"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Shahidan tetap enggan mohon ampun dari Raja Perlis

Diyana Ibrahim
PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Perlis Shahidan Kassim tetap enggan memohon ampun daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail meskipun dikecam hebat atas keingkarannya dalam isu pelantikan menteri besar.

Bekas menteri besar itu mempertahankan tindakannya dan berkata tidak ada keperluan untuk beliau meminta maaf mahupun meletak jawatan sebagai pengerusi BN.

“Buat apa saya nak minta maaf, bukannya saya buat salah. Kalau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) nak minta maaf terpulang tapi bukan saya,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Pada masa sama Shahidan turut mempertahankan pendirian bahawa BN Perlis tidak pernah bersetuju dengan pelantikan Azlan Man sebagai menteri besar.

“Sekarang ini dalam proses sebab hujah kita tindakan melantik Azlan tidak selari dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perlis di mana calon menteri besar perlu mendapat sokongan majoriti.

“Dalam kes ini Azlan tak dapat sokongan majoriti,” katanya, mengulas mengenai kemelut pelantikan menteri besar Perlis itu.

Minggu lalu seramai sembilan Adun BN tidak hadir dalam upacara angkat sumpah jawatan menteri besar.

Bagaimanapun semalam, salah seorang Adun yang memboikot pelantikan itu, Azizan Sulaman berkata kesemua mereka sudah pun bersedia mengadap Raja Perlis bagi menjernihkan keadaan.

Kemelut itu tercetus apabila BN Perlis tidak berpuas hati apabila Raja Perlis menolak calon pilihan mereka, Ismail Kassim yang merupakan adik kepada Shahidan, untuk dilantik ke jawatan menteri besar.

Tindakan protes itu diteruskan apabila Shahidan mengumumkan cadangan memecat Azlan namun ditolak oleh pucuk pimpinan Umno.

BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis.

Tiada ulasan: