ZAKARIA MUSA
Apa yang diidamkan Pas sebelum PRU14 kini menjadi kenyataan; dapat membentuk kerajaan bersama Umno dan menjadi anggota Kabinet persekutuan.
Ketika gabungan pembangkang sepakat mengatur langkah dan strategi untuk menumbangkan kerajaan kleptokrat pimpinan Najib Razak ketika itu, Pas lebih selesa bersikap mesra-Umno, kononnya sekadar menjadi penasihat kerajaan.
Parti itu akhirnya bertanding lebih kurang 160 kerusi Parlimen, bilangan paling tinggi dalam sejarahnya. Tujuan utamanya bukan untuk menjatuhkan kerajaan BN-Najib, tetapi didorong oleh motif untuk memecahkan undi pembangkang dan mengekalkan regim sedia ada.
Pertandingan tiga penjuru di antara BN, Pakatan Harapan dan Pas bagi memudahkan penyandang bertahan, sekali gus membentuk kerajaan campuran pasca 9 Mei 2018.
Hasrat pemimpin utama Pas untuk bergabung dengan BN terhalang oleh sentimen0 anti-Umno yang begitu kuat di kalangan penyokong akar umbinya. Justeru, berdepan pendukung parti, khususnya cabaran terdekat daripada Parti Amanah Negara, Pas menafikan sekeras-kerasnya niat untuk bekerjasama dengan Umno.
Namun, segalanya terdedah dan diakui sendiri pemimpin Pas dan Umno selepas PRU14. Mereka – termasuk Najib dan Timbalan Mursyidul Am Pas — mengakui taktik pertandingan tiga penjuru itu ternyata “makan tuan” dan menguntungkan Pakatan Harapan.
Justeru, begitu mudah sekali konsep taawun diaplikasi bersama Umno, yang akhirnya mencetuskan gagasan Muafakat Nasional. Ya, apa yang dimpikan menjelang PRU14 sudah dapat direalisasikan tanpa bantahan.
Konflik dalaman Pakatan Harapan khususnya menangani proses peralihan perdana menteri, di antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim turut menjadi pemangkin dan bonus buat Pas-Umno mengambil kesempatan. PKR juga menghadapi masalah internal yang cukup serius. Presiden cuba disabotaj oleh timbalan sendiri.
Pas lebih ke hadapan cuba memanipulasi hubungan dingin di antara penyokong Mahathir dan Anwar. Mereka bercadang untuk mengusulkan di Parlimen undi percaya kepada Dr Mahathir untuk kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal.
Memang aneh sekali apabila pembangkang membawa undi percaya kepada perdana menteri, selalunya undi tidak percaya. Sebenarnya Pas hanya mahu memecah-belahkan gabungan PH, khususnya di antara PKR dan Bersatu. Terdapat wakil rakyat PKR yang ghairah memastikan Mahathir berundur selepas tempoh dua tahun — iaitu sekitar Mei 2020 — dan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar. Manakala sebilangan penyokong Mahathir dalam Bersatu, termasuk pegawai rapat perdana menteri, mahu Mahathir kekal sehingga PRU15.
Taktik licik Pas ini didedahkan sendiri oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan, selepas kerajaan PH ditumbangkan melalui komplot jahat sebahagian wakil rakyat Bersatu, sekumpulan ahli Parlimen PKR geng Azmin Ali dan dukungan bulat BN-Pas.
“Pas memulakan rancangan untuk membentangkan undi percaya bagi mencipta rasa tak percaya dalam PH, untuk membuat mereka syak wasangka, sampai mereka retak menunggu belah,” kata Mohamad ketika merasmikan persidangan Umno Pagoh, kawasan perdana menteri baharu, Muhyiddin Yassin.
Pemerhati politik rata-rata berpendapat, undi percaya Pas kepada Mahathir itu sebenarnya merupakan undi tidak percaya kepada Anwar yang dijanjikan jawatan perdana menteri kelapan.
“Disebabkan usul undi tidak percaya itu, mereka (parti PH) mula syak wasangka antara satu sama lain,” tambah Mohamad Hassan.
Sedangkan di bawah pentadbiran Mahathir, yang Kementerian Kewangan diterajui Lim Guan Eng, kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu, mendapat bayaran berbilion ringgit “duit petroleum”. Semua itu tidak menghalang Pas untuk terus bersikap bermuka-muka demi kelangsungan politik liciknya.
Perhatian kini tertumpu kepada kedudukan Pas dalam komposisi Kabinet Muhyiddin yang bakal dibentuk sedikit masa lagi. Berbekalkan 18 ahli Parlimen, pastinya Pas bakal menjadi komponen penting kerajaan pintu belakang ini.
“Jika parti AMANAH yang mempunyai 11 ahli Parlimen pun diberi lima jawatan menteri dan lima timbalan menteri dalam Kabinet Mahathir, masakan Pas yang ada 18 wakil rakyat tak dapat lebih daripada itu, sekurang-kurangnya lapan menteri,” kata seorang pemerhati politik. Beliau menambah, “saya dapat membayangkan kegembiraan penyokong Pas, termasuk mengharapkan presiden mereka diangkat menjadi timbalan perdana menteri”.
Impian Pas untuk bersama kerajaan persekutuan yang tertunda selama 22 bulan, kini menjadi kenyataan meskipun bercanggah dengan mandat rakyat PRU14. Musim melemparkan fitnah berbaur perkauman dan keagamaan sempit terhadap Pakatan Harapan mungkin berakhir. Selama ini kerajaan PH ditohmah menafikan kepentingan Melayu-Islam, maka perhatian kini tertumpu kepada Pas yang menjadi tulang belakang “kerajaan tanpa DAP”.
Sama-samalah kita memerhati perkembangan selanjutnya, khususnya meneliti komitmen kerajaan “yang merompak mandat rakyat” dan nasib ahli-ahli Parlimen yang membuka pintu kepada pengkhianatan luar biasa ini. Juga menarik untuk diteliti langkah Pas seterusnya, yang terbukti licik mengambil kesempatan untuk mengembalikan semula kerajaan yang di dalamnya bersekongkol perasuah dan penjenayah. Apakah rakyat hanya pasif menjadi pemerhati sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan