"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ke mana arah tuju PPBM?

Zin Mahmud
PPBM jelas berpecah. Sebahagian berada di pihak Pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad yang merupakan ketua barisan pembangkang, Pakatan Harapan, sementara bahagian yang satu lagi diketuai Presidennya merangkap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Tetapi, di pihak Perikatan Nasional, PPBM terbahagi kepada 3 kumpulan. Pertama, ahli PPBM asal yang menyokong Muhyiddin. Kedua, bekas ahli PKR daripada kalangan penyokong Azmin Ali yang menyertai PPBM selepas kerajaan PH tumbang. Ketiga, bekas ahli Umno yang menyertai PPBM selepas PH menubuhkan kerajaan. Tokoh utama kumpulan ini ialah Mustapa Mohamed.

Jurang paling genting ialah PPBM yang berada di pihak PH dan Perikatan Nasional. Sebagai sebuah parti, tentu ia tidak dapat berfungsi dengan sebahagiannya dalam kerajaan, sementara satu lagi ialah pembangkang.

Kalau salah satu mengalah, maka perpecahan ini dapat diselesaikan, iaitu sama ada Mahathir bersetuju menyertai kerajaan Perikatan Nasional ataupun Muhyiddin kembali kepada PH, sesuatu yang tidak mungkin berlaku.

Jika Muhyiddin kembali kepada PH, pastinya kerajaan Perikatan Nasional tumbang kerana kumpulan Azmin tidak akan mahu kembali kepada gabungan itu.

Di pihak Mahathir pula, pendiriannya ternyata tegas. Beliau tidak akan menyertai kerajaan yang di dalamnya ada Umno secara blok. Kalau secara individu, beliau boleh menerimanya. Ikut cadangan asal Mahathir ialah penubuhan kerajaan perpaduan tanpa parti politik.

Bagi pihak Umno, dapat difahami mereka merasakan diri kumpulan terbesar dalam Perikatan Nasional walaupun kerajaan dipimpin tokoh PPBM. Maknanya, Umno adalah parti terbesar dalam Perikatan Nasional dan PPBM merupakan parti serpihan kecil.

Maka, tidak menghairankan apabila ditularkan satu klip video menunjukkan seorang pemimpin bawahan Umno dalam sebuah majlis mencadangkan PPBM diserapkan dalam parti utama itu.

Matlamat asal PPBM ialah menentang kleptokrasi yang didokong Umno. Setelah berjaya menumbangkan kleptokrasi, maka tiada sebab untuk terus wujud. Begitulah hujah pemimpin berkenaan.

PPBM ialah parti hebat yang berjaya memenangi pilihan raya walaupun baru ditubuhkan. Kehebatannya terletak pada kepimpinan Mahathir dan azam perjuangannya untuk membersihkan negara.

Dasar parti PPBM serupa dengan Umno. Fahaman politiknya adalah nasionalis kanan Melayu yang berdiri di atas tradisi Umno. Seperti Umno, hanya Bumiputera diterima sebagai ahli.

PPBM mampu memperoleh keyakinan parti yang menentang fahaman politik Umno. PKR, DAP dan Amanah yang fahaman politiknya bercanggah dengan Umno menerima kemasukan PPBM dalam PH.

Kerjasama ini membawa kejayaan pada pilihan raya umum ke-14, di mana parti PH meleburkan fahaman politik masing-masing untuk bersatu di bawah azam Deklarasi Rakyat yang diisytiharkan Mahathir pada 2017.

Walaupun PPBM meraih kerusi dengan jumlah sedikit berbanding PKR dalam konteks semua parti PH menggunakan lambang sama pada PRU14, ia disokong untuk memimpin kerajaan melalui Mahathir.

Malah, apabila berlaku Langkah Sheraton, sekali lagi PPBM berada dalam kepimpinan kerajaan. Kali ini melalui Muhyiddin yang memperoleh dokongan parti Perikatan Nasional, iaitu Umno, PAS, MCA, MIC dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sungguhpun kemudian apabila PPBM ternyata berpecah dua, bermakna saiznya, setiap satu bertambah kecil, walaupun bagi kumpulan Muhyiddin, ia mendapat penambahan daripada kumpulan Azmin, tetapi parti itu daripada kepimpinan berbeza terus mengetuai kedua-dua PH dan Perikatan Nasional.

Perpecahan sebegini dipercayai tidak akan kekal lama, tetapi untuk membayangkan salah satu daripada pesaing ini akan menubuhkan parti baru juga sukar. Kedua-dua pihak mahu menguasai parti, maka ia menjadi perbalahan antara pengerusi dan presiden.

Tidak diketahui siapa yang mempunyai penyokong lebih ramai. Kedua-duanya juga kelihatan tidak berusaha mendapatkan sokongan ahli. Muhyiddin tentunya sibuk dengan urusan kerajaannya, sementara Mahathir pula menyertai program jelajah PH untuk meraih sokongan orang ramai.

Dalam pemilihan bahagian baru-baru ini, belum timbul saingan antara pengaruh Mahathir dan Muhyiddin ketika itu.

Apa yang menjadi isu ketika itu ialah kemaraan ahli baru PPBM. Mereka yang umumnya berasal daripada Umno menyertai PPBM selepas kemenangan PH sebagai menyahut ajakan Mahathir, tetapi kehadiran mereka dirasakan kurang disenangi ahli yang menyertai parti itu sebelum PRU14.

Tetapi, adakah PPBM mahu menjadi parti bertahan lama atau sementara? Dalam sejarah Umno pernah berlaku parti serpihannya kembali setelah apa yang diperjuangkan mereka tidak relevan lagi.

Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang ditubuhkan pengasas Onn Jaafar gagal dan dibubarkan setelah Tanah Melayu merdeka. Beliau menubuhkan Parti Negara untuk terus membela kepentingan Melayu, tetapi setelah gagal, kebanyakan ahlinya kembali ke pangkuan Umno.

Semangat 46 yang ditubuhkan Tengku Razaleigh Hamzah ekoran persaingan beliau dan Mahathir dalam Umno akhirnya dibubarkan dengan kebanyakan ahlinya menyertai parti kerajaan semula.

Begitu juga Parti Keadilan Nasional yang ditubuhkan untuk mendokong Anwar Ibrahim pada 1998, ia dijangka dibubarkan apabila kalah PRU dengan kebanyakan ahlinya menyertai Umno semula, tetapi ia dapat bertahan.

Antara sebabnya ialah fahaman politiknya berbeza daripada Umno, Kalau Parti Negara dan Semangat 46 mempunyai fahaman serupa dengan Umno, tetapi Parti Keadilan Nasional yang membuka keahliannya kepada bukan Melayu tidak seperti itu.

Identiti berbeza Parti Keadilan Nasional bertambah kukuh apabila ia bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia untuk menjadi PKR.

Malah, ketika persaingan antara kumpulan Azmin dengan Anwar bertambah runcing sebelum kejatuhan kerajaan PH, tetapi tetap tidak timbul mereka akan menyertai PPBM, walaupun jelas Azmin mempunyai hubungan lebih rapat dengan Mahathir berbanding Anwar.

Apa yang disebut-sebut ialah terdapat cadangan supaya ahli PKR yang menyokong Azmin menyertai Gerakan secara beramai-ramai. Dalam erti kata lain, Azmin mengambil alih Gerakan. Dari segi fahaman politik, boleh dikatakan PKR dan Gerakan tidak jauh berbeza.

Bagi PPBM, ia bukan saja mempunyai fahaman politik serupa dengan Umno, tetapi terdapat keazaman dan usaha menggantikan parti induk itu.

Menjelang PRU14, PPBM berusaha mendapatkan ahli dalam kalangan orang Umno. Ia tidak berjaya sehinggakan parti itu tidak memiliki jentera kuat untuk bertanding pada PRU14. Di kebanyakan tempat, ia menggunakan jentera Amanah dan PKR.

Tetapi, wawasan Mahathir adalah jelas. Beliau kelihatan mahu menjadikan PPBM sebagai parti utama bagi menggantikan Umno. Oleh itu selepas PRU14, beliau mengajak ahli Umno menyertai PPBM. Malah, terdapat ahli Parlimen Umno yang menyertai PPBM.

Mahathir kelihatan mahu mengukuhkan kedudukan PPNM dalam PH supaya kumpulan terbesar dalam gabungan itu bukan lagi PKR, tetapi ahli Umno tidak berduyun-duyun menyertai PPBM.

Mahathir tidak mempunyai pengaruh kuat dalam Umno, maka timbul juga cadangan supaya PPBM bergabung dengan Amanah untuk menjadi lebih kuat daripada PKR. Sudah tentu Amanah yang mempunyai fahaman politik asalnya yang serupa dengan PAS menolak.

Selain itu, Amanah yang merupakan anggota asal PH bersama PKR dan DAP bertegas supaya Mahathir bersedia menyerahkan jawatannya mengikut persetujuan asal gagasan itu. Ekoran itu, berlakulah perpecahan bukan saja PH, tetapi juga PPBM dan PKR.

Selepas Langkah Sheraton, Mahathir mencadangkan kerajaan tanpa parti politik. Maknanya ketika itu, bagi beliau, parti politik termasuk PPBM tidak relevan, apa yang penting adalah individu ahli politik.

Tiada ulasan: