"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas ramai ‘musuh’, tak mampu rampas Putrajaya

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI 
SHAH ALAM - Pas tiada keupayaan untuk merampas Putrajaya (membentuk kerajaan), demikian menurut pemerhati politik tempatan.

Menurut Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Univeriti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib, ini berdasarkan dengan pola politik semasa, dengan kedudukan Pas yang ramai musuh daripada dalam dan luar parti, Pas dilihat sekaligus tiada upaya tersendiri membentuk kerajaan.

"Pas bukan parti pilihan utama rakyat dalam senarai keutamaan bagi membentuk kerajaan alternatif selain BN.

"Mereka hanya boleh diharap di kawasan tertentu sahaja. Pengaruh Pas bukan menyeluruh. Lagipun Pas tidak ramai tokoh tempatan di kawasan setempat yang mampu menjadi ikon dan ikutan ramai," jelasnya kepada Sinar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas hasrat Pas yang mahu menjadi kerajaan bukan lagi pembangkang.

Menerusi laporan Sinar Harian, segala spekulasi dan khabar angin terhadap Pas, dengan beberapa dakwaan bahawa parti itu akan bertanding kurang daripada 100 kerusi Parlimen kini ditepis, apabila parti berkenaan mengesahkan berkemungkinan bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen di seluruh negara pada PRU14.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau meletakkan sasaran tersebut yang ditandingi oleh partinya di peringkat Parlimen kerana mahu menjadi kerajaan, dan bukan lagi sebuah parti pembangkang sekiranya memenangi PRU14.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas mahu jadi kerajaan bukan lagi pembangkang]

Mengulas lanjut perkara ini, Md Shukri berkata, pemimpin bahagian Pas hanya popular di dalam kelompoknya tersendiri sahaja.

"Menang pun adalah nasib baik, disebabkan kebiasaannya oleh kelemahan calon dan parti BN itu sendiri," katanya.

Jelasnya lagi, selagi mana tokoh Pas bukan dari kalangan pejuang masyarakat dan hanya bersandarkan kepada program ceramah dan 'membuat bising' atas asas isu dan persepsi, rakyat tidak akan yakin pada kemampuan khidmat parti itu pada mereka.

"Itulah kekurangan Pas paling utama.

“Pemimpin tempatan Pas terlalu gila politik hingga terperosok di dalam tempurung sahaja tanpa peduli akan khidmat masyarakat pada rakyat setempat," katanya.

Dalam hal ini, katanya, beliau kasihan pada pemimpin Pas di peringkat nasional terutama Abdul Hadi kerana terpaksa mengadakan tarbiah semula niat perjuangan parti pada seluruh jentera kepimpinan parti bagi pastikan Pas kekal dalam persada politik.

"Pemimpin tempatan Pas sangat lemah dan hanya bergantung popular pada pentas ceramah dan isu, bukannya pada soal khidmat bakti," katanya.

Tiada ulasan: