"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pejabat Mufti mahu sorok Amri di mana? Bawah tangga?

MUFTI Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menafikan dakwaan bahawa pejabatnya mempunyai kaitan dengan kehilangan aktivis berfahaman Syiah, Amri Che Mat.

Mohd Asri berkata, dakwaan isteri aktivis itu Nor Hayati Ariffin dalam satu sesi siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) semalam adalah fitnah dan tidak benar

“Tiba-tiba isteri dia beritahu Suhakam dan letak nama saya. Kalau saya punya kemampuan boleh hilangkan manusia, hebatlah. Pejabat mufti hendak sorok di mana? Bawah tangga?

“Pejabat mufti tak ada penjara,” kata Mohd Asri ketika ditemui pemberita di Sepang hari ini.

Tambahnya, tindakan oleh pejabat mufti ke atas Amri sebelum ini adalah melibatkan kegiatan aktivis itu dalam pengembangan fahaman Syiah.

Menurut mufti itu lagi, Suhakam telahpun mengemukakan soalan kepadanya mengenai kes Amri tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau tidak menerima apa-apa arahan sepina daripada suruhanjaya tersebut untuk menghadiri inkuiri, katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata ia tidak berkait dengan NGO Perlis Hope, sebuah badan bukan kerajaan yang digerakkan Amri untuk membantu orang susah di negeri itu.

“Ia tak ada kena mengena dengan dengan Perlis Hope, kalau dia nak bagi bantuan silalah.

“Perlis banyak bagi bantuan, Majlis Agama Islam Perlis bagi berjuta-juta. Kenapa kita hendak kecil hati.

“Tapi yang kita prihatin adalah ajaran untuk menjadi sebuah negeri Mullah,” kata Mohd Asri, merujuk kepada siasatan dan serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis ke atas Amri.

Nor Hayati dalam inkuiri Suhakam semalam mendakwa Mohd Asri selaku Mufti Perlis dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim mungkin mempunyai kaitan dengan kehilangan suaminya.

Nor Hayati mengesyaki Mohd Asri dan Shahidan kerana kedua mereka kerap mengkritik Amri dan pertubuhan kebajikan yang dijalankan suaminya, Perlis Hope.

Sementara itu, semalam, Shahidan enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan Nor Hayati itu.

“Saya enggan komen kerana saya tidak kenal lelaki itu dan isterinya,” katanya.

Amri dipercayai diculik 550 meter daripada rumahnya di Padang Behor, Kangar. Polis kemudiannya menjumpai keretanya di Bukit Chabang.

Beliau dilihat kali terakhir oleh isteri dan keluarganya pada 24 November 2016.

Tiada ulasan: