"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jika Johor berubah hari ini, Perak dan Kerajaan Pusat juga bakal berubah

BORHAN AHMAD

Sebagaimana Menteri Besar Perak, nasib Menteri Besar Johor akan ditentukan dalam sidang Dewan Undangan Negeri hari ini apabila Belanjawan 2021 Johor akan diundi.

Samada beliau selamat dari undi Belanjawan 2021 Negeri Johor atau sebarang usaha undi percaya dari penyokong kerajaan atau undi tidak percaya yang mungkin dikemukakan oleh Adun pembangkang akan ditentukanhari ini.

Undi untuk menentukan Belanjawan Johor diluluskan atau tidak akan dibuat pagi ini.

Ada juga desas desus bahawa akan ada usaha untuk membuat undi percaya kepada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Benut, Datuk Hasni Mohammad yang sah menjadi Menteri Besar Johor yang ke-18 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada 28 Februari lalu itu.

Jika ia berlaku, langkah ini akan menuruti langkah Umno Perak yang menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengemukakan usul undi pencaya untuk menjatuhkan beliau.

Timbalan Presiden AMANAH yang juga Adun ADUN Simpang Jeram Datuk Seri Salahuddin Ayub mencabar Umno (atau Adun Bersatu) mengemukakan usul undi percaya kepada kepimpinan Menteri Besar Johor bagi membuktikan adakah kerajaan negeri ini benar-benar dapat bertahan dan bermaruah untuk terus mentadbir negeri Johor.

Beliau berkata, usul percaya ini akan dapat membuktikan keabsahan dokongan dan sokongan wakil-wakil Bersatu masih kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional Johor selepas tragedi di Perak.

Pakatan Harapan Johor pula akan meneliti sebarang usul atau langkah ‘balas dendam’ Adun Bersatu ekoran tragedi kejatuhan MB mereka di Perak dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.

Dalam kenyataan bersama Pengerusi AMANAH Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Liew Chin Tong berkata, hari ini adalah hari terakhir sidang DUN Johor dan sebarang langkah atau usul yang ingin dibangkitkan oleh Adun Bersatu PPBM akan disaksikan pada esok hari.

Majlis Pengerusi PH Johor yang bermesyuarat semalam di Kluang menegaskan PH Johor memiliki 27 dari 56 Adun. Dengan Jumlah ini, ia satu angka yang signifikan dalam setiap usul yang ingin dikemukakan di Dewan Negeri Johor.

PH Johor berkata demikian ekoran kenyataan Adun Bersatu Datuk Osman Sapian yang meramalkan Menteri Besar Johor boleh terima nasib sama seperti Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu jikalau 12 ADUN Bersatu di negeri ini ‘balas dendam’ melalui usul undi percaya.

Kelmarin pula Adun Paloh dari DAP, Sheikh Omar Ali membayangkan kedudukan Kerajaan Negeri Johor akan lebih stabil jika mengikut formula negeri Perak.

Jika menggunakan formula Perak, Umno Johor yang memiliki 14 kerusi Dun boleh bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai 27 kerusi maka akan membentuk jumlah 41 kerusi di mana jumlah ini adalah jauh lebih besar berbanding sekarang.

Rata-rata ayat-ayat yang digunakan oleh pemimpin PH Johor adalah ‘demi kestabilan’ karajaan negeri. Ini bermakna, mereka bersedia berbincang dengan Umno yang memerintah sekarang untuk membentuk kerajaan yang lebih stabil.

Jika berlaku sesuatu yang merubah kerajaan negeri Johor hari ini, ia bakal menjadikan Perak juga berubah dengan pembentukan kerajaan baru dan selepas itu kerajaan Pusat juga bakal berubah dengan undi belah bahagi yang masih ada itu.

Tiada ulasan: