"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahfuz: PAS 'kebuloq' kuasa, rakyat nak termuntah

Bekas anggota parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar menyelar parti Islam itu kerana menggesa penubuhan kerajaan perpaduan di Kedah, walaupun sebelum ini menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Naib Presiden AMANAH itu mengulas usaha PAS mencalonkan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dari parti berkenaan, berikutan HARAPAN mendapat jumlah kerusi DUN yang sama dengan gabungan kerusi PAS dan Umno.

PAS sebelum ini menyerahkan nama bagi jawatan speaker dan timbalan speaker minggu lepas, menurut organ parti itu, Harakah Daily.

"Tak salah nak calonkan speaker dari PAS tapi janganlah berlindung di sebalik slogan kerajaan perpaduan tanpa pembangkang.

"Rakyat nak termuntah mendengar slogan tersebut.

"Masa sebelum PRU14, PH (HARAPAN) ajak mai bersama dalam PH tak mau. Pasai ada parti pengkianat, menentang agenda Islam dan segala macam alasan menolak pelawaan PH.

"Sekarang nak ajak pula bentuk kerajaan perpaduan di Kedah dengan PH yang ada pengkianat, menentang agenda Islam dan sebagainya," kata Mahfuz.

'Perpaduan untuk kuasa'

Mahfuz menyindir perpaduan yang dianjurkan Islam yang dibawa PAS hari ini merupakan perpaduan 'untuk tempatkan PAS dalam politik kuasa'.

"Tapi bila PAS berkuasa penuh seperti di Kelantan dan Terengganu tak berbunyi pula tawaran bina kerajaan perpaduan kepada pembangkang di sana.

"Tak tahulah pula ada ajaran Islam yang PAS diutama dan didahulukan.

"Rakyat boleh melihat betapa 'kebuloqnya' PAS untuk berkuasa," kata beliau.

Menurutnya, di Selangor PAS sebelum ini tetap berada dalam kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat meskipun memutuskan kerjasama politik dengan PKR dan DAP yang didakwanya menentang agenda Islam.

"Agaknya masa tu PAS berpegang pada pendapat mazhab baru perpaduan dan kebuloq kuasa berpisah tiada," kata Mahfuz.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 15 Jun lalu berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti calon speaker dan timbalan speaker serta akan menunggu proses pemilihan pada 4 Julai.

Mukhriz menegaskan tidak ada isu mengenai pelantikan speaker dan beliau tidak berhasrat mengadakan pilihan raya negeri semula sebagaimana yang dicadangkan PAS.

HARAPAN memenangi 18 kerusi DUN daripada 36 kerusi, manakala PAS dan BN masing-masing memiliki 15 dan 3 kerusi.
-malaysiakini

Tiada ulasan: