"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

20 individu penyokong sebuah parti menyerang Khalid Samad di Kuala Terengganu

MALAYSIA DATELINE
Khalid Samad membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, malam tadi
“Mereka baru dapat kuasa dua minggu dan sudah tunjuk mereka lebih tinggi daripada undang-undang. Ini bahaya. Mereka jelas sekali tak takut dengan pihak berkuasa,” kata Pengerusi AMANAH Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Raja Kamarul berkata demikian ekoran sekumpulan 20 individu dikatakan menyerang Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad di Kuala Terengganu malam tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata ahli Parlimen Shah Alam itu tidak cedera kerana sempat memasuki keretanya.

Beliau yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan percaya mereka yang menyerang itu adalah ‘penyokong sebuah parti politik’.

“Mereka ikut Khalid dan tunggu dia di luar balai polis. Menunjukkan mereka besar kepala. Kami tahu siapa mereka, ada antaranya kami kenal.”

“Mereka menjerit-jerit beritahu kami supaya tak sentuh ‘Tok Guru’ mereka, jadi kami tahu mereka siapa,” kata Raja Kamarul dipetik The Malaysian Insight.

Khalid bersama AMANAH Terengganu sepatutnya mengikuti Jelajah Harapan tetapi dibatalkan kerana wabak COVID-19, kemudian memutuskan untuk bersiaran langsung di ibu Pejabat AMANAH.

Selepas tamat siaran langsung Facebook selama dua jam, mereka meninggalkan bangunan AMANAH, sekurang-kurangnya 15 hingga 20 lelaki tiba-tiba muncul.

“Mereka memaki kami tetapi sasaran mereka ialah Khalid Samad.

“Khalid berjaya masuk ke kereta yang membawanya dan terus pergi ke balai polis berhampiran. Kumpulan lelaki itu agresif dan kasar. Nasib baik Khalid sempat masuk kereta,” kata Raja Kamarul.

Sementara itu, Raja Kamarul berkata kumpulan lelaki itu turut menunggu Khalid di depan Balai Polis Daerah Kuala Terengganu.

Sumber polis Kuala Terengganu yang dihubungi mengesahkan laporan polis sudah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.

Tiada ulasan: