MOHD ARIF JUHANI ABDUL RAHMAN
Mungkin inilah minggu paling sedih kepada AMANAH. Sepanjang siri pengkhianatan dilaksanakan dengan pra-kemuncaknya adalah ‘Langkah Sheraton’ sebelum berjaya menobatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, AMANAH dan DAP merupakan parti yang masih boleh berbangga dengan integriti dan prinsip perjuangan.
Tatkala rakan komponen Pakatan Harapan berdepan ujian pengkhianatan yang cukup menyakitkan perasaan, AMANAH dan DAP pada awalnya kelihatan kalis daripada ujian tersebut.
Ahli-ahli seluruh negara berbangga dengan kepimpinan AMANAH yang cukup berintegriti.
Daripada rasa bangga, tanpa sedar mungkin kebanggaan tersebut telah bertukar menjadi ujub dan angkuh dalam menilai pihak lain.
Dalam laman sosial, kita cukup megah untuk mengutuk dan menjatuhkan pihak lain yang dianggap begitu mudah curang dengan risiko perjuangan.
Pada pandangan kita, mereka tidak layak menggelarkan diri sebagai pejuang dan reformis. Disusuli rasa bangga itu, pelbagai grafik dan poster bertebaran untuk kita menyatakan rasa bangga kepada para pimpinan kita yang begitu teguh menahan ujian kemewahan yang dijanjikan oleh pihak lawan.
Kita hampir begitu yakin bahawa rakyat akan mengangkat martabat dan wibawa yang kita pertahankan selama ini. Memang dalam melakukan kebaikan, kita sering merasa puas.
Tetapi kerana kesilapan kita untuk mengenang nasib diri, kita terlupa bahawa sesiapa sahaja boleh ditimpa ujian yang sama.
Akhirnya pada 9 Mac lalu, AMANAH yang selama ini berbangga dengan kehebatan prinsip perjuangan secara mengejut menerima ujian getir.
Semuanya bermula apabila Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mengumumkan keluar parti dan menjadi Adun bebas.
Adun Titi Serong yang merupakan salah seorang Exco Kerajaan Negeri Perak sebelum ini dilihat mempunyai kualiti kepimpinan yang agak cerah untuk dibawa ke peringkat nasional pada masa depan.
Malangnya, ketidakstabilan yang melanda beberapa negeri tidak mengecualikan Perak daripada menerima tempias yang serupa.
Apakah punca beliau bertindak sedemikian sukar untuk dijawab. Memanglah ada beberapa khabar angin yang berlegar-legar tetapi tidak usahlah itu dibahaskan di sini.
Cuma dalam menghadapi pengkhianatan terbaharu ini, apakah tindakan dan sikap yang perlu kita ambil?
Apa yang menjadi kebimbangan adalah kegagalan kita sendiri itu mengambil iktibar daripada pengkhianatan ini.
Kebimbangan adalah kita masih melihat bahawa pengkhianatan itu atas kecurangan dan kelemahan pihak mereka dan tiada kaitan dengan kita.
Yang telah khianat itu adalah sahabat kita sendiri. Yang sama-sama telah mengharungi kegetiran berpolitik dan perjuangan selama ini. Selepas khianat ini adakah kita sudah memutuskan persaudaraan dengan mereka?
Sehingga artikel ini ditulis, nampaknya bukan sahaja mereka, kita juga dengan sekelip mata berubah. Daripada mengangkat martabat mereka sebagai pejuang dan pemimpin, secara drastik, kita menjadikan musuh ketat yang perlu diperangi sehabis mungkin.
Maka bertebaranlah poster-poster baru dalam laman-laman sosial yang penuh dengan perasaan benci, mengutuk, memaki hamun dan sebagainya.
Benar, tiada siapa yang bersetuju dengan pengkhianatan yang dilakukan. Tetapi sudah habiskah sekelumit rasa insaf dan sayang kepada hubungan yang terbentuk selama ini?
Justeru, kita harus bertanya semula secara jujur kepada diri sendiri, apakah jenis politik yang telah kita bergelumang selama ini?
Adakah sekadar berusaha untuk menguasai tampuk pemerintahan dan terus berusaha untuk memastikan tidak jatuh ke tangan pihak musuh?
Sampai bilakah politik kebencian dan pengkhianatan ini akan berakhir? Jika dilihat kepada senario semasa, belum nampak sebarang tanda budaya berpolitik dalam negara ini akan disuburi dengan nafas yang positif, membina dan membawa kebajikan.
Kita harus berhenti sebentar. Meneliti dahulu diri sendiri. Cermin diri. Melihat dan menilai semula perjuangan selama ini. Dari mana ingin bermula dan di manakah harus berakhir.
Pada pengkhianatan yang berlaku memang ada harga yang perlu dibayar, tetapi dengan cara apakah ingin kita bayar akhirnya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan