"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Akaun PAS juga boleh dibeku, disiasat - Pemuda AMANAH

Susulan laporan berkaitan pembekuan akaun Umno, Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa pihak berkuasa menyiasat akaun pihak lain yang didakwa menerima wang daripada Umno termasuk PAS.

Timbalan ketuanya, Faiz Fadzil merujuk kenyataan pemangku presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam yang memberi gambaran kemungkinan pembekuan itu ada kaitan dengan dakwaan pengubahan wang haram.

"Pemuda AMANAH menggesa pihak berkuasa menyiasat akaun pihak lain yang menerima wang daripada Umno termasuk akaun PAS seperti mana didedahkan Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar bahawa PAS ada menerima RM1.5 juta daripada Umno.

"Pemberian wang ini boleh dianggap tergolong dalam aliran pengubahan wang haram kerana diterima daripada Umno yang akaunnya dibekukan kerana disyaki melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut peruntukan AMLA, jelas Faiz, adalah menjadi kesalahan bagi penerima aliran pengubahan wang haram dan pihak berkuasa boleh membekukan mana-mana akaun yang disyaki terlibat.

Tambah Faiz, dalam menjalankan siasatan ke atas akaun Umno, akaun PAS juga boleh dibekukan mengikut peruntukan undang-undang itu kerana parti itu "mesra Umno".

"Pengakuan Pengarah Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki bahawa wang tersebut adalah derma juga membuka ruang kepada satu siasatan dijalankan terhadap PAS kerana derma ditafsirkan sebagai suapan menurut seksyen 3 Akta SPRM 2009.

"Tindakan PAS yang mesra Umno dan membela Datuk Seri Najib Razak dalam skandal 1MDB sebelum pilihan raya umum ke-14 yang lalu menimbulkan syak munasabah untuk akaun PAS disiasat," katanya menegaskan agar semua pihak yang terlibat dalam skandal 1MDB yang dikaitkan dengan Najib disiasat.

Ahmad Zahid semalam berkata beliau akan berusaha membuktikan wang yang dimiliki Umno adalah sah dan tidak terbabit dalam sebarang kegiatan pengubahan wang haram.

Kenyataan itu dibuat selepas beliau menerima panggilan telefon daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memaklumkan akaun bank ibu pejabat Umno dan Umno Selangor dibekukan.

Dalam satu forum April lalu, Zuhdi menafikan dakwaan PAS menerima wang Umno dan berkata sejumlah wang yang diterima parti itu merupakan "derma" individu.

"Derma daripada individu, bukan Umno, bukan daripada Umno, bukan dari pejabat Umno," kata Zuhdi.

Kenyatan Zuhdi itu dibuat selepas Mahfuz yang keluar PAS awal tahun ini mendakwa sejumlah RM1.5 juta telah didepositkan ke pejabat PAS pusat dan tiga pemimpin PAS Terengganu menerima RM1 juta.
-malaysiakini

Tiada ulasan: