"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas PRU14: Langkah songsang Pas Selangor yang malang

NAZRI NOOR
BAHAGIAN KEDUA

Pas muncul dan dijulang sebagai hero dan juara pada PRU13, setelah menang bergaya dan membolot 15 kerusi dari 20 yang di tandingi di Selangor. Bukan sahaja pencapaian tertinggi dalam sejarah Pas Selangor, tetapi juga penyumbang terbesar kerusi di DUN Selangor.
Dibandingkan dengan komponen parti Melayu lain, PKR (melayu) seramai 10 orang (dari 14 yang menang) dan Umno 12 orang, nyata bahawa Pas sebenarnya hero yang unggul jauh kedepan meninggalkan PKR dan Umno, khasnya sebagai mendominasi lanskap perwakilan blok melayu Muslim di Selangor yang berjumlah 37 orang kesemuanya.
Malah Pas juga sama taraf dominannya dengan DAP yang juga menyumbang 15 kerusi (dari 15 yang ditandingi).

Pencapaian yang gemilang ini sebenarnya momentum dan rentetan dari kemenangan bergaya mereka secara besar besaran untuk pertama kali pada PRU12 (2008). 15 kerusi yang dimenangi pada PRU13 adalah lonjakan hampir dua kali ganda dari 8 kerusi yang dimenangi pada PRU12 (2008), juga dari 20 kerusi yang di tandingi waktu itu.
Pas sebagai king maker, hampir-hampir
Tidak keterlaluan jika label king maker layak digelar untuk Pas Selangor. Setidak tidaknya, hampir menjadi king maker yang akhirnya tidak menjadi.
Beberapa insiden cemas dan kritikal dalam jatuh bangun politik Selangor betul-betul membuktikan label king maker ini tidak jauh tersasar.
Ambil PRU12 (2008) sebagai contoh. Setelah sekian lama, tersebarlah rahsia umum bahawa terjadi satu pakatan sulit pada malam keputusan PRU12 bila kedudukan 8 kerusi memihak kepada Pas, 15 kepada DAP dan 13 kepada PKR, dengan total 36 memihak kepada gabungan persefahaman bukan BN (walaupun koalisi Pakatan Rakyat (PR) hanya diresmikan selepas PRU12, bukan sebelum).
Pada masa yang sama, BN (Umno) masih mengekalkan 20 kerusi, walaupun sangat bernasib baik kerana menang tanpa bertanding di Sementa dan menang tipis angkara calon Pas yang ‘mengacau daun’ di Kota Damansara.
Jika digabungkan 20 kerusi Umno dan 8 kerusi Pas, jumlahnya 28, sama banyak dengan gabungan DAP+PKR yang juga berjumlah 28. Potensi satu situasi yang tergantung.
Tambahan terbongkar rahsia umum bahawa ada broker politik yang berunding dalam gelap untuk menubuhkan kerajaan perpaduan baik di seluruh Negara, mahupun di Selangor dan juga di Perak.
Pas sekali lagi muncul sebagai bakal king maker semasa polemik dan krisis kepimpinan jawatan Menteri Besar Selangor setelah Tan Sri Khalid Ibrahim di pecat oleh parti beliau, dan seterusnya jatuh ke status wakil bebas tanpa parti.
Setelah di pecat, PKR dengan baki 13 kerusi jika digabung dengan 15 kerusi DAP, cuma mampu membawa total 28 kerusi, sama banyak dengan potensi gabungan Pas (15) + Umno (12) + 1 Bebas.
Ini sekali lagi bakal mengundang krisis politik tergantung. Di tambah lagi dengan rahsia umum bahawa PAS juga turut menyerahkan nama ahli wakil parti mereka sebagai calon Menteri Besar selepas langkah Kajang yang tak berapa menjadi seperti skrip asal, keadaan menjadi sangat runcing. Dan PAS lihat menjadi king maker.
Jika tidak kerana ‘pengacau’ dua ADUN Hulu Klang dan ADUN Morib yang tampil menandatangangi surat sokongan kepada Wan Azizah dan seterusnya menamatkan krisis dan menyelamatkan negeri Selangor pada waktu itu.
Bayangkan jika negosiasi tersebut menjadi. Lanskap politik hari ini tentunya berubah wajah. Pendeknya, dalam beberapa situasi getir, nyawa politik Selangor terletak di tangan Pas.
Langkah songsang yang membawa malang
Mematuhi arahan parti dan keputusan Majlis Syura mereka, Pas Selangor mengambil keputusan untuk bersendiri sebagai blok ketiga, dan mengharapkan keluar sebagai penentu dan king maker dalam menghadapai PRU14. Terbukti ianya satu langkah yang songsang dan membawa malang.
Berbekalkan 13 kerusi yang menang, pakatan Gagasan Ikatan Sejahtera Pas Selangor serta rakankongsi mereka memasuki medan PRU14 dengan bertanding 49 kerusi DUN, disamping 19 kerusi Parlimen dengan penuh bergaya dan yakin, dalam bahasa mereka sendiri, “dengan membariskan 3 penceramah selebriti, 2 calon bukan Islam, 5 jurutera, 5 doktor perubatan, 2 akitek, 3 lulusan doctor falsafah, 2 profesor madya dan seorang akauntan. Serta 9 calon Muslimat, satu angka yang mengatasi parti-parti lain, malah negeri-negeri lain yang PAS bertanding”.
Nasib dan hasil nyata tidak menyelebelahi Pas. Rakyat lebih bijak memilih dan lebih arif menentukan siapa yang lebih berhak dan layak untuk menerajui pimpinan negeri dan negara. Majoriti rakyat mengundi calon yang mampu menumbangkan Barisan Nasional dan memenangkan komponen PH.
Pas menerima tamparan hebat setelah kalah di semua kerusi Parlimen, kalah di semua kecuali satu kerusi DUN, dan hampir kesemua calon mereka tidak langsung diendahkan oleh rakyat tanpa mengira professor atau selebriti, dimana 11 calon DUN dan 4 calon Parlimen mereka hilang deposit.
Satu nasib yang amat malang menimpa sebuah parti yang terbesar, dengan 15 kerusi DUN cuma selamat dengan satu. Satu anjakan ketara dalam masa kurang dari 3 tahun rentetan dari krisis dan perpecahan semasa muktamar di Kuala Selangor pada tahun 2015.
Pas, sebuah parti yang gah dan baru mula membina asas, akhirnya tersungkur menerima nasib malang, angkara langkah politik yang berlawan arus dan songsang.

Tiada ulasan: