"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Pemimpin PAS masih tak terima realiti rakyat tolak perkauman'

Ketua Penerangan Pakatan Harapan (HARAPAN) Pahang Zulkifli Mohamed berkata terdapat pemimpin PAS yang masih tak dapat menerima bahawa politik sempit perkauman dan agama sudah ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia.

Zulkifli berkata demikian sebagai menyelar Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mohd Zuhdi Marsuki yang sebelum ini mendakwa Pakatan Harapan (HARAPAN) cuba menjayakan agenda DAP.

"Walaupun pilihan raya umum (PRU) ke-14 sudah hampir sebulan berlalu, namun masih terdapat suara sumbang yang cuba mewujudkan kembali ketegangan politik dengan memutarkan semula isu perkauman.

"Kenyataan terkini daripada Mohd Zuhdi yang menuduh dan memfitnah kerajaan HARAPAN yang kononnya cuba menjayakan agenda Malaysian Malaysia yang dipelopori oleh DAP sama sekali tidak dapat diterima," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli turut menyifatkan kenyataan Mohd Zuhdi itu sebagai memperlihatkan 'krisis pemikiran' dan 'penyakit jiwa yang semakin kronik' yang bersarang di dalam hati sebahagian pemimpin PAS.

"Mereka seakan-akan masih tidak dapat menerima realiti bahawa politik sempit berteraskan perkauman dan agama sudah ditolak oleh majoriti rakyat di negara ini," katanya.

Terdahulu, Mohd Zuhdi mendakwa tema yang ditonjolkan kerajaan baru adalah 'satu perubahan rupa bentuk negara yang dahulunya berasaskan kontrak sosial kepada asas yang baru.'

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) itu juga mendakwa, melalui asas baru itu, kerajaan HARAPAN tidak memberikan keistimewaan kepada kaum atau agama tertentu.

Mengulas dakwaan itu, Zulkifli menyifatkan ia sebagai tuduhan liar dan tak bertanggungjawab.

Jelas Zulkifli, HARAPAN mempunyai perjanjian kerjasama yang disepakati antara parti komponen.

"(Dalam perjanjian itu) dengan tegas menyatakan bahawa HARAPAN akan tetap mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama Persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu dan Institusi Raja Berperlembagaan," katanya memetik Perjanjian Kerjasama HARAPAN – BERSATU yang ditandatangani pada 13 Disember 2016.

Justeru, kata Zulkifli, semua parti yang bernaung di bawah bendera HARAPAN tertakluk dengan kesepakatan itu.

"Maka adalah nyata fitnahnya jika terdapat pihak yang cuba membuat tomahan bahawa Pakatan Harapan cuba menghapuskan kuasa raja-raja Melayu dan Islam sebagai agama rasmi negara," katanya.
-malaysiakini

Tiada ulasan: