Malaysiakini
Seorang lagi Adun DAP di Perak, Terence Naidu menyuarakan bantahan terhadap kerjasama parti itu dengan Umno dalam pembentukan kerajaan negeri yang baru.
Terence yang merupakan Adun Pasir Bedamar, berkata DAP sebagai parti berprinsip tidak patut berganjak daripada pendirian untuk tidak bekerjasama dengan parti yang menurutnya terpalit dengan tuduhan rasuah.
Dia juga berkata apa yang berlaku di Perak, iaitu penyingkiran Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar, hanyalah untuk kepentingan Umno.
"Kita tidak harus lupa, bahawa pencaturan terkini adalah hanya untuk menukar menteri besar untuk manfaat mereka sendiri.
"Sekiranya mereka hanya ingin menteri besar dari Umno, maka Perikatan Nasional (PN) akan kekal menerajui kerajaan negeri. Kalau tidak, mengapa turunkan MB dari Bersatu?" soalnya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, katanya, PH tidak seharusnya terlibat dalam apa yang disifatkannya sebagai "permainan politik pemimpin atasan Umno" jika tidak ingin dihukum pengundi dalam PRU akan datang.
Terence merupakan Adun kedua DAP yang menyuarakan bantahan terhadap kerjasama itu selepas Adun Pokok Assam, Leow Thye Yih pada 6 Dis lalu.
Leow turut mengajak para Adun DAP lain di Perak untuk turut mengambil pendirian sama.
Ia susulan kenyataan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming bahawa pihaknya sedia bekerjasama dengan Umno 'demi kepentingan rakyat' dan bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil.
PKR dan Amanah Perak turut berpandangan sama.
Dalam pada itu, Terence turut membangkitkan peranan Umno dalam kejatuhan pentadbiran Pakatan Rakyat di Perak pada 2009 dan kerajaan PH pada awal tahun ini.
"Sekiranya kerjasama bermakna menyokong pembentangan belanjawan yang memanfaatkan rakyat di kala pandemik Covid-19, sudah pasti saya akan menyokongnya demi kemajuan negeri. Tetapi bukan jenis kerjasama membabi buta yang menyokong mana-mana salah guna kuasa dan korupsi.
"Saya percaya Tuanku Sultan Perak akan membuat segala keputusan yang dilihat baik dan mendahulukan rakyat negeri," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan