"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

15 lagi menteri baru akan dilantik dalam tempoh terdekat

Kabinet Malaysia di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menyaksikan seramai 28 orang menteri dilantik berbanding 35 semasa era Datuk Seri Najib Razak.

Menurut sumber, perdana menteri akan mengumumkan baki 15 lagi menteri baru dalam tempoh terdekat.

Buat masa ini kabinet Malaysia mempunyai 13 orang menteri, tidak termasuk Dr Mahathir dan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Selain Dr Mahathir 13 menteri lain mengangkat sumpah jawatan di depan Yang di-Pertuan Agong pada 21 Mei lalu.

Sumber Pakatan Harapan memberitahu Malaysiakini perbincangan masih berlangsung di antara parti dalam HARAPAN.

"Kami belum membuat keputusan muktamad tetapi ia akan diumumkan dalam minggu ini," katanya.

Sumber itu menambah, menteri baru yang akan diumumkan nanti turut menyaksikan empat wakil dengan masing-masing dua untuk Sabah dan Sarawak.

Katanya, HARAPAN berusaha membina pasukan kabinet yang kukuh.

"Ia sukar tetapi saya yakin kami mampu memberikan perkhidmatan yang sepatutnya kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian dan Pengerusi HARAPAN Sarawak Chong Chieng Jen dijangka akan dilantik menjadi menteri.

HARAPAN dianggotai empat parti utama iaitu PKR, BERSATU, AMANAH dan DAP selain mempunyai kerjasama dengan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Pemilihan jawatan menteri kabinet biasanya dibuat berdasarkan peruntukan kepada parti-parti yang bersama HARAPAN.

Setakat ini menteri yang sudah dilantik ialah:

Muhyiddin Yassin (BERSATU) - Menteri Dalam Negeri
Lim Guan Eng (DAP) – Menteri Kewangan
Mohamad Sabu (AMANAH) - Menteri Pertahanan
Anthony Loke (DAP) – Menteri Pengangkutan
M Kulasegaran (DAP) – Menteri Sumber Manusia
Mazlee Malik (Bersatu) – Menteri Pendidikan
Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR) – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Azmin Ali (PKR) – Menteri Hal Ehwal Ekonomi
Zuraida Kamaruddin (PKR) – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Salahuddin Ayub (AMANAH) – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
Rina Harun (BERSATU) – Menteri Pembangunan Luar Bandar
Dr Dzulkefly Ahmad (AMANAH) – Menteri Kesihatan
Gobind Singh (DAP) – Menteri Komunikasi dan Multimedia
Sesuai dengan kedudukan ekonomi semasa kerajaan memang bercadang mahu mengecilkan saiz anggota kabinet.

Dr Mahathir berkata jika boleh Putrajaya hanya mahu melantik 25 orang menteri dan dalam keadaan tertentu ia boleh ditambah namun tidak melebihi 30 orang.
-malaysiakini

Tiada ulasan: