"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ke mana RM14 juta wang zakat asnaf fisabilillah MAIWP telah diagih?

FAZLI RADZI

Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 mendedahkan sebanyak RM14.73 juta wang zakat tahun lalu bagi asnaf fisabilillah tidak digunakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Wilayah (MAIWP) bagi tujuan sepatutnya dan yang memerlukan mengikut keutamaan.

Hasil pengauditan mendapati bayaran agihan itu disalurkan kepada agensi kebajikan dan ia tidak mengikut maksud asnaf fisabilillah yang sepatutnya.

“Semakan mendapati perkara itu berlaku disebabkan pentakrifan asnaf fisabilillah terlalu umum dan tidak diperincikan mengikut jenis perbelanjaan yang dibenarkan menggunakan wang zakat.

“Selain itu, tiada fatwa khusus ditetapkan bagi jenis perbelanjaan dan syarat projek pembangunan yang harus dibuat menggunakan wang zakat,” memetik laporan tersebut yang diumum hari ini.

Dapatan tersebut diperoleh berdasarkan audit pembayaran bawah Kumpulan Wang Zakat yang meliputi transaksi Januari hingga Disember 2019 serta tahun sebelumnya selain semakan terhadap 170 baucar bayaran yang menggunakan wang zakat RM206.9 juta.

Dalam masa sama, pihak Audit juga menemukan kelemahan lain termasuk projek pembangunan yang telah dibuat bayaran perkhidmatan perunding sejumlah RM4.72 juta pada 2013 hingga 2017, menggunakan wang zakat, telah ditangguh sehingga tahun ini.

Sehubungan itu, MAIWP disyorkan supaya memberikan skim bantuan kepada asnaf fisabilillah mengikut keutamaan dan takrifan sebenarnya serta diperincikan mengikut jenis perbelanjaan yang dibenarkan menggunakan wang zakat.

Selain itu, fatwa khusus juga perlu ditetapkan bagi jenis perbelanjaan dan syarat projek pembangunan yang boleh dibuat menggunakan wang zakat secara ‘case by case’ bagi memastikan tiada pembaziran dan sebarang kerugian dan pengurangan kepada wang zakat.

Pihak Audit turut mengesyorkan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemantauan terhadap status projek secara berkala dikuatkuasakan terutama melibatkan kepentingan agensi mengemukakan laporan pelaksana, perbelanjaan program dan aktiviti.

Tiada ulasan: