"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi: PAS mahu rampas Selangor

Mohamad Fadli
SHAH ALAM: Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS mahu merampas Selangor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) untuk menjadi contoh kepada negeri lain.
Presiden PAS itu berjanji akan berlaku adil kepada rakyat berbilang kaum di Selangor, jika mereka berjaya menawan negeri itu.
“Negeri Selangor perlu menjadi contoh, kita harap rakyat Selangor mesti memilih kepimpinan Islam.
“Orang Islam yang memimpin dahulu. Biar orang Islam ke depan. Pilih calon-calon Islam yang boleh menegakkan ajaran Islam.
“Kita mesti faham, bukan kita membelakangkan orang-orang bukan Islam, kewajipan kita adil terhadap semua, berdosa kalau kita tidak berlaku adil terhadap orang bukan Islam,” katanya ketika berucap di Himpunan Fastaqim 2.4 dan pelancaran jentera pilihan raya PAS Selangor di Stadium JKR Seksyen 17, hari ini.
Hadi yang juga ahli Parlimen Marang berkata, Islam adalah fleksibel dan kerajaan pimpinan umat Islam masih boleh mempunyai wakil bukan Islam.
“…ada wakil orang bukan Islam, bukan tak ada wakil, tapi Islam memimpin. Ada exco bukan Islam, ada menteri yang bukan Islam, ada urusan-urusan orang bukan Islam, tapi dasar dan polisi negara mesti Islam. Ini fleksibel Islam. Keanjalan Islam.
“Di negara lain, kalau komunis yang memerintah, mesti orang komunis 100%.”

Pada PRU13, pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat berjaya mempertahankan negeri itu dengan memenangi 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

DAP dan PAS masing-masing memenangi 15 kerusi, manakala PKR mendapat 14 kerusi. BN kekal sebagai pembangkang dengan memperolehi 12 kerusi.
Pada 24 Ogos lalu, PAS Selangor dilapor menyasarkan sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi DUN di negeri itu, termasuk di kawasan diwakili Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi dilaporkan berkata, PAS negeri bersedia menghadapi pertandingan 3 penjuru, termasuk di kerusi Parlimen Gombak yang disandang Azmin dengan alasan ia adalah kerusi PAS sebelum PKR ditubuhkan.
Sementara itu, Hadi menasihatkan generasi muda, khasnya umat Islam supaya tidak memboikot PRU14 kerana tindakan tidak mendaftar atau mengundi bertentangan dengan Islam.
“Malangnya hari ini ramai kalangan umat Islam, anak muda dan lain-lain menganggap undi dan pilihan raya tidak penting dan mustahak.
“Ada yang tidak mahu daftar, keluar mengundi dan anggap semua parti sama. Ini anggapan salah dan bertentangan dengan agama Islam.”
Sebelum ini, ada laporan golongan muda yang kecewa dengan keadaan politik negara berhasrat memboikot PRU14 menyebabkan bekas pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan merayu mereka mempertimbangkan keputusan itu dan “mengundi demi mereka yang mahukan perubahan”.
Setakat Februari 2017, statistik Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan kira-kira 4.1 juta rakyat Malaysia, di mana 45% daripadanya anak muda belum mendaftar sebagai pengundi.
Beliau turut mengingatkan rakyat tidak terlalu taksub dengan calon perdana menteri seperti diumumkan Pakatan Harapan.
“Malaysia bukan Amerika Syarikat nak pilih calon presiden. Kita bukan British, Malaysia adalah Malaysia.
“Siapa calon perdana menteri akan ditentukan selepas pilihan raya sebab kita tidak tahu siapa ikhlas atau tidak, kita tidak nampak.”
Pada 7 Januari lalu, Pakatan Harapan mengumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri mereka dan Wan Azizah sebagai timbalannya, selain akan berusaha menggunakan semua saluran undang-undang untuk membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri

Tiada ulasan: