BERSATU AKAN JADI BAHAN KETAWA DUNIA JIKA SANGGUP TERIMA MB UMNO
Shahbudin Husin
Walaupun UMNO dilihat berjaya menjatuhkan Ahmad Faizal Azumu atau Peja melalui tipu daya usul undi percaya, tetapi laluan untuk parti itu menduduki kerusi Menteri Besar Perak tidaklah semudah yang diimpikan.
Benarlah kata orang tua-tua – meroboh lebih mudah daripada membina sebuah bangunan.
Di sebalik UMNO merasakan dengan jatuhnya Peja, mereka dengan mudah dapat merampas kerusi Menteri Besar itu, laluan kini terlihat masih lagi buntu dan berliku.
Dengan UMNO hanya mempunyai 25 daripada 59 Adun keseluruhannya, keinginan parti itu agar kerajaan PN terus dikekalkan bermakna mereka masih memerlukan sokongan 5 Adun Bersatu dan 3 Adun Pas untuk merealisasikannya.
Sehingga ini, walaupun Presiden UMNO, Zahid Hamidi telah mengadap Sultan Perak untuk mempersembahkan nama Sharani Mohamad sebagai calon Menteri Besar, Bersatu dan Pas masih lagi enggan menentukan sokongan mereka.
Bersatu dilaporkan belum lagi membuat keputusan sama ada mahu menyokong atau tidak dan diberitakan, Setiausaha Agung parti itu, Hamzah Zainuddin telah diberi mandat untuk mengumpul maklumat dan seterusnya mencadangkan keputusan yang muktamad.
Peja sendiri memaklumkan pihaknya masih belum memohon untuk mengadap Sultan Perak berhubung isu perlantikan Menteri Besar.
Senada dengan Bersatu, Pas pula mengambil keputusan menangguhkan majlis mengadap tiga Adunnya terhadap Sultan Perak yang dijadual petang tadi.
Pembatalan majlis mengadap itu dimaklumkan atas arahan pucuk pimpinan Pas.
Dalam erti kata lain, Bersatu dan Pas kini benar-benar sudah menunjukkan kesepakatan mereka dalam isu perlantikan Menteri Besar ini.
Sama ada mereka akhirnya bersetuju atau menolak kerajaan baru yang dipimpin UMNO, hanya masa menentukannya.
Yang pasti, selagi tiada persetujuan Bersatu dan Pas, selagi itulah kedudukan Sharani masih tergantung dan mungkin juga beliau turut tidak lena tidurnya memikirkan sama ada jawatan Menteri Besar dapat didakapnya atau terlepas sekali lagi seperti sebelum ini.
Ini kerana UMNO tetap mahu kerajaan PN terus dikekalkan mentadbir Perak, sedangkan Peja yang dijatuhkan sebelum ini pun mewakili kerajaan PN juga.
Hasrat UMNO bahawa hanya Menteri Besar yang diganti dan bukan kerajaan PN yang perlu ditukar, meski nampak senang untuk disebut, realitinya tidaklah mudah untuk diterima khususnya bagi Bersatu dan Peja sendiri.
Bersatu tentu saja akan dilihat tiada harga diri, memalukan, malah diketawakan semua orang jika sekiranya masih sanggup bersama dan menyokong Menteri Besar daripada UMNO yang sebelum itu bertindak menjatuhkan pemimpinnya daripada jawatan Menteri Besar.
Tidak pernah dalam sejarah ada orang bertindak menjatuhkan rakan sendiri dalam kerajaan melalui usul undi percaya yang dibentangkan.
Biasanya, usul undi percaya, jika dikemuka oleh rakan sendiri, ia adalah bertujuan untuk mengesahkan kedudukan seseorang agar tidak lagi dipertikaikan di kemudian hari.
Sebaliknya, UMNO Perak membawa usul undi percaya adalah sebagai tipu daya untuk menjatuhkan Peja.
Difahamkan, melalui usul undi percaya itu, bukan saja Peja dan Bersatu kena tipu, malah Pas pun kena auta sekali dengan UMNO.
Maka, siapa pun jika dalam kedudukan Bersatu, pasti akan mengambil keputusan berkerat rotan dan berpatang arah andai diperlakukan sedemikian rupa.
UMNO yang menjatuhkan Peja mungkin senang untuk mengatakan “marilah kita bersatu semula” tetapi Bersatu yang dikhianati tentu saja hati mereka sudah hancur berkecai dibuatnya.
Kalau UMNO pun dikhianati seperti itu, belum tentu ia sanggup berbaik dan duduk semeja kembali.
Kecuali jika Bersatu benar-benar sudah tiada harga diri dan sanggup ditertawakan dunia, barangkali bersedialah mereka menyokong Sharani sebagai Menteri Besar baru, seterusnya berada pula di bawah kekuasaan UMNO yang menjatuh dan memalukan mereka sebelumnya. (Shahbudindotcom 08/12/2020)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan