"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Angkat sumpah MB kali ketiga cerminan kegagalan - Sultan Nazrin

Malaysiakini 

Istiadat pelantikan Adun Kota Tampan, Saarani Mohamad sebagai menteri besar Perak yang ketiga, sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurut baginda, istiadat kali ketiga yang mencatatkan sejarah baru itu tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Undangan Negeri Perak sebelum ini.

“Tetapi perkara ini bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan; perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan.

“Kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat,” titah baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, hari ini.

Sebelum pelantikan Saarani hari ini, Ahmad Faizal Azumu yang mewakili Bersatu telah mengangkat sumpah jawatan menteri besar sebanyak dua kali, pertama pada tahun 2018 selepas PRU14 sebagai ketua kerajaan Pakatan Harapan. Dia sekali lagi pada Mac tahun ini mengangkat sumpah jawatan sebagai ketua kerajaan Perikatan Nasional pula.

Ahmad Faizal digulingkan setelah gagal mendapat sokongan dalam usul undi percaya di DUN Perak minggu lalu.

Sultan Nazrin bertitah, semua Adun dipilih kerana rakyat mempercayai mereka dan meletakkan harapan bahawa mereka akan dapat membantu untuk menambah baik kawasan tempat tinggal penduduk dan membantu menyediakan pelbagai keperluan dan perkhidmtan.

“Sama ada diwakili oleh Adun PN atau PH, sama ada orang Melayu, Orang Asli, orang Cina dan orang India, begitu juga penganut Islam, penganut Kristian, penganut Hindu dan pengikut Buddha, serta yang berpegang kepada pelbagai kepercayaan, mempunyai keperluan yang sama, menanggung penderitaan yang sama, memiliki harapan yang sama, menagih perhatian yang sama

“Semua rakyat di negeri ini, Melayu, Orang Asli, Cina, India; Islam, Kristian, Hindu dan Buddhist, ialah makhluk ciptaan Ilahi; kesemua mereka rakyat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak; kesemuanya mahukan sebuah negeri yang aman lagi makmur, dengan pemerintahan yang melaksanakan keadilan dan membina kerukunan, agar rakyat hidup dalam semangat saling menghormati penuh harmoni,” titah baginda.

Sultan Nazrin dalam pada itu turut menzahirkan titah terima kasih kepada  Ahmad Faizal yang telah melaksanakan tugas Menteri Besar sejak 12 Mei 2018 serta kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan atas perkhidmatan diberikan dalam tempoh perkhidmatan mereka.

Tiada ulasan: