"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Air mata Mazlan bercucuran bila PM umum duit raya peneroka

MALAYSIA DATELINE 
Presiden Anak Peneroka Felda (Anak) Mazlan Aliman tidak dapat menahan rasa kegembiraannya apabila mengetahui kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan pemberian duit raya kepada 112,635 orang peneroka Felda.

Beliau dimaklumkan akan keputusan mesyuarat kabinet hari ini bagi minggu ketiga, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM50juta iaitu setiap peneroka akan menerima sejumlah RM450.00 duit raya.

“Air mata ini bercucuran apabila dimaklumkan, mesyuarat kabinet sebentar tadi mengumumkan pemberian duit raya kepada seluruh 112,635 orang peneroka Felda dengan peruntukan RM50 juta.

“Pengumuman YAB Tun Dr Mahathir dalam sidang media tengahari ini, membuktikan keprihatinan Kerajaan PH meskipun menghadapi kekangan kewangan.

“Jumlah RM450 setiap peneroka adalah ‘hadiah’ hari raya untuk seluruh peneroka Felda. Ia pasti melegakan para peneroka.

“Syukur Alhamdulillah…hanya Allah yang tahu perasaan hamba Mu ketika ini,” ujarnya penuh emosi dalam kenyataan hari ini

Semalam Mazlan dalam kenyataannya kepada Malaysia Dateline berkata, beliau memahami perasaan peneroka Felda yang mengharapkan kerajaan PH memberikan insentif duit raya sebagaimana yang pernah mereka terima di bawah kerajaan BN.

Kebimbangan itu timbul setelah kerajaan PH mengumumkan hutang negara yang tinggi diluar jangkaan, memungkinkan menyukarkan kerajaan PH melunaskan janji-janji dan amalan kerajaan BN sebelum ini kepada peneroka seperti pemberian duit raya yang dilaksanakan sejak 2013.

Menurut Mazlan lagi, beliau telah menghantar sepucuk surat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dua minggu lalu, mencadangkan agar peneroka Felda tidak terkecuali diberikan bantuan hari raya.

Tiada ulasan: