"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MP bengong membingungkan orang ramai

Makanan berkualiti rendah bukan punca autisme 

Syerleena Abdul Rashid

Semalam semasa sesi perbahasan parlimen, Halimah Ali, ahli parlimen Kapar membuat kenyataan pelik yang menyatakan bahawa “makanan berkualiti rendah” akan terdedah kepada penyakit autisme. Beliau berkata 

“Saya tidak ada masalah dengan istilah Rahmah, tetapi saya tidak mahu golongan B40 diberi makanan yang kualiti rendah dan kemungkinan akan menyebabkan mereka terdedah kepada kanser , penyakit autoimun, atau autisme dan sebagainya.” 

Halimah Ali seorang doktor yang berkhidmat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), sebuah hospital Universiti di Petaling Jaya dan juga klinik awam lain. 

Beliau berkhidmat dan mempunyai pengalaman berpuluh-puluh tahun dalam bidang perubatan khususnya dalam sektor kesihatan awam. 

Oleh sebab itu, kenyataan yang beliau nyatakan itu membingungkan orang ramai. 

Kenyataan yang dibuat oleh seorang doktor yang berkelulusan dalam bidang perubatan ini menimbulkan banyak persoalan. Bagaimanapun adalah penting untuk kita meningkatkan kesedaran autisme dalam kalangan masyarakat supaya kita dapat membantu golongan tersebut.

Autisme atau dikenali sebagai autism spectrum disorder (ASD) merupakan gangguan perkembangan saraf yang menjejaskan interaksi sosial, komunikasi dan tingkah laku seseorang individu. ASD adalah sangat kompleks dan akan kekal sepanjang hayat. 

Selain itu, keadaan ASD ini akan bertambah teruk dari semasa ke semasa. Walaupun pada sesuatu ketika, gangguan ini jarang berlaku tetapi kelaziman ASD ini telah meningkat sejak bertahun-tahun yang lepas. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dalam 100 kanak-kanak akan ada satu yang mengalami gangguan ini dalam dunia ini. 

Walaupun punca sebenar ASD belum dipasti sepenuhnya, tetapi penyelidikan menunjukkan bahawa gabungan faktor genetik dan persekitaran boleh menyumbang kepada perkembangan gangguan ini. 

Kajian menunjukkan bahawa baka tertentu berkait dengan risiko mengembangkan ASD. Selain itu, pendedahan kepada toksin, jangkitan dan faktor persekitaran yang lain semasa mengandung juga antara salah satu faktor mengembangkan ASD. 

Oleh sebab itu, pengambilan makanan yang kurang sihat bukan punca autisme. 

Tidak ada satu bukti yang kukuh menyatakan pengambilan makanan kurang sihat dan kurang kualiti akan menyebabkan autisme manakala pengambilan makanan yang mempunyai nutrisi yang tinggi adalah penting kepada semua individu termasuk individu autisme. 

Selain itu, kurangkan pengambilan makanan dan suplemen tertentu juga dapat menguruskan tahap gejala yang ditunjukkan dalam sesetengah individu. 

Menurut Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia, autisme atau tingkah laku yang berkaitan dianggarkan berlaku kepada satu daripada 68 bayi yang baru lahir. Ini bermakna setiap tahun Malaysia dianggarkan mempunyai 9000 kanak-kanak menghadapi gangguan ini. 

Menurut Kementerian Kesihatan, sejak 10 tahun kebelakangan ini jumlah kes ASD meningkat secara mendadak. Menurut laporan kementerian tahun 2021, seramai 589 kanak-kanak bawah 18 tahun menghadapi gangguan ASD dan jumlah ini melonjak sebanyak 500 peratus dari 99 kes pada tahun 2009.

Statistik ini menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini. Pakar-pakar juga mengaitkan kenaikan ini dengan kaedah diagnostik yang berkesan dan kesedaran austisme dalam kalangan masyarakat. Campur tangan di peringkat awal adalah sangat penting, supaya dapat mengurangkan tahap keseriusan dan meningkatkan kehidupan yang lebih berkualiti seseorang individu. 

Semoga dengan adanya RM1.2 bilion yang diperuntukkan sejak Oktober tahun lepas oleh mantan menteri kewangan, Tengku Zafrul Aziz dapat membantu dalam aspek tertentu seperti membina taska OKU kepada golongan kanak-kanak yang memerlukan supaya mereka mendapat akses untuk intervensi awal dengan lebih mudah. 

Selain peningkatan kelaziman autisme, dalam kalangan masyarakat Malaysia masih terdapat stigma dan kesedaran yang rendah mengenai gangguan ini. Ramai orang masih mempunyai salah tanggapan terhadap autisme, yang membawa kepada sikap negatif dan diskriminasi terhadap individu yang mempunyai keadaan ini. 

Stigma ini sangat berbahaya kerana ia mengakibatkan kurang sokongan dan dorongan kepada golongan autisme dan menyebabkan mereka sukar untuk mengakses sumber yang mereka perlukan.

Pendidikan dan kesedaran adalah dua faktor penting untuk membantu mereka. Kempen kesedaran awam, jangkauan masyarakat, dan membanyakkan kursus kesihatan kepada pendidik dapat bantu mengurangkan stigma yang sedia ada. 

Selain itu, memberi sumber dan bantuan kepada keluarga atau pengasuh supaya dapat mengurangkan beban mereka semasa menjaga kanak-kanak yang menghadapi gangguan ini. Kita tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan dan seharusnya mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif kepada semua termasuk individu autisme di Malaysia.   

SYERLEENA ABDUL RASHID ialah ahli parlimen bukit bendera merangkap anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima.

Tiada ulasan: