"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki hanyut bersama kereta korban pertama banjir Johor

Bernama

KLUANG: Seorang lelaki warga tempatan menjadi korban pertama banjir di negeri ini selepas ditemukan lemas dalam sebuah kereta yang dibawa arus di Jalan GSA Chamek, Paloh, tengah hari tadi.

Ketua Polis Kluang, Bahrin Mohd Noh, berkata mangsa berusia 20-an dipercayai dibawa arus banjir ketika memandu keretanya di lokasi kejadian kira-kira 7.20 pagi tadi.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang kelapa sawit berhampiran.

“Usaha mengesan mangsa terus dilakukan dan pada 12.20 tengah hari, sebuah kereta jenis Toyota Avanza ditemui dengan keadaan ditenggelami banjir.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut menjumpai seorang lelaki dan didapati sudah meninggal dunia. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat menafikan terdapat kejadian jambatan runtuh dan dihanyutkan arus seperti didakwa dalam satu video tular di TikTok.

“Polis mengesahkan kejadian tidak berlaku di Johor dan dipercayai berlaku di luar negara.

“Orang ramai dinasihati tidak menyebarkan berita atau mesej palsu yang boleh mendatangkan ketakutan dan kegusaran kepada masyarakat. Pihak yang menyebarkan berita atau mesej palsu boleh diambil tindakan mengikut undang-undang,” katanya.

Video berdurasi 20 saat yang memaparkan kejadian jambatan runtuh dan dihanyutkan arus itu dipercayai bertarikh 12 Dis tahun lalu, tular di media sosial sejak semalam.

Tiada ulasan: