"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis beritahu rakaman CCTV hotel Sandakan dipadam, kata Farhash

FMT Reporters
PETALING JAYA: Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak hari ini mempertahankan dakwaannya wujud konspirasi atas penahanannya berhubung video seks sejenis yang menyasarkan Azmin Ali kerana penyiasat memberitahunya rakaman CCTV di luar bilik sebuah hotel di Sabah yang didakwa berlaku skandal itu sudah dipadamkan.

Setiausaha politik Anwar Ibrahim itu berkata, ketika direman polis selama 8 hari, beliau ditanya satu siri soalan yang “tiada kaitan dengan video atau penyebaran sebarang bahan haram”.

“Saya di bawah tanggapan yang perintah reman saya untuk membantu siasatan berdasarkan fakta, bukannya mengesahkan beberapa teori konspirasi lemah,” katanya dalam satu kenyataan sehari selepas dibebaskan polis.

“Apabila saya tanya mereka mengenai rakaman CCTV di (Hotel) Four Points, yang akan jelas menunjukkan sama ada 2 individu didakwa memasuki bilik sama, polis kata rakaman itu sudah dipadamkan,” katanya merujuk hotel dinamakan bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz yang mendakwa dirinya dan Azmi mengadakan hubungan seks sejenis itu pada 11 Mei lalu.

FMT cuba menghubungi Hotel Four Points untuk mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan itu.

Awal bulan ini, satu klip video dikatakan rakaman CCTV dari Hotel Four Points dimuat naik ke YouTube menunjukkan individu menyerupai Azmin, Haziq dan juga Setiausaha Politik Azmin, Hilman Idham melalui kawasan yang kelihatan seperti koridor sebuah hotel.

Ketika itu, Hotel Four Points memberitahu ia tahu mengenai video itu.

Tangkap layar satu rakaman CCTV dikatakan dari Hotel Four Points di Sandakan menunjukkan seorang lelaki menyerupai Haziq Aziz keluar dari lif.
Azmin bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Haziq dengan berkata, ia adalah konspirasi untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Hari ini, Farhash mengulangi dakwaannya mengenai “konspirasi” dengan berkata, penyiasat mengikut “satu set arahan jelas daripada seseorang di atas”.

“Sesetengah perkara yang ditanya sama ada saya tahu mengenai satu gajet hilang (dikatakan digunakan untuk merakamkan video seks itu), nama tempat kebanyakan rakyat Malaysia pernah dengar atau kunjungi, masa dan tarikh kedudukan saya secara rambang, tetapi dirasakan seperti membuang masa kerana mereka tidak perlu 4 hari untuk tanya semua ini.

“Ada hari di mana saya hanya dipanggil untuk berborak dan menghabiskan masa bersama mereka.”

Katanya, beliau diyakinkan penahanannya untuk menimbulkan persepsi umum negatif terhadap Anwar dan beliau dianggap “penampan” yang sesuai.

“Saya marah dengan Azmin dan selepas dibebaskan, saya menyerangnya secara lisan kerana jika kita sebagai rakyat Malaysia perlu menghormati undang-undang, kenapa beliau berselindung di sebalik selubung keistimewaan?” soalnya.

Terdahulu, Ketua Wanita PKR, Haniza Talha hari ini dilaporkan menggesa tindakan disiplin diambil terhadap Farhash kerana menggunakan label homoseksual terhadap Azmin ketika berucap di depan penyokongnya selepas dibebaskan semalam.

“Itu tuduhan secara terbuka di hadapan khalayak ramai dan media terhadap pemimpin nombor 2 parti. Perbuatan itu patut diambil tindakan disiplin.

“Pemimpin seperti Farhash yang mengetuai sebuah negeri wajar menunjukkan kematangan dan bukannya melepaskan perasaan dan emosi apabila berdepan dengan tekanan,” kata Haniza kepada FMT.

Farhash melaungkan “Anwar untuk PM” dan “Azmin semburit” ketika mengakhiri ucapannya di depan sekumpulan penyokong di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam.

Tiada ulasan: