"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hikayat siasah bersilap mata

N Faizal Ghazali

Sebermula tersebutlah sebuah kisah akan gemparnya negeri bergelar Darul Ridzuan. Sebuah parti siasah bergelar mengusulkan undi percaya kepada memanda menteri besar dalam sidang dewan undangan negeri (DUN).

Bertebaranlah khabar akan usul mahukan percaya itu ke serata alam. Ia bukan lagi desas-desus di bumi Melayu. Ia menjadi buah mulut rakyat jelata selama beberapa hari lamanya.

Kemudian tampillah seorang ketua orang muda-muda sebuah parti siasah yang bersekutu dengan parti yang mengemukakan usul mahukan kepercayaan pada memanda menteri besar.

Dia dengan bangganya menzahirkan rasa takjub dan tahniah kepada barisan memanda pimpinan Umno.

Pada firasat ketua orang muda-muda berkenaan, usul dibawa yang berhormat parti Melayu yang menjadi sekutunya itu hanyalah bertujuan untuk membuktikan betapa mereka bersunguh-sungguh mahu mengukuhkan takhta kerajaan dan perpaduan sesama sendiri.

Arakian pada suatu hari yang cerah lagi berkah, wakil parti bernama Umno itu pun melafazkan usul undi percaya akan memanda menteri besar. Ia lalu disambut oleh yang berkuasa di DUN.

Terbukalah jalan buat sekalian yang berhormat untuk membuat undian berbelah-bahagi sama ada mahu percaya akan memanda menteri besar atau sebaliknya.

Maka dengan takdir Allah SWT seperti yang disebut orang, terkejut besarlah lagi berdukacita memanda menteri besar dan sekalian para penyokongnya. Pendekar yang mengusulkan undi percaya rupa-rupanya memilih untuk mengundi enggan percaya.

Siasah silap mata apakah ini yeop semua?

Tapi itulah, barangkali ada orang yang fahamnya begitu. Kalau dibawa usul undi percaya, maka akan undi percaya sajalah. Tidak ada yang lain dan tidak ada yang bukan kecuali percaya sajalah yang ada.

Arakian, entah bagaimana pencak ketua pemuda parti yang terlajak pantas mengucapkan tahniah pada usul parti sekutunya itu mahu mengubat duka nestapa. Berlebih-lebihan pulalah apabila ketua tertingginya sempat bersuara tegas bahawa mereka akan tetap setia bersama memanda menteri besar yang tersingkir.

Menyapu arang terconteng di muka

Mereka enggan memberikan persetujuan ke atas pembentukan kerajaan negeri yang baru.

Dilaungkan betapa parti itu tegas dan berprinsip. Mereka bersama-sama memberi isyarat bahawa pengkhianatan tidak boleh diberi muka sama sekali.

Maka diharap-harap jua ketua pemuda parti di negeri itu Darul Ridzuan itu tidaklah terkena kejutan dan demam hingga air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam.

Demikianlah kisah dalam hikayat politik silap mata yang disihir dengan helah serta mehnah, sepak terajang dalam perebutan kuasa dan kerusi dunia. Maka dalam tempoh beberapa kelip mata, hilanglah mandat menteri besar dan sekalian barisan hulubalang atau exco kerajaan negeri.

Syahadan episod lain pulalah akan menyambung ceritera di negeri yang entah sudah berapa kali berangin kencang siasahnya itu. Akan menurutinyalah siri teka-teki sebelum berakhir dengan kemuncak yang memenuhi nafsu pihak tertentu.

Lalu hikayat itu berakhir dengan pihak yang tegas dan berprinsip meninggalkan retorik sampah untuk bakal dibilas dengan dalil-dalil membasuh keterlanjuran dan mengelap air limbah atau arang pada muka.

Kalakian, ternyatalah apa yang digemparkan cuma permulaan sandiwara yang kisahnya terbuka untuk melalui jalan yang terus atau berpusing-pusing di bulatan sebelum membuat pusingan U bersama dalil-dalil yang dinukilkan.

Maka sekalian rakyat bolehlah melihat dengan teliti hatta jelasnya seperti bulan purnama di malam gilang-gemilang dipagar bintang akan sikap orang politik menggigit kuasa.

Kemahuan semua adalah seperti pepatah Melayu, menarik rambut di dalam tepung; rambut tak putus tepung tak berselerak.

Tapi hakikatnya apa yang berlaku di negeri Darul Ridzuan itu bukan saja tepung berselerak dan rambut terputus-putus, malah dapur yang dibina juga runtuh bersama.

Apa yang berlaku itu, hamba sahaya ini melihat amat tidak patut sama sekali. Ianya jelas keji dan ada pihak yang rasa terhina. Sudah-sudahlah miker hembus jampi serapah menjaja kalimah "demi rakyat" atau "demi denyut nadi anak bangsa".

Rakyat jelata faham benar ianya adalah lelucon hambar yang diulang-ulang tayang dan hanya mempersona orang yang bermimpi bersama air liur meleleh.

Segala kalimat demi rakyat itu hakikatnya tidak memberikan sedikit pun kelegaan kepada sekelian orang yang sedang bergelut mencari kehidupan.

Hikayat di Darul Ridzuan itu cuma seumpama kapal terbang yang melintas di atas kepala para marhaen yang membanting tulang di atas muka bumi yang kontang.

Sesekali mereka mendongak apabila terdengar deruan enjin pesawat udara. Dan mereka hanya melihat susuk kapal terbang yang lalu meninggalkan garisan asap di angkasa.

Sedangkan perut diri sendiri, anak dan isteri masih menagih rezeki.

Tiada ulasan: