"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kereta mewah Najib jadi tumpuan media


Media asing dan tempatan berkumpul di perkarangan Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan malam ini susulan penularan rakaman video yang mendakwa beberapa kereta mewah milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disorok di parkir kondominium mewah itu. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Lebih 20 pengamal media berkumpul di perkarangan Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan di sini, susulan penularan rakaman video yang mendakwa beberapa kereta mewah milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disorok di parkir kondomonium mewah itu.

Tinjauan mendapati wartawan dan jurukamera memenuhi kawasan hadapan bangunan kondominium mewah itu berikutan mereka tidak dibenarkan memasuki kawasan parkir berkenaan walaupun hujan lebat.

Kenderaan jenis Mercedes dan Toyota Vellfire, yang antaranya dipercayai membawa Najib dilihat memasuki kawasan parkir bangunan itu pada jam 6.45 petang tadi.

Kenderaan Mercedes tersebut kemudian dilihat keluar pada kira-kira 8.30 malam, manakala Toyota Vellfire itu pula turut keluar meninggalkan kawasan berkenaan pada 9.50 malam.

Satu rakaman video berdurasi 24 saat tular di media sosial, mendakwa beberapa kereta mewah di parkir di kawasan letak kereta aras bawah kondominium itu milik keluarga Najib dan disorok oleh rakannya yang memiliki unit di kondominium tersebut.

Bagaimanapun tiada pasukan polis yang kelihatan membuat pemeriksaan mahupun serbuan di kondominium mewah itu malam ini.

Menurut sumber, pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman tidak membuat sebarang serbuan di kondominium itu.

Usaha Bernama untuk mendapatkan pengesahan daripada pihak polis gagal apabila pihak berkaitan tidak dapat dihubungi. - Bernama

Tiada ulasan: