Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my
PONDOK tempat tinggal warga asing yang mengusahakan kebun haram berkenaan turut dimusnahkan ketika operasi.
Bentong: Kejadian kepala air dan banjir lumpur di Jalan Lama Gombak-Bentong pada bulan lalu membawa kepada pembongkaran aktiviti pekebun warga asing menceroboh Hutan Simpan Bukit Tinggi di sini, bagi 'projek' tanaman halia Bentong yang bernilai tinggi.
Aktiviti haram berkenaan berjaya dikesan selepas kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong membuat pemeriksaan laluan air sehingga menemui 'rahsia' dalam hutan simpan itu yang mengakibatkan bencana alam termasuk tanah runtuh pada 12 Februari lalu.
Lebih mengejutkan apabila kebun tanaman halia Bentong haram seluas kira-kira dua hektar terbabit memerlukan anggota Ops Bersepadu Tanah Tinggi Bentong berjalan mendaki bukit berbatu sejauh lebih satu kilometer sebelum menemuinya.
Hasil pemeriksaan mendapati kebun itu dipercayai diusahakan secara haram oleh empat pekebun warga asing yang mana kawasan tanaman dibahagikan kepada dua bahagian yang berada sepanjang lereng bukit.
Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan (Zon Pahang Barat) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Shahril Mohamad berkata, operasi itu diadakan selama tiga hari bermula kelmarin membabitkan aktiviti memusnahkan dan menanam semula pokok di kawasan terbabit.
Menurutnya, tindakan tegas memusnahkan tanaman halia Bentong sebanyak kira-kira 2,500 perdu termasuk pokok cili padi dan kacang buncis perlu diambil kerana ia adalah kesalahan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh kawasan hutan simpan.
Katanya, turut dimusnahkan ialah tiga pondok tempat tinggal warga asing yang mengusahakan kebun haram berkenaan, yang mana mereka menjadikan air bukit sebagai sumber utama minuman dan memasak selain bagi menyiram tanaman yang diusahakan.
"Kawasan seluas 0.4 hektar pula dijadikan tapak untuk menanam pokok sayuran dan tanaman halia Bentong kini mengeluarkan hasil. Difahamkan, aktiviti pertanian berkenaan sepenuhnya diusahakan menggunakan tenaga manusia.
"Kedudukan kawasan pertanian berkenaan terletak di lereng bukit berbatu, tanpa jalan dan mereka dipercayai tidak menggunakan jentera bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan hanya menggunakan laluan tikus untuk memindahkan hasil," katanya.
Operasi berkenaan disertai 50 anggota Unit Penguat kuasa (Zon Pahang Barat) JPNP, PHD Bentong, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah dan Tanah Bentong (PDTB) dan Unit Penguat kuasa Negeri Pahang (UPNP).
Menurutnya, pihaknya belum mengenal pasti tempoh mereka meneroka kawasan hutan simpan itu bagi melakukan aktiviti terbabit.
"Penemuan kawasan itu hasil tinjauan kakitangan PHD Bentong yang membuat pemeriksaan laluan air selepas kejadian kepala air, banjir lumpur dan tanah runtuh di Jalan Lama Gombak-Bentong pada 12 Februari lalu
"Permintaan tinggi dan harga halia Bentong yang mahal menjadi faktor utama kegiatan menceroboh Hutan Simpan Bukit Tinggi untuk mengusahakan tanaman berkenaan sering berlaku," katanya.
Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat dalang tempatan yang menggunakan warga asing sebagai buruh pertanian sepenuh masa, yang mana hasil pertanian dipasarkan oleh individu terbabit.
"JPNP akan meningkatkan pemantauan di kawasan Hutan Simpan Bukit Tinggi bagi mengelak terus berlaku pencerobohan untuk aktiviti pertanian terutama halia Bentong yang terkenal di daerah ini bagi memenuhi pasaran tempatan dan antarabangsa.
"Kita juga akan menggunakan kemudahan Forest Monitoring by Remote Sensing (FMRS) dan dron bagi memantau kawasan hutan dan bukit yang sukar dimasuki untuk kakitangan penguat kuasa sampai.
"Bentuk muka bumi bukit berbatu berlumut di Hutan Simpan Bukit Tinggi juga menjadi antara cabaran bagi aktiviti pemeriksaan lapangan dilakukan," katanya.
ANGGOTA Unit Penguat Kuasa Zon Pahang Barat, Muzafa Mahat menunjukkan halia Bentong yang ditanam secara haram.
Ceroboh 3,900 hektar secara haram
Hutan Simpan Bukit Tinggi seluas kira-kira 3,900 hektar dikesan menjadi tumpuan aktiviti menanam halia Bentong secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Walaupun mengetahui kesalahan menceroboh hutan simpan dan hukuman yang bakal diterima sekiranya ditangkap, individu terbabit tidak rasa gentar.
Pegawai Hutan Daerah Bentong, Muhamat Azman Yahya berkata, hampir setiap tahun pihaknya mengadakan operasi tebas kebun haram dalam Hutan Simpan Bukit Tinggi yang terkenal dengan tanaman halia Bentong.
Menurutnya, projek pertanian yang diusahakan secara haram halia Bentong termasuk tanaman pelbagai sayuran lain sebelum ini tidak membabitkan kawasan yang terlalu luas.
Katanya, tahun lalu pihaknya berjaya menahan seorang individu yang menceroboh Hutan Simpan Bukit Tinggi kerana mengusahakan projek pertanian.
"Tanah kawasan berbukit yang subur selain cuaca sejuk di daerah ini membolehkan tanaman sayuran termasuk halia Bentong cepat membesar sekali gus menjadi pilihan mereka.
"Bagaimanapun, kawasan pencerobohan yang dikesan akan ditanam semula dengan pelbagai pokok balak berkualiti tinggi bertujuan memulihkan lokasi terbabit seterusnya dapat mengelak berlakunya kejadian hakisan lereng bukit.
"Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong mempunyai pasukan khas yang memantau kawasan Hutan Simpan Bukit Tinggi bagi memastikan kegiatan menceroboh tidak berulang," katanya yang turut sama menyertai Ops Bersepadu Tanah Tinggi Bentong, kelmarin.
Beliau berkata, kira-kira 1,000 pokok merawan akan ditanam oleh kakitangan PHD Bentong dalam kawasan cerobohan itu yang mana kerja berkenaan mengambil masa dua hari untuk diselesaikan.
ANGGOTA Unit Penguat Kuasa Zon Pahang Barat memusnahkan pokok halia Bentong yang ditanam secara haram.
Disiarkan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan