FMT Reporters
IPOH: PAS Pusat mengarahkan ketiga-tiga ADUNnya membatalkan menghadap Sultan Perak, yang pagi tadi mengarahkan mereka datang menghadapnya berhubung pelantikan menteri besar baharu.
Arahan PAS Pusat itu sekaligus mencetuskan spekulasi kemelut penubuhan kerajaan baharu melibatkan UMNO, PAS, dan PPBM masih berterusan.
Perkembangan terbaru ini juga menimbulkan kemungkinan sidang Dewan Negeri Perak yang dijadualkan esok terpaksa ditangguhkan, kerana menteri besar masih belum diputuskan.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, sebelum ini berkata parti itu tidak akan menyertai pembentukan kerajaan baharu di Perak susulan penyingkiran Timbalan Presiden PPBM, Ahmad Faizal Azumu, sebagai menteri besar menerusi usul percaya yang dibawa UMNO.
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengarahkan semua tiga ADUN PAS menghadap baginda hari ini bagi membuktikan sokongan mereka untuk membentuk pentadbiran baharu, selepas pertemuan dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, pagi tadi.
Selepas pertemuan itu, Zahid mengumumkan kepada pemberita calon partinya sudah mempunyai majoriti mencukupi untuk diangkat sebagai menteri besar Perak baharu.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, ketika ditanya mengenai sokongan kepada calon pilihan Umno bagaimanapun berkata mereka masih menunggu keputusan daripada PAS Pusat.
Tidak lama selepas membuat kenyataan itu, PAS Pusat memberikan arahan untuk tiga ADUNnya membatalkan menghadap Sultan Perak hari ini. Tidak ada butiran lanjut di sebalik keputusan itu.
Sementara itu, tiga pemimpin Pakatan Harapan Perak tiba di Istana Kinta petang tadi bagi memenuhi titah menghadap.
Pengerusi PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, dan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, tiba pada 2.55 petang tadi, diikuti Pengerusi Amanah, Asmuni Awi pada 3.05 petang.
Turut dipanggil menghadap hari ini adalah lima ADUN PPBM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan