"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis yang menyoal Tun Dr Siti Hasmah ‘tersipu malu’

Bede Hong
Polis yang menyoal Siti Hasmah ‘tersipu malu’, kata peguam
Dr Siti Hasmah Mohd Ali disoal pihak polis selama lebih kurang sejam di pejabat suaminya di Yayasan al-Bukhary, Kuala Lumpur berhubung ucapan beliau semasa 'Himpunan Ungu' pada September tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2018.
SANGAT jelas dua pegawai polis yang dihantar menyoal Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada pagi tadi, berharap mereka berada di tempat lain, kata peguam yang hadir semasa sesi itu hari ini.

Peguam Haniff Khatri Abdulla menyifatkan kedua-dua pegawai polis dari Bukit Aman "tersipu-sipu" dan "malu-malu".

"Mereka juga memohon maaf. Mereka jelas kelihatan malu dan jelas tidak selesa kerana terpaksa mengambil kenyataan daripada negarawan seperti itu," kata Haniff kepada The Malaysian Insight.

Terdahulu hari ini, polis menyoal Siti Hasmah mengenai ucapan yang diberikannya pada "Himpunan Ungu", perhimpunan wanita menentang situasi politik di Malaysia masa kini.

Acara itu diadakan di Kuala Lumpur pada 10 September 2017. Ucapan beliau, yang disiarkan dalam talian, berlangsung selama 5 minit dan 40 saat. Lebih 1,000 orang menyertai perhimpunan itu.

Siti Hasmah kini disiasat kerana didakwa melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pemimpin wanita dan peguam, bagaimanapun, mengecam tindakan itu dan mempersoalkan mengapa hanya baru sekarang polis menyiasatnya, empat bulan selepas acara itu.

Haniff memberitahu The Malaysian Insight, Siti Hasmah "tenang, terkawal dan memberi sepenuh perhatian" semasa sesi soal jawab.

"Beliau juga berjenaka ketika telefon bimbit pegawai polis dimatikan, dan nada deringnya adalah lagu Hindi. Beliau berkata, 'Kita boleh mendengar muzik semasa kita bercakap.'"

Dua pegawai itu menyoal beliau selama kira-kira satu jam. Siti Hasmah turut ditemani dua peguam dan seorang pembantu peribadi.

Haniff tidak mengulas mengenai soalan yang ditanya kepada Siti Hasmah tetapi memberitahu beliau menjawab 12 soalan. Selebihnya, Siti Hasmah memberitahu polis akan menjawabnya di mahkamah.

"Pegawai polis itu mungkin malu, tetapi mereka hanya menjalankan tugas. Tetapi secara peribadi, saya masih mendapati ia keterlaluan, pada usia 91 tahun, beliau (Siti Hasmah) terpaksa diseret melalui semua ini.

"Ya, polis diarahkan untuk melakukan ini dan jelas ia adalah untuk menimbulkan rasa takut kepada orang ramai. Jika mereka dapat melakukan ini kepada Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri, dan kini isterinya, anda perlu berjaga-jaga," kata Haniff.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi Pakatan Harapan, dimaklumkan pihak polis sedang menyoal isterinya, beliau tidak di situ kerana menghadiri mesyuarat lain.

"Beliau menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan isterinya dan peguam," kata Haniff.

Ini adalah kali pertama dalam hidupnya Siti Hasmah disoal oleh pihak polis, kata peguamnya.

"Beliau memberi keterangan di mahkamah sebelum ini, tetapi ia berkaitan kes kemalangan dan rogol ketika masih menjadi doktor pelatih."

Siti Hasmah bakal mencecah usia 92 tahun pada 12 Julai dan akan meraikan ulang tahun perkahwinannya ke-62 dengan Dr Mahathir pada Ogos ini.

-----------------

Pihak berkuasa tak patut 'kacau' Siti Hasmah, kata Ku Li

Tokoh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata pihak berkuasa tidak sepatutnya mensasarkan Tun Siti Hasmah Mohamad Ali.

Anggota Parlimen Gua Musang itu mengulas tindakan polis yang menyiasat dan merakam keterangan isteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu berhubung ucapannya pada himpunan ‘Wanita Bantah Politik Toksik’di Kuala Lumpur, 10 September lalu.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai "salah" dan hanya memburukkan imej kerajaan.

Katanya lagi, kerajaan seharusnya hanya menumpukan perhatian kepada Mahathir, selaku pesaing utama menjelang pilihan raya umum ke-14.

"Mengapa tidak pergi dan tahan Mahathir saja? Tidak berbaloi untuk pihak berkuasa bertindak kasar...dan malah terhadap Siti Hasmah.

"Saya tidak rasakan ia tindakan yang betul...Ia hanya menambahkan lagi cerita tidak baik dan merugikan parti pemerintah, dan itu bagi saya tidak memberi manfaat kepada sesiapa," katanya pada sidang media selepas program forum bertajuk "Reformasi untuk Malaysia yang Progresif, anjuran G25 di Shah Alam, hari ini.

Ekoran penglibatan Siti Hasmah dalam himpunan itu, beliau disiasat mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman.

Tengku Razaleigh yang mesra dipanggil Ku Li juga mengulas tentang kebarangkalian untuk Mahathir kembali berkuasa, selepas beliau diumumkan sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN).

Beliau meramalkan pelbagai cabaran yang akan dihadapi pemimpin berusia 92 tahun itu untuk sekali lagi memimpin negara.

Beliau berkata, pada masa ini HARAPAN mungkin setuju untuk memilihnya jika mereka berjaya menumbangkan BN pada PRU akan datang, tetapi keadaan mungkin berbeza jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hanya memenangi sedikit kerusi.

"Ada empat parti (dalam HARAPAN) dan jika parti Mahathir menang paling banyak kerusi, mereka akan berpeluang untuk mencalonkan pemimpin mereka, iaitu Mahathir.

"Tetapi jika mereka hanya menang dua atau empat kerusi? kemungkinan besar beliau tidak akan mendapat sokongan," katanya.

Adakah Dr M akan benar-benar berubah?

Ketika era pentadbirannya, pengkritik sering menyifatkannya sebagai diktator dan menggelarnya "Mahafiraun".

Sepanjang tempoh itu, negara antara lain menyaksikan penahanan ahli politik dan aktivis dalam Operasi Lalang 1987, krisis perlembagaan dan kehakiman 1988 yang membawa kepada pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas, serta pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kedudukan timbalan perdana menteri pada 1998 yang mencetuskan gerakan Reformasi.

Ketika ditanya sama ada kembalinya Mahathir mentadbir negara akan memberikan kesan negatif kepada kebebasan bersuara dan badan kehakiman, Ku Li berkata sukar untuk meramalkannya.
Namun, beliau berkata Mahathir sudah mempunyai rekod sepanjang 22 tahun mentadbir negara.

"Sepanjang 22 tahun itu beliau telah tunjukkan wajahnya. Usianya akan masuk 9 tahun, adakah beliau akan berubah? Ini persoalan besar bagi sesetengah pihak.

"Mungkin beliau akan berubah, dengan dipandu oleh pemimpin daripada parti (HARAPAN) yang lain," katanya lagi.
-malaysiakini 

Tiada ulasan: