darjah dan tentunya kerja mengubah keputusan tidak disukai kerana ia sama dengan kerja wanita tua kurang siuman yang disebut dalam Quran yang kerjanya memintal tali kemudian merombaknya kembali.

Sudah pasti Zuhdi dan Pas tidak mahu mengikut rentak dan gaya politik "machiavelisme" PKR menjadi seperti wanita tua berkenaan.

Kenyataan Zuhid itu sejajar dengan kenyataan dikeluarkan oleh bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) Kahiruddin Aman Razali yang meminta PKR bertaubat "nasuha" sebelum hendak berbaik dengan Pas. Kenyataan Khairuddin itu sebagai menempelak usaha PKR untuk membawa Pas kembali bersama pembangkang.

Kenyataan Khairuddin itu walaupun nampak sombong, dan menggambarkan Pas sudah "menukul mati" pakunya bersama Umno, tetapi itulah kenyataan sepandan dengan sikap dolak dalik, atau pun hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong diamalkan oleh Azmin Ali yang ikut mengheret sama Dr Wan Azizah dalam permainan sihir politiknya. [wm.kl.11:21 am 18/08/17]

Tiada ulasan: