"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BN senarai 11 nama baharu untuk jawatan MB Perlis

MALAYSIA DATELINE 
Selepas nampak seakan ada jalan penyelesaian, krisis pelantikan Menteri Besar Perlis dijangka terus meruncing apabila Barisan Nasional (BN) Perlis memutuskan untuk menghantar 11 nama baharu, termasuk nama Datuk Seri Shahidan Kassim kepada istana.

Setiausaha BN Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata 11 nama itu terdiri daripada sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta dua Ahli Parlimen.

Dua ahli Parlimen itu termasuk Zahidi dari Padang Besar dan Shahidan, sebagai ahli Parlimen Arau, merangkap Pengerusi BN Perlis dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Umno negeri.

Zahidi berkata pihaknya sehingga kini masih menunggu tarikh bagi menghadap Raja Perlis dan dijangka mungkin seawal minggu hadapan.

“Seperti yang saya nyatakan semalam kita akan adakan sidang media bagi memohon ampun kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan selepas itu kita akan menghadap baginda.

“Kita akan serahkan 11 nama calon Menteri Besar kepada Tuanku bagi dipertimbangkan,” katanya seperti dilaporkan BHonline.

Ditanya mengenai pencalonan Shahidan dan beliau sendiri yang bukannya ADUN, Zahidi berkata ia boleh berlaku kerana mengikut Artikel 39(4) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, Raja Perlis berhak melantik sesiapa sahaja sebagai Menteri Besar termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen.

“Sebelum ini kita hanya menghantar satu nama, mungkin sukar untuk Tuanku membuat pilihan jadi kita hantar 11 nama untuk Tuanku pertimbangkan,” katanya.

Kemelut Menteri Besar Perlis akan memasuki minggu ketiga Khamis ini walaupun Datuk Seri Azlan Man sudah mengangkat sumpah bagi jawatan itu Khamis lalu.

Krisis bermula apabila Shahidan menamakan adiknya, Datuk Ismail Kassim yang juga ADUN Tambung Tulang sebagai calon Menteri Besar Perlis selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu.

Bagaimanapun, pencalonan Ismail tidak mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin kerana baginda tidak mahu Menteri Besar Perlis menjadi ‘boneka’ kepada pihak tertentu.

Sembilan ADUN BN memboikot istiadat berkenaan sebagai bantahan terhadap perlantikan semula Azlan yang berlangsung di Istana Arau pada Khamis lalu.

Kejadian itu menimbulkan murka Tuanku Syed Sirajuddin kerana semua ADUN berkenaan telah mendapat surat jemputan dari pihak Istana dua hari sebelum majlis berlangsung.

Tiada ulasan: